Video seks: Suruhanjaya diputus selepas siasatan polis

PUTRAJAYA, 8 April — Kerajaan akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mempertimbangkan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat rakaman video seks melibatkan pelaku mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

“Kabinet hari ini mengambil keputusan untuk menunggu hasil penyiasatan polis dahulu yang bukan sahaja melakukan siasatan tentang ketulenan video itu tetapi mengenal pasti siapakah pelaku di dalam video itu,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Nazri berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja itu sekiranya terdapat pertikaian daripada hasil siasatan polis.

Kelmarin, beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu perlu disegerakan berikutan penafian isteri Anwar Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang suaminya itu adalah lelaki dalam video berkenaan.

Nazri berkata bahawa setelah penafian itu dibuat, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sama ada benar atau tidak Anwar adalah lelaki dalam video itu.

“Dan penyelesaian terbaik bagi isu itu adalah dengan menubuh suruhanjaya diraja,” katanya.

Nazri berkata usul untuk menubuhkan suruhanjaya itu dibuat kerana kerajaan mendengar pandangan rakyat dan juga badan bukan kerajaan termasuk Dewan Pemuda PAS yang menyeru agar sebuah suruhanjaya diwujudkan bagi menangani isu itu.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan polis dan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Ahmad Sarbani.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut.

Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat insiden membabitkan Ahmad Sarbani.

No comments

Powered by Blogger.