Video Tulen .. Tapi Pelakonnya ?

oleh Nasrudin Hassan

1. Ketua Polis Negara berkata bahawa pakar tempatan telah meneliti video seks yang menjadi bahan fitnah ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim baru - baru adalah tulen bukannya palsu. Persoalannya , apakah manafaatnya membuat pengesahan demikian ? Tulen atau tidak video itu bukan asas dan pokok dalam isu ini. Kerana jika ia disahkan tulen sekalipun, ia kekal sebagai bahan yang tidak menepati piawai untuk membuat tuduhan zina malah ia turut terdedah kepada ruang manipulasi yang ketara.

2. Tuduhan zina mestilah [sama hukumnya terhadap tuduhan liwat] melibatkan 4 orang saksi.

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebat (deralah) mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik

Surah An-Nur : Ayat 4

Sungguhpun ayat ini menyebut mengenai tuduhan terhadap perempuan, namun hukumnya sama terhadap tuduhan ke atas kaum lelaki dan ianya menjadi sepakat para ulama' sebagaimana yang disebut di dalam Jame' Li ahkaamil Quran oleh al Qurtubi.

3. Datuk T yang kononnya dikatakan saksi hanya melibatkan 3 orang, ertinya belum mencukupi bilangan 4 orang saksi yang dikehendaki oleh Islam. Tambahan pula syarat saksi itu, selain dari mereka mestilah saksi yang adil [ tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil ], mereka juga mestilah menyaksikan perlakuan zina itu sebagaimana masuknya batang celak ke dalam botol celak.

4. Jika hanya menyaksikan melalui rakaman video, ia tidak menepati kehendak syariat dalam membuat tuduhan. Sekalipun videonya disahkan tulen tetapi pelakunya [watak pelakunnya] masih terdedah kepada manipulasi dan kepalsuan. Justeru dunia moden hari ini, tidak hairan video sedemikian boleh dihasilkan tambahan pula dalam bentuk filem hitam putih.

5. Saya masih ingat sebuah filem yang pernah saya saksikan di atas kapal terbang dalam perjalanan saya ke Mesir pada satu ketika dahulu, iaitu filem lakonan John Travolta dan Nicholas Cage yang berjudul Face Off. Saya tidak mengingati keseluruhan jalan cerita filem ini, tetapi apa yang saya masih ingat ialah bagaimana mereka menukar wajah antara dua watak [John Travolta menjadi Nicholas Cage dan Nicholas Cage pula berwajah John Travolta] sehingga isteri mereka sendiri tidak dapat membezakan antara keduanya. Walaupun itu hanyalah watak dalam sebuah lakonan tetapi apa yang saya mahu sebut bahawa filem dan lakonan boleh menghasilkan apa saja yang dikehendaki oleh skripnya. Filem yang saya tonton itu pula adalah filem original \ tulen dan sharp pula gambarnya.

6. Justeru itu, saya tegaskan di sini, isunya bukan pada ketulenan video tersebut tetapi kepada kaedah membuat tuduhan yang tidak menepati syara' dan pula perlakuan menyebarkan serta mempertontonkan video lucah kepada umum adalah suatu yang jelas bersalahan dengan agama dan mereka berdepan dengan hukum Qazaf serta undang - undang kerana memiliki dan menyebarkan video lucah.

7. Sepatutnya pihak polis segera bertindak ke atas mereka yang memiliki dan menyebarkan video lucah tersebut.

No comments

Powered by Blogger.