Catatan Ramadhan: Pandangan Hal Jais – DUMC



Ramadhan telah tiba ke 10 hari terakhir, program terus padat. Selain aturcara yang disusun pejabat pusat khidmat pengurusan Dun Batu Caves ada beberapa jemputan dari Ketua Kampung, Masjid, ahli majlis dan Jabatan harus dipenuhi.

Ramadhan datang namun isu politik terus bertubi, salah satunya isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan (menurut kacamata Jais) terhadap satu program di satu Dewan Komuniti sebuah Gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya. Kali ini melibatkan sebuah acara yang menggunakan slogan Jamuan Makan 1 Malaysia dikatakan mempunyai unsur mencurigakan bagi “memurtadkan” orang Islam.

Sebagaimana biasa isu negeri Selangor akan sesegera diputar-putar oleh media kendalian BN dan blogger upahan untuk mengambarkan imej tidak baik pentadbiran Pakatan Rakyat. Hiprokasi beberapa watak juga muncul yang kononya sebelum ini membantah demonstrasi aman Bersih telah membuat demonstrasi membantah sikap kerajaan negeri yang dikatakan membela gereja.

Malah beberapa pimpinan Umno yang disadur menjadi NGO, juga NGO yang ingin menyerap ke Umno mengeluarkan kenyataan mengecam dengan lenggok politik yang mahu kesimpulan rakyat bahawa nasib agama Islam dan orang Melayu tergadai dibawah Pakatan Rakyat.

Siaran media digunakan sebanyak mungkin memancarkan hal ini walau masih tidak tahu hujung pangkalnya kes ini, paling tidak mengurangkan fokus rakyat pada isu pasca Bersih yang melibatkan beberapa bukti dan pengakuan cacatnya sistem pilihanraya Malaysia.

Teringat pula kisah Aisyah Bukhari yang dikatakan Murtad pada hujung 90-an yang nampaknya tidak dibuat liputan semeriah kes ini, mungkin kerana kes tersebut tidak boleh dipintal-pintal oleh Umno menjadi modal politik, mereka mendiamkan diri.

Bagi kerajaan Pakatan kita amat hati-hati menanggani hal ini kerana tidak mahu ada yang teraniaya dan ketidakadilan terhasil kerana sikap terburu-buru. Ini adalah seruan dalam ajaran dan amalan Islam yang tertulis dalam sirah dan sejarah Nabi berkenaan hubungan antara berbilang agama.

Ada sebahagian yang saya kira “naif” atau memang ada persepsi sedia ada di kepala mereka akibat dorongan lama Umno — hanya Umno dan BN yang boleh membela Melayu Islam, melihat isu ini isu akidah, dan kita harus tanggani secara tegas.

Saya amat menyokong tindakan tegas jika ada bukti dan jelas usaha memurtad, tetapi disebalik laporan Jais masih tidak lagi disiapkan, agak mencurigakan bagaimana laporan dan beberapa bukti yang sepatutnya tidak didedahkan diserah pada tentera upahan cyber Umno yang lebih gemar membakar sentimen / emosi terlebih dahulu. Sebab itu hal ini seperti terhidu aroma politik yang kuat terutama mereka yang menyebar kepada budak upahan cyber Umno sebagai medium mendedah ‘bukti’.

Malahan ada yang cuba mempertahankan kelemahan dengan cepat-cepat mengaitkan Jais adalah dibawah Sultan dan apa-apa teguran serta kritikan pada Jais bermakna mengkritik Sultan (Pandangan bagi mereka diabad ke 16). Bagi saya isu ini telah dipermainkan jauh dari isu pokok iaitu adakah majlis itu melanggar undang-undang dan adakah Jais telah bertindak berlandas undang-undang.

Sejak Pakatan Rakyat Isu Kaum dan Agama dengan bingkai yang sempit memang gemar dibakar oleh pimpinan Umno dan saduranya. Teringat lagi demo arak kepala lembu dua tahun lalu. Walaupun sebahagian mereka menjerit mahu membela Islam kadangkala kelihatan kumpulan ini memang tiada minat meningkatkan kefahaman tentang Islam, kemana mereka dalam kes Qazaf Dato Seri Anwar Ibrahim yang nampak dibiarkan oleh Menteri Agama Umno, Judi sukan dan banyak lagi hal yang saya kira penting untuk dijelaskan kepada awam. Dalam hal Jais-DUMC ini saya kira pandangan beberapa ilmuan Islam seperti Dr Asri juga wajar diberi ruang untuk dibincangkan dan kini peran media sebagai alat mencerahkan manusia amatlah penting dalam bangsa kita.

Disebalik hinggar binggar isu Jais-DUMC, program semarak Ramadhan terus berjalan rancak walau telah sampai ke 10 hari terakhir Ramadhan. Semenjak Pakatan diberi amanah oleh rakyat dalam pilihanraya umum lepas program masjid dan surau memang lebih bagus dan meriah, jika dahulu tazkirah seolah ‘haram’ kini peringatan agama dan pengembangan ilmu Islam amat rancak di Masjid dan Surau. Malahan zaman BN dahulu surau diarah tutup kerana ada tazkirah tapi kini bukan hanya tazkirah banyak program yang kreatif dan menyegarkan wujud di Masjid / Surau seluruh Selangor, suatu perbezaan yang hanya boleh dinafikan oleh mereka yang buta hati.

http://amirsari.wordpress.com/2011/08/20/catatan-ramadhan-pandangan-hal-jais-dumc/

No comments

Powered by Blogger.