Yang teraniaya akan beroleh kemenangan akhirnya – Oleh Amaluddin Zhafir


19 OGOS – Sebagai orang Melayu yang budayanya terkenal dengan sifat lemah lembut dan berbudi bahasa, ditambah pula dengan agama Islam yang menuntut umatnya melakukan kebaikan di muka bumi; apabila mendapat tahu tentang kejadian kebakaran di ibu pejabat DAP Pulau Pinang pagi semalam, mungkin yang pertama terdetik dalam fikiran kita ialah, “Aduh… Kenapa sampai begini sekali?”

Tentunya perasaan yang sama dikongsi oleh mereka dari kaum-kaum dan agama lain di bumi tercinta ini – manusia mana yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu?

Apakah mereka yang melakukannya tidak sedar bahawa pejabat yang kecil itu berada sebaris dengan rumah-rumah rakyat jelata yang mungkin menjadi mangsa kebakaran jika api merebak pantas?

Daripada kejadian itu, tragedi yang menimpa pejabat parti politik yang telah menyumbang banyak jasa kepada warga Pulau Pinang itu terlalu ganas dan keji perbuatannya, dan seharusnya tidak patut dilakukan oleh mana-mana mereka yang waras akal fikirannya.

Alangkah bagusnya kalau masa dapat diputar kembali sebelum kejadian berlaku?

Bagaimana pun, kejadian itu tetap telah terjadi dan tidak mungkin sama sekali dipatah balik.

Empat hari sebelum kebakaran, pejabat itu telah disimbah cat berwarna merah. Merah, selalunya dikaitkan dengan semangat, atau dalam konteks membaling cat merah, ia bolehlah secara simboliknya dianggap sebagai ‘kebencian yang terlalu mendalam terhadap DAP.’

Benci tanpa punca?

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, dalam tempoh tiga tahun telah memberikan pelbagai manfaat kepada semua kaum terutamanya Melayu yang sebelum ini dikatakan telah dianaktirikan oleh Gerakan-UMNO yang mewakili Barisan Nasional.

Tuduhan Melayu dipinggirkan itu datangnya dari UMNO sendiri walau pun ia sama-sama dalam gabungan pemerintah negeri sejak beberapa dekad lalu. Hanya selepas pilihan raya umum 2008, yang dipersalahkan adalah DAP dan Pakatan Rakyat.

Sudah berkali-kali dijelaskan tentang pencapaian hebat Pulau Pinang sejak pertukaran kerajaan negeri. Bukan sahaja ekonomi yang membabitkan pelaburan, pembangunan, peluang pekerjaan dan perniagaan; malah sumbangan kepada pegawai dan kakitangan awam termasuk guru-guru agama dan para hafiz serta mereka yang memerlukan seperti golongan miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal dan warga emas sentiasa diberikan dari semasa ke semasa.

Jadi apa punca masalah kepada parti politik yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan negeri yang prihatin kepada keperluan rakyat yang dibenci begitu rupa sehingga dibakar pejabatnya?

Adakah kerana sifat masyarakat Malaysia yang emosi tak kena tempat sekarang ini mudah sangat terpengaruh dengan media harian di bawah kawalan UMNO-BN?

Mungkin anak-anak muda yang lebih selesa dengan budaya pop dapat memahami apa yang diperjuangkan oleh kumpulan-kumpulan rakyat prihatin yang mahu membebaskan Malaysia daripada cengkaman kejahilan politik dan budaya katak bawah tempurung.

Di sini, benarkan saya memetik lirik John Mayer bertajuk “Waiting For The World To Change” yang sesuai menggambarkan mainan media yang sudah lama gersang kewartawanan dan hanya mampu menawarkan propaganda murahan, yang mungkin membawa kepada kejadian ganas itu.

And when you trust your television

What you get is what you got

Cause when they own the information, oh

They can bend it all they want.

Dan terjemahan kepada lirik ini terbuka untuk tafsiran individu, malah boleh disalahtafsirkan jika mahu. Bukankah itu juga satu amalan biasa media kawalan UMNO-BN?

Kejamnya golongan yang taksub politik semata-mata, dengan menolak toleransi sesama kaum untuk Malaysia yang lebih majmuk.

Membakar bangunan itu bagai mencurahkan lagi minyak ke dalam api.

Masyarakat yang tidak berdosa akan takut. Mungkin apa yang bakal terjadi selepas ini akan membawa lebih banyak kecelaruan perpaduan, walau pun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya ingin menyatukan kesemua kaum di bawah 1Malaysia – slogan yang semakin lama semakin hilang erti dan hasratnya.

Kenapa DAP selalu dianiaya?

DAP adalah parti yang paling lantang memperjuangkan keadilan tanpa mengira kaum dan agama demi kebaikan masyarakat Malaysia.

Terlalu banyak sumbangan mereka yang tidak dicatatkan melalui media besar yang sekian lama dijadikan perkakas UMNO-BN, malah beberapa pimpinan DAP dianggap sebagai ‘bahaya.’

Apa yang bahayanya itu bermaksud bahaya kepada parti pemerintah yang takut perjuangan yang bertunjangkan keadilan manusia sejagat akan menumbangkan pemerintahan yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Bahaya itu juga disampaikan melalui mesej tersirat – oleh kerana ramai pemimpin DAP dari kalangan bukan Melayu dan bukan Islam, maka media serta lidah rasmi UMNO seperti Utusan Malaysia cuba mencipta ‘bahaya’ yang kononnya menimpa Melayu jika mendengar saranan DAP dan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang kini sebulat suara mahukan perpaduan kaum dan toleransi antara agama.

Dalam maksud singkat, politik kotor lawan politik jernih.

Iltizam untuk keadilan dan keamanan

Selepas kejadian pembakaran ibu pejabat DAP Pulau Pinang itu, kita memohon agar rakyat Pulau Pinang khususnya kekal dengan kesabaran dan tidak terbuai dengan emosi perkauman.

Sejak lebih tiga tahun, kumpulan-kumpulan rasis telah mengadakan beberapa demonstrasi haram dan aksi ganas untuk menghasut rakyat bangun menentang kerajaan negeri yang sah tetapi mereka gagal kerana anak negeri Pulau Mutiara tahu membezakan yang bathil dengan yang benar.

Biarlah individu atau kumpulan tersebut terjun dengan labi-labi mereka. Sementara kita rakyat Malaysia berterusan melawan kejahatan dan kekejian sistem melalui reformasi untuk pilihan raya yang adil dan bersih.

Biarlah orang berniat jahat itu, jika ditahan polis nanti, diberikan keadilan yang sama rata mengikut undang-undang yang termaktub oleh Perlembagaan Persekutuan 1957.

Apa-apa pun, mereka yang teraniaya diakhirnya akan mencapai kemenangan. Doa dan harapan orang-orang yang dizalimi dan dianiayai akan dimakbulkan akhirnya. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.