Isu gereja: Umno Selangor mahu saman SU Agung PAS RM10 juta


SHAH ALAM, 22 Ogos — Umno Selangor akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berhubung dakwaan kononnya parti Melayu itu memainkan peranan dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja awal bulan ini.

Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.

“Kita akan memulakan langkah permulaan saman iaitu saman tuntutan ganti rugi dan saman malu terhadap fitnah yang dibuat Datuk Mustafa Ali terhadap Umno Selangor dengan jumlah RM10 juta.

“Ini adalah tindakan yang terpaksa dilakukan demi mempertahankan maruah dan hak, kami akan hantar notis kepada beliau dan pihak-pihak tertentu dan jika tiada jawapan, kita akan failkan saman selepas Aidilfitri,” katanya pada sidang media di sini.

Mustafa sebelum ini mendakwa mempunyai bukti kononnya Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

No comments

Powered by Blogger.