Menyikapi isu kemajmukan agama
Dr Maszlee Malik
Melihat kepada isu-isu yang sering timbul melibatkan JAIS, kita mendapati bahwa media, persepsi umum dan masyarakat non-Muslim seringkali amat negatif mengenai badan tersebut.
Hal ini disebabkan oleh bebanan sejarah (historical baggage) yang dipikul oleh JAIS selama mereka di bawah rejim BN. Isu terkini yang melibatkan persoalan gereja di Damansara Utama sebenarnya semakin meningkatkan persepi negatif masyarakat terhadap JAIS.
JAIS tidak boleh memaksakan masyarakat mengiktiraf mereka dengan memainkan sentimen 'murtad'. JAIS perlulah terlebih dahulu membezakan apakah reaksi negatif masyarakat terhadap mereka lewat insiden tersebut kerana imej dan tindakan JAIS, ataupun ia berkaitan isu murtad.
Dua perkara tersebut amat berbeza. JAIS tidak boleh mendakwa bahawa mereka adalah Islam, dan Islam adalah mereka.
Bertitik-tolak dari isu tersebut, sebagai pengamat sosial, saya tidak ingin menyentuh isu murtad ataupun bidang kuasa JAIS untuk bertindak mahupun isu sesetengah media yang dikatakan sebagai anti-Islam kerana didakwa salah melaporkan insiden berkenaan.
Apa yang saya ingin kemukakan ialah sesuatu yang lebih bersikap konstruktif dan menyeluruh.
Isu utama yang timbul selama ini ialah disebabkan persepsi masyarakat terhadap JAIS, serta kurangnya komunikasi JAIS sebagai autoriti agama di Selangor dengan komuniti agama-agama lain. Kita perlu sedar bahawa masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama.
Di atas kesedaran itu, saya mencadangkan agar:
1) JAIS memerlukan rebranding daripada imej 'penguatkuasa' yang 'strict' kepada pasukan penyantun, daie, penyelamat dan pebimbing yang penuh kasih sayang. JAIS juga perlu keluar dari sikap menghukum kepada sikap membimbing dan bersama masyarakat.
2) JAIS memerlukan seorang liason officer yang boleh berbahasa Inggeris dan berimej 'mesra masyarakat' untuk mengetuai komiti 'hubungan masyarakat majmuk' sebagai perantara di antara JAIS dengan komuniti agama-agama lain di Malaysia. Komiti ini bertanggungjawab untuk mengadakan hubungan rasmi dan tidak rasmi di antara JAIS dengan komuniti agama-agama lain tanpa prejudis. Sebarang persoalan berhubung pertelingkahan agama mestilah diselesaikan oleh komiti ini dahulu sebelum 'enforcement' atau kekuasaan digunakan.
3) JAIS perlu memperkasakan NGO-NGO Islam, badan-badan kebajikan, masjid-masjid dan badan-badan dakwah dengan memberikan tauliah untuk mereka menerima zakat dan mengagihkannya kepada yang memerlukan setaraf LZS. Pendekatan non-state actors lebih dekat di hati masyarakat dan tidak mencerminkan hubungan di antara 'penguasa yang memberi' kepada 'rakyat yang meminta' seperti sekarang ini. Hubungan di antara badan-badan tersebut akan lebih berbentuk tolong-menolong, bantu-membantu dan dipenuhi dengan kasih sayang serta sifat caring and sharing.
4) JAIS perlu memperatkan hubungan dengan para akademik di dalam bidang perbandingan agama, sosiologi serta politik, dan menjadikan mereka panel penasihat berhubung isu kemajmukan agama di Malaysia. JAIS mestilah bersedia untuk menerima kritikan, cadangan dan berubah di dalam berhadapan dengan para akademik yang bersikap kritis, analitik dan konstruktif. Para akademik yang dipilih juga mestilah bukan di atas bendera parti atau kecenderungan politik, tetapi kerana kelayakan, kecekapan dan pengiktirafan yang mereka terima samada di peringkat antarabangsa mahupun nasional.
5) JAIS perlulah mengamalkan sikap keterbukaan di dalam kebersamaan dengan umat Islam dengan menegenepikan sentimen kepartian, kemazhaban dan juga kecenderungan pemikiran. Jika JAIS mewujudkan ramai musuh dalaman, usaha mereka untuk mempersembahkan Islam di dalam bentuk yang cantik kepada masyarakat akan terus menemui kebuntuan.
Penulis adalah Pensyarah, Uiniversiti Islam Antarabangsa
No comments
Post a Comment