Pentadbiran UPSI tunggang-langgang, sistem peperiksaan tak telus

SAYA salah seorang dari ratusan guru yang mengikuti Program Pengsiswazahan Guru (PPG) ambilan Mac 2011 yang lalu dan ditempatkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebelum ini saya amat berbangga sekali walaupun hanya mendengar nama universiti ini yang melahirkan ramai guru berwibawa. Tetapi persepsi ini semakin hari semakin pudar apabila saya sendiri dan mungkin ramai rakan guru yang lain kecewa dengan tenaga pengajar dan pengurusan pihak kampus.

Pertama sekali saya mendaftar ke kampus ini sedikit terkejut kerana pelajar UPSI juga yang menguruskan segala pendaftaran PPG KPM 2011. Di dalam diri saya berkata mungkin itu hanya latihan untuk mengajar pelajar ini untuk menguruskan apabila bakal menjadi guru kelak. Amat mengejutkan apabila taklimat dan penerangan mengenai UPSI dan laman webnya juga diterangkan oleh pelajarnya.
Tidak cukup dengan itu, pengurusan mendapatkan jadual kuliah juga amat mengecewakan kerana boleh dikatakan ia cukup tunggang langgang. Pertama kali kami menghadiri kuliah dan kelas dengan semangat untuk belajar luntur sedikit apabila salah seorang pensyarah memarahi kami kerana dia tidak tahu jadualnya sendiri. Sikap ini tidak harus ada pada tenaga pengajar walaupun dia dipanggil gelaran doktor sedangkan Julai lalu guru sibuk mengulang kaji kerana bakal menduduki peperiksaan semester.
Tidak cukup dengan itu saya amat pelik dengan sistem pengurusan peperiksaan. Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan saya amat musykil. Ada bekas guru keluaran UPSI ini mendakwa markah diambil kira adalah daripada peperiksaan semata-mata.

Ternyata dakwaan ini benar kerana saya sendiri mengalaminya. Cukup kecewa apabila dapati rakan yang lain tidak pernah melayari perbincangan secara atas talian dan tidak menghantar tugasan mendapat markah lebih tinggi berbanding rakan guru yang lain.

Sekali lagi berita yang lebih mengejutkan yang diterima pihak UPSI boleh mengubah keputusan peperiksaan yang dikeluarkan? Saya amat berharap supaya Kementerian Pelajaran mengambil berat hal ini kerana UPSI sebuah institut perguruan tertua di Malaysia dan jangan dicemarkan namanya dengan orang bekerja sambil lewa.

BAKAL GRADUAN UPSI, Tanjung Malim

No comments

Powered by Blogger.