Tugu: Mengapa JK Fatwa Melaka membisu


Ahmad Danial

MELAKA, 17 Ogos: Tugu 1Malaysia yang dibina di Pantai Klebang dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak lama dahulu dibimbangi mempunyai unsur pemujaan selain ianya jelas suatu pembaziran.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Melaka, Ustaz Mohd Nor Omar berkata jika Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat tugu seumpama itu mempunyai unsur pemujaan mengapa Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka membiarkan sahaja ianya dibina tanpa membuat teguran kepada kerajaan negeri.

"Kita bimbang tugu tersebut mempunyai persamaan dengan pemujaan terhadap berhala seperti yang berlaku pada zaman jahiliyyah," katanya.

PAS, ujarnya mahu kerajaan negeri Melaka nyatakan pendirian berhubung isu itu jangan mendiamkan diri sahaja kerana akidah umat Islam mesti dijaga"

"Selain itu ia jelas suatu pembaziran yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat dengan kos pembinaan mencecah RM352,000 sedangkan kosnya tidak sampai RM100,000," tambahnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang pada bulan April lalu berpendapat tindakan kerajaan membina tugu “1Malaysia” adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala).

Menurut fatwa itu, tegahan itu dibuat berdasarkan ayat 90 dalam surah al-Maidah yang menyebut bahawa arak, judi dan menyembah berhala adalah amalan syaitan dan mestilah ditegah.

Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara'i (menutup pintu kemudharatan) bagi memelihara kemurnian akidah, sebagaimana larangan Nabi Muhammad terhadap tindakan sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul.

No comments

Powered by Blogger.