Siapa yang mahu jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang?



Tak sampai sebulan yang lalu, Lim Guan Eng dituduh rasis kerana menyebut tentang cita-cita UMNO yang mahu merebut jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang jika Barisan Nasional berjaya merampas semula pentadbiran negeri daripada Pakatan Rakyat.

Guan Eng telah dikecam hebat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan, yang menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang itu mempunyai agenda jahat untuk memecahbelahkan perpaduan BN di negeri itu.

Malah, Teng yang merupakan orang kuat Gerakan di Pulau Pinang menegaskan bahawa: “’BN negeri tetap berpegang kepada prinsip bahawa jawatan Ketua Menteri datang dari parti komponen BN, selain UMNO. Malah perkara ini tidak pernah disentuh pun tetapi dia (Guan Eng) sengaja bermain politik perkauman untuk menipu rakyat.”

Perjanjian BN Pulau Pinang

Kenyataan Teng disokong oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman yang turut menjelaskan bahawa UMNO tidak berhasrat untuk mengambil jawatan Ketua Menteri jika berlaku perubahan politik di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Laporan Bernama pada awal bulan ini memetik Zainal Abidin sebagai berkata: “Rakyat Pulau Pinang yang berbilang kaum tidak perlu bimbang kerana jika BN menang pada PRU ke-13, saya atau mana-mana wakil rakyat UMNO tidak akan jadi Ketua Menteri.

“Kita (BN) telah ada satu perjanjian iaitu wakil rakyat UMNO tidak akan jadi Ketua Menteri dan calonnya (Ketua Menteri) adalah dari parti komponen BN.”

Jika begitulah keadaannya, maka memang nakal Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP yang cuba menimbulkan isu yang tidak pernah wujud.

Atau benarkah isu itu tidak wujud?

Jawatan Ketua Menteri untuk UMNO

Hari ini, lidah rasmi UMNO telah mendedahkan apa yang selama ini memang tersirat di hati para pemimpin UMNO.

Tulisan seorang pengarang kanan Utusan Malaysia dengan tajuk kecil “Ketua Menteri Pulau Pinang untuk UMNO?” yang disiarkan hari ini mengesahkan apa yang disebutkan oleh Guan Eng sebelum ini.

Dalam tulisan Zaini Hassan, beliau mendesak UMNO dan BN supaya “memberi balik pusingan Ketua Menteri kepada UMNO yang menang semua kerusi yang ada dalam DUN sekarang”.

Tidak pasti apa maksud “memberi balik” kerana sejarah politik Pulau Pinang dengan majoriti penduduknya dari kaum Cina dan India tidak pernah mempunyai Ketua Menteri daripada UMNO. Yang ada sejak Merdeka adalah wakil dari MCA dan Gerakan sehinggalah BN tumbang dalam PRU ke-12 pada 2008.

Penulis lidah rasmi UMNO itu penuh yakin bahawa jika semua pihak setuju dengan cadangannya supaya UMNO diumumkan terelebih dahulu sebagai Ketua Menteri, Pulau Pinang akan berjaya diambil semula oleh BN.

Penulis itu menambah: “Jika semua pihak setuju maka, undi Melayu yang diberi kepada PKR itu akan kembali kepada UMNO dan UMNO pastinya akan menerajui semula negeri itu kelak. Walaupun ada yang kata idea ini seperti mimpi di siang hari atau mustahil kerana orang Cina tidak akan bagi, tapi dalam politik ia boleh berlaku”.

Justeru, pengarang lidah rasmi UMNO itu meminta Gerakan menutup mulut. Dia menulis: “Tak payah bising-bising. Gerakan jangan buat kecoh. Senyap dan tumpukan kepada pilihan raya”.

Meludah ke langit

Adakah Teng dan Zainal Abidin, malah wakil-wakil MCA dan MIC Pulau Pinang, akan menuduh Utusan Malaysia sebagai rasis kerana bermain dengan isu perkauman?

Lupakah Teng dengan kenyataannya sendiri yang menuduh Guan Eng menimbulkan isu UMNO mahu jawatan Ketua Menteri semata-mata kerana mahu menipu rakyat?

Malah, sebelum ini, satu lagi akhbar milik UMNO-BN, Berita Harian, juga pernah melaporkan kenyataan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim pada Jun lalu.

Dalam rencana itu, Azhar dipetik sebagai berkata: “Kami bukan gilakan jawatan Ketua Menteri kerana kalau UMNO nak jawatan itu, kita sudah tuntut pada 1990 kerana mempunyai lebih banyak kerusi berbanding Gerakan.”

Rencana Berita Harian itu turut menasihati pucuk pimpinan BN Pulau Pinang supaya “segera memadamkan rasa was-was yang semakin menghantui fikiran kaum Cina mengenai isu ini. Segala kegusaran boleh dipadamkan apabila ada jaminan pucuk pimpinan BN bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang terus diterajui kaum Cina jika BN kembali berkuasa di negeri ini”.

Nampaknya ada sesuatu yang tak kena dengan UMNO-BN di Pulau Pinang. Bukan itu saja, di kalangan tukang karut dan pecacai UMNO-BN juga seperti sudah tidak sehaluan lagi. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.