Isu penggunaan pembesar suara: Utamakan yang utama — Mohd Aizat Mohd Salleh
14 OGOS — Sekali lagi isu berkenaan agama Islam diura-urakan selepas timbulnya isu serbuan JAIS baru-baru ini. Pada 12 Ogos 2011 (Khamis) lalu, Berita Harian melaporkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengeluarkan arahan agar penggunaan pembesar suara untuk zikir pada waktu Subuh agar dihentikan.
Naib Presiden Umno, Dato Seri Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa larangan tersebut berpunca daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang tidak sensitif terhadap agama Islam.
Apabila berhadapan dengan isu agama, kita boleh melihat dengan jelas melalui kenyataan pemimpin-pemimpin politik, sama ada mereka jahil ataupun berpengetahuan mengenai agama Islam.
Memahami Prioriti
Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia, Profesor Dr Yusuf Al-Qaradhawi yang juga ulama Islam global yang diiktiraf sedunia pernah menghasilkan satu buku yang bertajuk Fiqh Al-Aulawiyyat atau disebut sebagai — Kefahaman di dalam Prioriti — dalam urusan umat Islam.
Di dalam buku tersebut, beliau telah mengemukakan beberapa teori dan praktis terhadap segala urusan umat Islam yang berlaku pada hari ini. Kata beliau, kebanyakan umat Islam — hatta ulama dan pemimpin Islam — selalu tidak tepat dalam membuat perbandingan dan penilaian terhadap hukum-hukum Islam — yang akhirnya menyebabkan Islam dipandang serong dan buruk, sedangkan matlamat hukum Islam itu diwujudkan adalah membawa kemaslahatan (kebaikan) kepada semua manusia.
Antara teori yang disebutkan beliau adalah, ‘Keutamaan Amalan Fardhu kepada Amalan Sunat’ yang membawa erti, apabila seseorang Muslim itu berhadapan dengan amalan fardhu (amalan wajib) dan amalan sunat (yakni meninggalkan tidak berdosa, buat berpahala), maka amalan fardhu itu mesti didahulukan.
Beliau mengkritik sesetengah umat Islam yang sibuk memberikan perhatian yang lebih terhadap amalan sunat di dalam solat, puasa dan sebagainya, daripada memberikan perhatian kepada hal-hal yang wajib.
Beliau berkata: “Kita seringkali melihat pemeluk agama ini — Islam — yang melakukan qiyamullail (solat malam — tahajjud), kemudian dia pergi ke tempat kerja di mana dia mendapatkan gaji setiap bulan, dengan keadaan lemah dan tidak mempunyai kekuatan, sehingga dia tidak dapat bekerja dengan baik. Kalau dia mengetahui bahwa bekerja dengan baik itu hukumnya wajib dan mengetahui bahwa dia memakan harta - setiap akhir bulan — dengan cara yang tidak benar, maka dia tidak akan memperbanyak qiyamullailnya untuk dirinya sendiri, karana hal itu tidak lebih daripada amalan sunnah, yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.”
Begitu juga kita melihat seorang tokoh Ikhwan Muslimin, Imam Hassan Al-Banna, apabila ditanyakan kepadanya manakah yang lebih baik pada rakaat (bilangan) solat Tarawih — sama ada 8 atau 20 rakaat — beliau menjawab: “Buatlah mana-mana yang mampu dilakukan, keutamaannya hari ini adalah menjaga perpaduan umat Islam daripada berpecah — akibat perbalahan bilangan rakaat solat Tarawih — daripada bilangan rakaat itu sendiri.”
Hak Masyarakat, Hak individu
Dr Yusuf Al-Qaradhawi memberitahu lagi keutamaan hari ini adalah meletakkan ‘Hak Masyarakat Mengatasi Hak Individu — di dalam hukum dan urusan umat Islam. Iaitu mengutamakan hak orang ramai berbanding hak seorang individu. Ini kerana, seorang individu tidak dapat mempertahankan dirinya melainkan dengan bantuan orang ramai, justeru kepentingan orang ramai mesti didahulukan.
Beliau berhujah dengan pandangan ulama: “Kalau musuh kita mempergunakan kaum Muslimin sebagai benteng pertahanan mereka, ketika mereka dijadikan sebagai tawanan; kemudian mereka ditempatkan pada barisan tentera yang terdepan, untuk melindungi tentera mereka sendiri; dan kalau kita tidak menghancurkan pasukan tentera musuh itu akan membahayakan umat Islam, maka kaum Muslimin yang dijadikan sebagai benteng itu boleh kita bunuh.” Ia berasaskan bahawa kepentingan pihak teramai (umat Islam) perlu didahulukan berbanding individu yang sedikit.
Samalah kita melihat isu mengenai larangan penggunaan pembesar suara di Pulau Pinang itu. Dengan mengambil semangat maqasid syariah — yakni memberikan kesejahteraan kepada seluruh manusia — maka kepentingan ramai boleh didahulukan. Mungkin sesetengah mempertikaikan mengapa mengambil kepentingan sebahagian orang bukan Islam — yang tidak selesa dengan penggunaan pembesar suara tersebut — maka hujahnya: Amalan itu — berzikir menggunakan pembesar suara itu — bukanlah satu amalan wajib yang perlu diutamakan sedangkan mengutamakan pandangan dan kemaslahatan orang teramai yang mungkin termasuk orang Islam juga yang tidak selesa dengan tindakan tersebut (menggunakan pembesar suara). Mengelakkan Islam dipandang buruk dan perselisihan antara masyarakat yang tidak selesa terhadap Islam lebih wajib dielakkan daripada melakukan satu amalan sunat.
Ia tidak timbul isu menggadaikan prinsip atau tidak sensitif terhadap agama Islam — seperti yang didakwa Dato Seri Zahid Hamidi itu — bahkan sebenarnya memperlihatkan bahawa hukum Islam itu sentiasa menerima perubahan berdasarkan keadaan dan tempat serta memberi keselesaaan dan kesejahteraan kepada seluruh manusia.
* Mohd Aizat Mohd Salleh adalah pembaca The Malaysian Insider.
No comments
Post a Comment