Permit teksi: Kalau Syed Hamid tak boleh buat, jangan bantah – Anwar

SHAH ALAM: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar yang meminta pemandu teksi tidak mengadukan masalah mereka kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya berjumpa terus dengan SPAD.

Menurut Anwar, pemandu teksi di negara ini membantah pengeluaran permit untuk syarikat besar sejak puluhan tahun, tetapi permit baru tetap diberikan kepada kroni Umno.

“Puluhan permit diluluskan kepada pemimpin dan bekas Menteri yang bersara. Jadi, mereka tidak ada jalan keluar melainkan meluahkan perasaan mereka kepada Pakatan Rakyat.

“Jadi soal Syed Hamid nak membantah tak berbangkit. Kalau dia nak bantu, batalkan permit kepada taukeh-taukeh, kembalikan permit kepada pemandu teksi.

“Kalau dia tak boleh buat, sepatutnya dia tak boleh bantah,” kata Anwar ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Ahad lalu Anwar dalam satu majlis bersama pemandu teksi di Petaling Jaya menyatakan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menamatkan pemberian permit teksi secara besar-besaran kepada syarikat teksi yang kebanyakannya dimiliki kroni Umno.

Sebaliknya, permit teksi akan diberikan terus kepada pemandu teksi secara individu.

Bercakap lebih lanjut, Anwar berkata, pemandu teksi mengambil sikap untuk mengadu kepada pimpinan Pakatan Rakyat kerana masalah mereka selama ini tidak pernah dipedulikan pimpinan Umno-BN.

Sebaliknya, Anwar menegaskan Pakatan akan menyelesaikan masalah pemandu teksi dengan segera sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.

“Pakatan Rakyat bersetuju membuat penilaian semula dan pendekatan baru bukan sahaja daripada segi permit teksi kepada pemandu tetapi juga peluang pinjaman, pengurusan teksi, dan memastikan mutu kenderaan yang lebih baik,” kata Anwar.

No comments

Powered by Blogger.