Ramai Rakyat Malaysia Dan Golongan Pekerja Mula Sedar Akan Kelemahan UMNO

Azmin mahu Putrajaya dedah akaun terperinci Dawama di Parlimen

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali mahu membawa krisis Dawama-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke Parlimen untuk rakyat sendiri mengetahui kedudukan kewangan syarikat itu — yang didakwa menjadi punca hampir 400 pekerjanya diarah bercuti tanpa gaji bermula semalam.

Tegas Azmin, tindakan Dawama itu tidak mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan sehingga menyebabkan pekerja hilang punca pencarian, terutamanya menghadapi Ramadan dan Aidilfitri.

“Kalau Dawama kata mereka tidak dapat keuntungan, tidak mengapa... kita akan bawa perkara ini di Parlimen dan kita akan minta agar akaun syarikat ini dibentangkan di Parlimen.

“Saya akan kaji perkara ini dan saya bersama pimpinan akan bangkitkan perkara ini di Parlimen, kita juga mahu tahu apa yang berlaku... adakah benar perjanjian konsesi ini menyebabkan syarikat tidak mendapat keuntungan,” katanya pada sidang media di depan pejabat Dawama di Hulu Klang di sini.

Dawama, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada minggu lalu telah memberikan notis cuti tanpa gaji kepada 380 pekerja ekoran masalah kewangan dihadapinya.

Notis itu yang menggariskan pertikaian dengan DBP sebagai alasan, agensi terletak di bawah Kementerian Pelajaran, sebagai punca kepada tindakan tersebut.

Dawama dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan rumit.

“Selama ini pengurusan syarikat sentiasa diangkat (dipuji), tapi kali ini kita akan bongkarkan... kalau syarikat yang mengalami masalah, maka pengurusan syarikat yang perlu memikul beban bukan pekerja.

“Pekerja-pekerja tidak harus ditamatkan perkhidmatan kerana masalah yang berlaku,” kata Azmin.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR mahu Putrajaya menamatkan konsesi antara Dawama dan DBP dengan serta-merta.

Tambah beliau, proses penswastaan itu membuktikan banyak penyelewengan yang berlaku sehingga menyebabkan syarikat mengalami kerugian.

“Banyak projek penswastaan kerajaan gagal, banyak yang menemui kegagalan... penswastaan sepatutnya memberikan kebaikan kepada pekerja.

“Jadi kita mahu ia ditamatkan dan dikaji semula, serahkan semula kepada DBP untuk menguruskannya,” katanya.

Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.

Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Awal pagi ini The Malaysian Insider melaporkan Gerakan Darurat Bahasa (GDB) mahu kerajaan membatalkan penswastaan kerja-kerja mencetak dan memasarkan bahan terbitan DPB.

Setiausaha Penyelaras GDB Hasni Abas berkata langkah kerajaan menswastakan urusan mencetak, mengedar dan memasarkan terbukti gagal, dan sudah tiba masanya aktiviti itu terletak di bahawa DBP sendiri selaku sebuah badan berkanun kerajaan.

No comments

Powered by Blogger.