Umno sudah tidak ada ruang bebas bersuara, dakwa bekas menteri

KUALA LUMPUR, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kesal kerana Umno kini sudah tidak lagi menyediakan ruang untuk memberi perbezaan pendapat, mendakwa parti kaum Melayu itu telah beralih daripada dasar-dasar dipraktikkan oleh presiden-presiden terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak.

Bekas menteri kerajaan pusat dan ahli Majlis Tertinggi Umno ini memberitahu The Malaysian Insider, beliau turut bimbang dengan budaya politik semasa dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sambil menegaskan, ia jauh berbeza berbanding pendekatan terbuka dan telus yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri dan Presiden Umno.

“Malangnya, keadaan sudah banyak berubah dalam Umno sendiri sejak era Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn. Ketika itu ada banyak kebebasan untuk menyuarakan pandangan kami, ruang untuk perbezaan pendapat dan debat terbuka,” kata beliau.

“Tetapi sekarang anda tidak ada persekitaran sedemikian,” kata Kadir dengan menekankan faktor-faktor yang membawanya untuk menyertai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Kata beliau langakh itu akan membolehkannya memberi pandangan mengenai isu-isu semasa, yang tidak boleh dilakukan dalam Umno sendiri.

Bekas menteri pelancongan itu merujuk kepada kritikan sesetengah pihak ke atas ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah yang melahirkan pendiriannya mengenai cara pentadbiran Najib mengendalikan isu perhimpunan Bersih 2.0.

“Ia hanya satu komen, tidak bermakna beliau telah bertindak bertentangan dengan parti atau kerajaan tetapi kini ada gesaan agar beliau (Saifuddin) dipecat dari Umno,” kata Kadir.

“Ini tidak berlaku pada masa-masa lalu,” katanya lagi.

Kadir juga membandingkan kepimpinan Umno semasa dengan masa lalu dan menggunakan kes bekas Ketua Pemuda Umno dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris untuk mengetengahkan poin beliau.

“Kebanyakan daripada kami dalam Pemuda Umno tidak bersetuju apabila Datuk Harun dikenakan tuduhan rasuah.

“Kami menjadi saksi tentangan ke atas kerajaan ketika itu. Kami berkempen bagi Datuk Harun di seluruh negara... tetapi tiada tindakan diambil ke atas kami, meskipun ada perbezaan pendapat,” katanya.

“Itu bukan bermakna kami bertindak menentang BN ataupun kerajaan, ia hanya perbezaan pendapat,” kata Kadir.

Meskipun kesal dengan keadaan semasa dalam Umno, Kadir berkata beliau akan kekal dalam parti itu.

“Saya masih memegang jawatan dalam parti... ada banyak perkara dalam Umno yang saya setuju, sesetengah dasarnya,” kata beliau yang juga bendahari Umno Kulim Bandar-Baharu.

Kadir merupakan salah seorang timbalan presiden Amanah yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang.

No comments

Powered by Blogger.