AMK gesa Saiful didakwa tuduhan qazaf

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR 10 Jan : Menyifatkan pembebasan Ketua Pembangkang dalam kes Fitnah II adalah satu kemenangan rakyat, Angkatan Muda KEADILAN menggesa penuduh, Saiful Bukhari Azlan dihadapkan ke Mahkamah syariah atas tuduhan memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dalam kes ini AMK terlibat dari awal melakukan pelbagai kempen termasuk membuat laporan qazaf dan mengedarkan risalah Fitnah II dan sebagainya," Kata ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

"Justeru, saya mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk memulakan prosiding qazaf di mahkamah syariah kerana itu janji mereka yang mengatakan bahawa kes ini akan dibuka semula selepas semuanya selesai," katanya kepada wartawan di hadapan Mahkamah Tinggi, semalam.

Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini menolak permohonan supaya pihak pendakwaan syarie memulakan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Mohd saiful.

Pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom untuk membatal permohonan Anwar Ibrahim supaya pemuda itu didakwa mengikut qazaf.

Ekoran itu Anwar tidak boleh meneruskan permohonannya untuk mengarahkan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain untuk mendakwa Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf.

Selain itu, Shamsul turut menyatakan syukur dan terharu kerana keputusan Mahkamah yang memihak kepada Anwar.

"Hari ini (9 Januari) merupakan satu kemenangan untuk rakyat yang telah sekian lama berjuang untuk memastikan agar berlaku reformasi menuntut reformasi dalam sistem kehakiman," kata beliau.

Beliau berkata rakyat perlu terus bangkit melawan segala kezaliman dan terus berjuang menuntut agar sistem kehakiman terus direformasikan demi kepentingan negara.

"Hari ini terbukti rakyat juga adalah hakim untuk negara, tapi ingat kita perlu terus bangkit untuk mereformasikan sistem kehakiman dari dikongkong oleh pemerintah Barisan Nasional," tegas beliau.

No comments

Powered by Blogger.