Malaysia di bawah UMNO-BN akan bankrap menjelang 2019?

KUALA LUMPUR, 11 JAN – Hutang Malaysia dijangka melonjak dahsyat sehingga mencapai RM1,300 bilion jika UMNO-Barisan Nasional masih mengekalkan pengurusan perbelanjaan dan pinjaman yang tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, berdasarkan prestasi dan pengurusan kewangan negeri-negeri Pakatan Rakyat, adalah jelas keperluan menukar kerajaan dalam pilihan raya umum ke-13 dapat menyelamatkan Malaysia dari menjadi muflis.

Jelas beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, negeri-negeri Pakatan telah berjaya mengurus kewangan dengan cekap agar rakyat tidak dibebani dengan hutang.

“Di Pulau Pinang, hutang kerajaan negeri telah dikurangkan daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, adalah jelas rakyat Malaysia yang inginkan kehidupan lebih baik untuk hari ini dan generasi depan perlu memilih sama ada sebuah kerajaan yang boros atau kerajaan yang berhemat dan telus yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian mengulas kenyataan felo Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohd Ariff Abdul Kareem yang menyatakan bahawa kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi.

Mohd Ariff dipetik sebagai berkata: “Jika tindakan tidak diambil untuk menyongsangkan trend dalam perbelanjaan dan pendapatan kerajaan, jangkaan menunjukkan bahawa hutang negara Malaysia akan menjadi 100 peratus daripada KDNK menjelang 2019.”

Justeru, Guan Eng menjelaskan bahawa apa yang dinyatakan Mohd Ariff itu menunjukkan situasi yang amat berbahaya buat rakyat Malaysia.

“Yang lebih merunsingkan, Mohd Ariff juga menyatakan bahawa kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Lebih teruk, ujarnya, jika ditambah dengan data dari Laporan Tahunan Bank Negara 2010, Malaysia di bawah UMNO-BN bakal menjadi negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.