Setiausaha Politik: Raja Petra Perlu Beri Maklumat Lanjut Dakwaan Rasuah

Saya terpanggil untuk memberi komen selepas membaca temubual eksklusif bekas rakan reformasi yang juga Penulis Blog, Raja Petra Kamaruddin (RPK) bersama akhbar-akhbar milik UMNO yang disiarkan semalam.

Meskipun saya menghormati hak RPK melakukan analisa politiknya namun saya berasa mushkil dan sesungguhnya hanya beliau seorang sahaja yang mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut.

Pada masa yang sama saya percaya rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh RPK seperti disiarkan The Sunday Times dan Berita Minggu- dua akhbar yang dulunya pernah mengkritik dan mengutuk RPK secara keras kerana menentang Kerajaan Barisan Nasional.

Walau apapun sebab yang membawa kepada tindakan akhbar-akhbar tersebut bertukar selera serta ghairah memberi keistimewaan kepada RPK, yang pasti RPK harus bertanggungjawab ke atas apa yang beliau telah katakan.

Tuduhan beliau bahawa wujud amalan rasuah di Selangor; duit kopi yang melibatkan para usahawan berbangsa Cina, adalah tuduhan serius. Kami menuntut RPK untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada Kerajaan Negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan.

Kerajaan Negeri bersedia membayar kos perjalanan RPK ke Pejabat Pentadbiran Kerajaan kerana untuk makluman RPK Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Negara ini khususnya di Selangor. Jumlah tersebut termasuk di dalam Geran Selangorku yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan 2012 yang lalu.

Sesungguhnya inilah sekecil-kecil jasa yang beliau boleh lakukan untuk membantu kerajaan yang benar-benar mahu membenteras rasuah; apatah lagi beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor. RPK tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban.

Kami sesungguhnya simpati dan amat memahami kekecewaan beliau yang terpaksa hidup dalam buangan di tengah-tengah permasalahan peribadi yang beliau hadapi, tetapi dengan melemparkan dakwaan liar sebegini tidak akan membantu membawanya pulang ke negara ini. Sebaliknya ianya hanya akan mencemarkan lagi imejnya yang sudah sediakala tercalar.

Rata-rata teman reformasi yang sempat dihubungi serta rakyat biasa, telahpun membuat kesimpulan bahawa RPK begitu terdesak serta mengharapkan kebebasan dan dibenarkan pulang ke negara ini. Insuransnya mudah; tohmahan dan fitnah terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai serangan awal menghadapi pilihan raya umum.

FAEKAH HUSIN

SETIAUSAHA POLITIK KEPADA

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.