Surat Rasmi Pecat Hasan Ali Sudah Dihantar

PAS telah menghantar surat pemecatan keahlian kepada bekas Pesuruhjaya Selangornya, Datuk Hasan Mohamad Ali, semalam, kata setiausaha agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.

"Melalui surat itu, kita telah nyatakan beliau telah dipecat sebagai ahli namun dia berhak membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari," kata Mustafa yang dipetik oleh Harakahdaily.

Surat itu disampaikan dengan tangan oleh kakitangan Pejabat Agung PAS ke rumah Hasan di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail.


Surat yang ditanda tangani oleh setiausaha agung PAS itu diserahkan kepada anak Hasan Ali kira-kira jam 12 tengahari semalam.

Mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu lebih tiga jam di Kuala Lumpur Ahad lalu, membuat keputusan memecat Hasan berkuatkuasa serta merta.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, pemecatan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan PAS.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Datuk Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS," kata Abdul Hadi.

Timbulkan keresahan

Pemimpin kontroversi itu menimbulkan keresahan pelbagai pihak khususnya di kalangan anggota dan penyokong Pakatan Rakyat kerana mengambil pendirian bercanggah dengan partinya dan pembangkang.

Antaranya mempersoalkan konsep dasar negara kebajikan yang dterajui PAS.

Hasan sebelum ini mengecam golongan bukan ulama dalam PAS dan menuduh parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan Islam.

Beliau juga mempersoalkan kewajaran ahli dan penyokong PAS yang diminta hadir pada perhimpunan ‘Bebaskan Anwar’ semalam yang telah dipersetujui oleh Abdul Hadi dan timbalannya, Mohamad Sabu.

Beliau juga mencadangkan supaya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai perdana menteri jika ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah dalam kes bicara liwatnya.

No comments

Powered by Blogger.