Piala AFC B-22: Malaysia tidak protes, titah Sultan Pahang

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.1553.1318663228!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg

SULTAN Ahmad Shah bertitah mengesahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan menghantar bantahan rasmi berhubung dakwaan Myanmar menurunkan pemain lebih umur pada pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun, yang berakhir Selasa lepas di Yangon.

Sehubungan itu, Presiden FAM bertitah agar tidak mempertikaikan umur mereka kerana "semua cerita telah selesai."

"Kita tak payah mempertikaikan berapa umur mereka. FAM tidak akan menyertainya kerana semua cerita telah habis dan kita tidak akan mengambil bahagian," titah baginda di sini, malam tadi.

Terdahulu baginda merasmikan temasya Sukan Malaysia ke-15 di Stadium Darul Makmur, Pahang.

Kelmarin, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, FAM tidak akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Azzuddin berkata, badan induk bola sepak negara itu juga tidak menghantar sebarang surat bantahan rasmi kepada AFC dalam tempoh bantahan 48 jam selepas perlawanan itu tamat pada pukul 7 petang, Selasa lepas.

"Antara sebab FAM tidak berbuat demikian kerana tidak mempunyai bukti kukuh. Maklumat asas dan rasmi yang digunakan AFC adalah berasaskan data-data rasmi seperti pasport dan dokumen peribadi yang didaftarkan di AFC untuk kejohanan berkenaan. AFC juga mempunyai sistem pangkalan data sendiri Sistem Pentadbiran AFC.

"Saya ingin jelaskan bahawa penganjuran acara bola sepak pada Sukan SEA, Sukan Asia dan Piala Suzuki AFF, tidak terletak di bawah bidang kuasa AFC. Jadi apa-apa data yang ada semasa pendaftaran sukan itu tidak diambil kira oleh AFC, kerana ia di luar bidang kuasa mereka.

"Pihak sekretariat FAM juga kena berhati-hati supaya bantahan itu tidak akan memberi implikasi yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti FAM," katanya.

Malaysia membuat bantahan awal sejurus tamat perlawanan terakhir kumpulan G pusingan kelayakan kejohanan itu yang menyaksikan skuad kendalian Ong Kim Swee tumpas 1-2 kepada tuan rumah Myanmar.

Bantahan itu dibuat hasil pemerhatian dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa dan kelab Yangon United serta laporan media yang mendapati Myanmar membariskan empat pemain melebihi usia 22 tahun iaitu penjaring dua gol Myanmar ketika menentang Malaysia, Kaung Si Thu (25 tahun), kapten Kyaw Zayar Win (24), Ye Zaw Htat Aung (26) dan Thet Naing (23).

Azzuddin berkata, AFC telah menghantar surat jawaban kelmarin, terhadap protes yang telah dibuat pasukan Malaysia dan memberi garis panduan perkara-perkara yang perlu dilakukan FAM.

No comments

Powered by Blogger.