Haniza tegur Umno-BN supaya lebih bertanggungjawab
PETALING JAYA 8 JULAI : Wakil Rakyat Selangor khususnya dari Umno-BN diminta turut serta berganding bahu dengan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bagi memajukan negeri ini dengan mengemukakan pandangan bernas ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung.
Timbalan Speaker DNS, Haniza Talha berkata, apa dilihatnya di sepanjang empat tahun PR mentadbir Selangor, barisan pembangkang Umno-BN tidak menggunakan sepenuhnya sidang DNS sebagai ruang untuk mengemukakan atau berkongsi pandangan dengan Adun PR bagi kemajuan negeri.
“Apa yang saya perhatikan wakil rakyat khususnya daripada pembangkang tidak menggunakan peluang ini sebaiknya demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri ini. Mereka dilihat hadir sidang dewan dan menyertai perbahasan tanpa berpandukan fakta. Ia menjurus kepada perbahasan yang emosi dan kualiti mereka juga rendah.
“Sidang dewan perlu digunakan sepenuhnya kerana di situlah ruang bagi kita membuat sebarang keputusan dengan pembangkang juga memainkan peranan dalam pembangunan negeri Selangor ini. Namun apa yang dilihat ini tidak berlaku. Mereka juga menghantar soalan kurang bagi sesi soal jawab iaitu kurang dari 10 soalan,” katanya kepada TV Selangor.
Beliau yang juga Adun Taman Medan turut menganggotai Jawatankuasa Penyemak Soalan bagi sidang DNS menjelaskan setiap Adun diberikan tempoh sebulan sebelum sidang dewan dilangsung dengan mengemukakan 20 soalan iaitu 10 soalan lisan dan 10 soalan bertulis yang berkaitan isu atau permasalan di kawasan diwakili.
Katanya, apa diharapkan Adun Umno-BN perlu memberikan keutamaan demi kemajuan negeri dengan lebih serius dan bersungguh dalam mengemukakan sebarang permasalah atau isu ketika berlangsungnya sidang dewan.
“Pembangkang juga punya tanggungjawab dan memainkan peranan tersendiri dalam pembangunan demi kemajuan negeri ini. Mereka perlu memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri dalam perkara ini,” katanya yang berharap pemimpin Umno-BN tidak terus mengamalkan sikap pentingkan diri serta beretorik.
Haniza selanjutnya berkata, apa yang menghampakan soalan diajukan juga berulang-ulang serta kehadiran yang menghampakan.
Tambahnya, ketika penggulungan dibuat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang dewan, majoriti Adun Umno-BN tidak mengikutinya dan soalan sama dikemukakan lagi pada sidang seterusnya.
Dalam perkembangan ini, dilaporkan Umno-BN sebagai pembangkang dilihat masih gagal menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu setelah sekian lama bertindak sebagai peneraju Kerajaan Negeri.
Sidang DNS yang akan datang akan berlangsung pada 9 hingga 13 Julai ini.
No comments
Post a Comment