DEBAT; TELADANI SIKAP DUA TOK GURU



Selepas banyak pihak menegur tentang diskusi antara Dr Maza dan Zamihan yang tidak membawa kepada sebarang manfaat, pendokong kepada kedua pihak ini masih mempertahankam tindakan mereka. Antaranya ada yang menggunakan hujah, diskusi ini bukan bersifat furuiy, tetapi membincangkan soal tuduhan ekstrimis terhadap Dr Maza dan tuduhan Syiah terhadap Zamihan.

Kalau semua masih ingat, orang yang paling banyak dituduh Wahhabi adalah Tok Guru Nik Aziz. Beliau banyak mengeluarkan pandangan kotroversi terutama balam bab akidah. Masih teringat isu seperti tuhan samseng, Nabi Muhammad sama macam mamat-mamat kampung biasa, dan bermacam lagi sehingga ramai Ulama pondok di Kelantan mengecamnya malah ada yang telah mengkafirkan batang tubuh Tok Guru.

Namun apa yang Tok Guru buat? Beliau tidak mengambil pendekatan debat untuk menangani tuduhan sebegini. Pengalamannya dalam politik, dan kebersamaannya bersama rakan-rakan gerakan Islam mengajar bagaimana meletakkan prioriti dalam menjalankan urusan Islam. Tok Guru tidak melayan sebarang tuduhan tersebut dengan cara membalas tuduhan terhadap pengkritik. Sebaliknya terus menggerakkan kesedaran politik untuk mengembalikan kuasa Islam.

Hasilnya, perbezaan pandangan agama antara mereka tidak membawa kepada permusuhan antara para pengikutnya. Malah, hampir semua pengikut aliran pondok sepakat menyokong kerajaan Islam Tok Guru Nik Aziz. Walaupun berlainan aliran, dalam bab kuasa Islam semua sedar sokongan perlu diberikan kepada wadah perjuangan Tok Guru.

Sama juga tuduhan Wahabi yang dilempar terhadap Tuan Guru Ayah Chik. Sesiapa yang biasa ikut kuliahnya, pasti tahu bagaimana pendiriannya terhadap sesetengah amalan masyarakat melayu dan bagaimana teguhnya beliau berpegang kepada al-Quran dan Sunnah melebihi pandangan manusia lain. Dari muda hingga ke tua, batang tubuh beliau tidak pernah berhenti dari dihujani peluru wahabi, ekstrim, jumud dan sebagainya.

Tetapi beliau juga sama dengan rakan seperjuangan di Kelantan itu, tidak pernah melayan provokasi untuk berdebat bagai dalam isu tersebut atas nama aliran agamanya. Tuan Guru terus menjalankan agenda utama menyatukan ummah atas nama Islam. Perbezaan tidak menghalang beliau untuk mendekati kumpulan tidak sealiran dengannya dan menjalankan kerjasama atas hal kebaikan dan ketaqwaan.

Hasilnya, pegangan beliau dihormati seluruh pihak. Penuntut aliran tradisional tidak bermusuh dengan beliau, bahkan memberikan pengiktirafan yang besar terhadap apabila beberapa kali dijemput menyampaikan ucapan dalam perhimpunan pondok-pondok seluruh negara.

Tok Guru dikenali sebagai seorang yang tegas dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaahnya. Setiap ucapannya pasti ditunjangi dengan al-Quran dan Hadis. Seringkali beliau di dalam ucapan dan kuliahnya membela para sahabat dan Ulama sunni yang biasa di kritik Syiah. Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas menjadi pegangan selamanya.

Tetapi dalam hal penyatuan ummah, beliau tidak mengambil langkah debat untuk menentukan aliran mana lebih benar, sebaliknya bersama sebagai ahli Sekretariat Mendekatkan aliran Sunni-Syiah. Beliau tidak membincangkan hal perbezaan, tetapi mencari titik persamaan supaya boleh bekerjasama demi Islam. Ayah Chik tidak kisah langsung apabila dituduh pro-Syiah dengan tindakannya itu. Baginya, masadepan Islam lebih bernilai dari maruah yang tercalar.

Alhamdulillah, apabila kedua tokoh ini meletakkan maslahah Islam lebih tinggi, maruah mereka dijaga oleh Allah. Sewaktu kematian al-Marhum Tok Guru Nik Aziz, seluruh negars merasai pemergiannya. Manusia berbagai lapisan berkunjung tanpa paksa ke Kelantan memberi penghormatan terakhir kepada jenazahnya. Begitu juga Tuan Guru Ayah Chik, diangkat sebagai orang no.2 di dunia selepas Dr Yusuf Qardawi dari sudut ilmu. Semakin hari semakin ramai cuba mendekati beliau dan memberi berbagai harapan untuk menyelesaikan masalah ummah yang kian meruncing.

Kerana itulah saya bertambah yakin sebagaimana yang saya tulis dahulu, di akhir zaman yang sangat mencabar ini, alim ulama juga tidak akan terlepas dari fitnah dunia yang mengelirukan. Musuh Islam terlalu licik mencari setiap inci kelemahan umat dan mempergunakannya sebagai alat meruntuhkan Islam. Satu perkara yang boleh menjadi penyelamat kepada mereka adalah terlibat dalam dunia politik, dan selami tipudaya politik musuh Islam.

Maka dengan apa yang dilakukan kedua 'tokoh' agama hari ini, saya masih tidak menjumpai di mana letaknya maslahah kesatuan ummah padanya. Di mana agenda menyedarkan pengikut masing-masing tentang kepentingan mengembalikan kuasa politik Islam sebagai agenda paling utama mengatasi segala isu lain.

Kononnya mereka berkata mahu bebas dari berpolitik. Tapi apa yang jelas, mereka sendiri kecundang dan tertipu bila cuba berdamping orang politik. Ada yang menyokong pemimpin yang zalim menggunakan nas-nas yang dihafal, ada juga yang sebelum ini membidaahkan sesuatu perbuatan, tetapi apabila melakukannya, difatwakan halal pula atas alasan protokol.

Kerana itu Tuan Guru Ayah Chik amat tekankan soal kesedaran politik ini sejak dahulu. Beliau ada ceritakan, dahulu ada Tok Guru pondok yang mahir baca kitab kuning bab akidah dan sebagainya, tetapi bila nak lawan penjajah, masuk kumpulan Komunis pula! Itu sebab dalam kitab dulu hanya sebut kumpulan sesat ialah seperti Muktazilah, Qadariah, Jabariah sahaja. Tak sebut pula Komunis!

Tok Guru Nik Aziz di akhir hayatnya juga pernah berkata kepada rakan sepengajian zaman mudanya dahulu, ketika rakannya itu bertanya,

"Kenapa kamu tidak habis-habis lagi terlibat politik. Sudah-sudahlah. Bersara sajalah. Kenapa tidak mengajar kuliah agama saja."

Jawab Tok Guru:
"Sebenarnya ilmu politik adalah ilmu yang sangat tinggi. Politiklah yang mematangkan ilmu agama saya. Kalau dulu, bila ayat al-Quran sebut tentang musuh, kita hanya faham musuh yang ada zaman Nabi. Tetapi apabila masuk politik, baru kita faham siapa musuh sebenar yang ada di zaman ini."

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments

Powered by Blogger.