PENJELASAN ISU "UMNO BUKAN PARTI SESAT"

Artikel saya kelmarin (22 Februari 2016) tentang perintah mahkamah yang menghalang penggunaan nama PAS oleh Kumpulan Islah pada 1990 telah dimanipulasikan oleh satu portal berita iaitu mynewshub dengan memutarbelitkan tajuk asal kepada "Umno bukan parti sesat".

Berita yang dimanipulasikan tersebut boleh diikuti di sesawang di bawah
http://www.mynewshub.cc/2016/02/22/umno-bukan-parti-sesat-pas/

Sedangkan artikel asal saya disiarkan disesawang berikut
http://pas.org.my/arkib/hari-ini-dalam-sejarah-pas/7654-hari-ini-dalam-sejarah-pas-mahkamah-perintah-halang-kumpulan-islah-salah-guna-nama-pas-22-februari-1990

Isu yang dimanipulasikan ialah kenyataan saya tentang sikap Kumpulan Islah yang menganggap Umno dan serpihannya, Semangat 46 adalah kumpulan sesat, sedangkan PAS melihat Umno dan ahli-ahlinya adalah sasaran dakwah. Saya tidak menyebut pun yang pemimpin PAS mengatakan Umno bukan parti sesat.

Yang dimaksud oleh pimpinan PAS ialah kedudukan ahli-ahli Umno yang menolak perjuangan Islam kerana jahil bukanlah jatuh kafir seperti yang dipegang oleh Kumpulan Islah. Sebaliknya Dewan Ulamak PAS yang bersidang di Pondok Pasir Tumbuh hanya meletakkan ahli-ahli Umno yang tahu tetapi menolak Islam secara sedar sahaja mengalami kerosakan akidah. Yang selain itu hanya menjadi zalim dan fasik, lalu ia menjadi kelompok sasaran dakwah PAS yang paling utama.

PAS berpegang bahawa ahli-ahli Umno memainkan peranan penting dalam memenangkan PAS dalam pilihan raya kerana PAS bertanding di kawasan Melayu seperti Kelantan. Perbuatan mengkafirkan Umno secara borong akan merugikan politik PAS.

Tindakan PAS mengadakan tahaluf siasi dengan serpihan Umno seperti PMS46 (1989-1996) dan PKR (1999-sekarang) adalah bertolak dari sikap PAS yang menganggap Umno adalah sasaran dakwah utamanya. Bahkan, hari ini pun PAS masih berusaha mendekati Umno sebagai sasaran dakwah ketika parti sekular kebangsaan itu di ambang keruntuhan.

Saya percaya ada pihak tertentu yang tidak takutkan azab Allah telah memanipulasikan artikel saya dengan menukarkan tajuk berita tersebut, kemudiannya ada pihak lain yang berfahaman serupa membuat print screen pada tajuk dan gambar sahaja lalu diviralkan dengan tujuan yang jahat.

Kepada Allah saya serahkan mereka semua. Semoga Allah memberikan hidayah dan mengampunkan perbuatan jelek mereka itu.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
23 Februari 2016

No comments

Powered by Blogger.