KENDERAAN RASMI AL-MARHUM TOK GURU NIK ABDUL AZIZ
(Sunarti Kibat - Bekas Wartawan Utusan Malaysia)
Saya masih mengingati, kenderaan rasmi Tok Guru pada ketika itu ialah Mercedes Benz hitam, bernombor DAB 80. Pada suatu hari, ketika kempen sedang rancak berlangsung di Semerak, Tok Guru turut dijadualkan untuk memberi ceramah selepas waktu Isyak. Petang itu beliau mempunyai tugas nun jauh di Kuala Krai. Sehabis tugas di Kuala Krai pada lewat petang, beliau terus ke lokasi sepatutnya untuk menyampaikan ceramah.
Disebabkan kehadiran Tok Guru ke majlis ceramah pilihan raya dengan kenderaan rasmi pada malam itu, ia menjadi modal terbaik kepada parti lawan untuk mempertikaikan ketulusannya. Sehingga beliau disifatkan 'cakap tak serupa bikin' kerana turut menyalahgunakan harta kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan politik.
Persoalannya, apakah reaksi Tok Guru setelah beliau dihentam kerana menyalahgunakan kenderaan menteri besar untuk ke ceramah politik?
Keesokan paginya saya menemui Tok Guru untuk bertanyakan jawapannya atau bahasa wartawan buat 'follow up'. Jawapan beliau amat memeranjatkan saya. Saya menyangka Tok Guru akan marah atau sekurang-kurangnya hanya mendiamkan diri sahaja. Saya tidak ingat ama ada berita tersebut disiarkan atau tidak.
Dalam satu lagi majlis ceramah, selepas Tok Guru menerima kritikan tersebut, beliau bersungguh-sungguh memohon maaf kerana telah melakukan kesalahan. Iaitu menyalahgunakan kenderaan rasmi bagi tujuan ceramah politik. Beliau juga berjanji tidak akan mengulanginya. Itulah sebenarnya jawapan awal Tok Guru kepada saya ketika saya maklumkan mengenai kritikan salah seorang pemimpin politik lawan ke atasnya.
Tok Guru menjelaskan bahawa, beliau terpaksa menggunakan kereta rasmi itu kerana majlis yang dihadiri sebelumnya di Kuala Krai tamat lewat petang. Oleh kerana itu, beliau terpaksa bergegas ke Semerak dan tidak sempat balik ke Kota Bharu untuk menukar kenderaan lain. Setelah permohonan maaf itu dibuat oleh Tok Guru, maka isu salah guna kereta rasmi menteri besar berakhir malam itu juga dan tidak ada siapa yang mengungkitnya lagi.
Begitulah akhlak yang ditunjukkan oleh Tok Guru yang semestinya sukar untuk dilakukan oleh orang lain sekiranya berada ditempat beliau.
No comments
Post a Comment