SEDIAKAN KEKUATAN SEMAMPUNYA – Presiden PAS



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

PUCHONG: Jentera PAS mestilah membuat persediaan dengan segala kekuatan yang termampu agar layak meraih pertolongan Allah, demikian seru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tegasnya, selagi terdapat anggota yang menyembunyikan keupayaan dan tidak menyediakan kekuatan semampunya, maka tidak layak mendapat pertolongan Allah.

Beliau berkata demikian pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di Stadium Tertutup MPSJ, Seri Kembangan, di sini 30 Januari lalu.

Tuan Guru merujuk kekuatan tenaga, harta dan wang ringgit serta seumpamanya yang disediakan mengikut kadar kemampuan pada diri dan tidak semesti menyamai kekuatan musuh.

Jelasnya, sekalipun musuh mempunyai kekuatan berlipat ganda, dengan pertolongan Allah akan tetap mampu dihadapi sepertimana PAS pernah menang di Terengganu, Kedah dan Perak, juga kekal di Kelantan dan Selangor, selain kerusi di beberapa negeri lain.

“Sebaik-baik bersahabat empat orang, sebaik-baik pasukan 400 orang, sebaik-baik tentera 4,000 orang dan orang Islam tidak boleh dikalahkan sekiranya jumlah mereka 12,000 orang dengan sebab jumlah itu. Ini hadis Nabi.

“Dengan makna kalau jumlah pasukan orang Islam 12,000 kalau kalah juga, bukan dengan sebab jumlah, (tapi) dengan sebab ada kesilapan. Kesilapan rohani, kesilapan jasmani, tak cukup syarat-syarat kemenangan. Ini kita kena sedar.

“Dalam konteks pilihan raya ialah tentera pilihan raya, jentera pilihan raya. Campur semua jumlah 12,000 (anggota); jentera kempennya, jentera posternya, jentera penerangan, jentera lainnya. Saya rasa lebih daripada 12 ribu.

“Ahli PAS sekarang ini sejuta lebih, tak kan tak boleh nak cari 12,000 yang betul-betul berkualiti tinggi yang Nabi sebut ini? Kalau ada 12,000 yang kualitinya sangat tinggi, boleh mencapai kemenangan, dengan izin Allah,” ujarnya melontar renungan.

Dalam melaksanakan gerakan katanya, pelaksanaan PAS adalah secara ‘muassir’ yakni kontemporari mengikut konsep jihad dan dakwah dengan wajib mendahulukan ‘muwajahah silmiyyah’ dan perdamaian.

Terang Tuan Guru, pemilihan konsep demokrasi banyak dipengaruhi oleh fekah siasah Islamiyah di mana perkembangan terkini menunjukkan pemilihan cara lain akan menjadikan masalah dalaman umat lebih parah, selain memberi peluang kepada musuh dan penjajah datang semula dengan cara lebih memudaratkan.

Malah katanya, dalam masyarakat majmuk, lapangan dakwah lebih luas untuk mengajak bukan Islam kepada Islam atau menerima pemerintahan Islam dan meninggalkan atau menggantikan ideologi yang bukan daripada agama, adat dan bangsa mereka, serta mengajak umat Islam supaya kembali kepada Islam dengan ilmu.

“Wajib bersikap positif, mengadakan hubungan dengan semua pihak, secara damai dengan sifat benar, amanah, tabligh dan fatonah. Ini sifat wajib bagi Rasul, sifat wajib bagi kumpulan Islam. Kalau kita tak benar, contoh berjanji orang nak beri ceramah, tetapi tak bagi ceramah, tak ada keuzuran apa-apa, ini cari pasal.

“Itu benar amalan kita. Itu contohlah. Jadi wakil rakyat lagi banyak cabaran dia, banyak. Jangan bohong dengan rakyat. Dia marah, biar dia marah, tak apa cakap betul, dia nak marah, marahlah. Tetapi jangan bohong dengan rakyat, jangan, tak boleh.

“Tegas, jangan takut. Insya-Allah, lama kelamaan kita akan dapat melaksanakan dengan baik. Kalau ajar dengan bohong, jawabnya akan rebah di tengah jalan. Amanah, amanah sungguhlah, bukan nama dia amanah. Amanah ini ialah melaksanakan perintah Allah. Melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan.

“Menjadi orang yang amanah, tidak khianat. Menyampaikan, tabligh dan fatonah, kebijaksanaan dengan ilmu dan akal kita. Mencontohi sifat yang wajib bagi para Rasul,” ujarnya menyenaraikan sifat perlu dimiliki ahli PAS.

Tuan Guru juga menerangkan iktibar dari Parti Istiqlal iaitu parti Islam di Maghribi pimpinan Almarhum Syeikh Allal El-Fassi di mana selepas kematiannya telah berubah pendekatan kepada sekular kerana inginkan sokongan yang ramai dan mudah, namun akhirnya tersingkir dari arena masyarakat Islam di negara itu.

Malah di Malaysia katanya, ada parti yang mengaku Islam tetapi ditubuhkan atas dasar protes, bukan atas islah dan tajdid.

“PAS ditubuhkan oleh ulama-ulama kita tahun 1951 pada masa tak ada parti lain yang memperjuangkan Islam. Islam dalam keadaan dagang, payah orang nak ikut perjuangan Islam ini, masa itulah ditubuhkan PAS.

“Ada orang dia tubuh parti, kemudian kerana lambat sangat, dia buat parti nak cepat menang. Lambat juga akhirnya rebah tengah jalan. Ada orang kerana tak puas hati dengan kesilapan-kesilapan. Ada kesilapan yang betul, tapi tak boleh buat jemaah lain, tak boleh.

“Selagi parti ini tak ubah dasar, lalu dia buat parti lain. Tak perlulah sebut nama parti-parti ini, jadi gemulah dah, orang Pantai Timur kata jadi gemulah. Dengan sebab itu, jangan kita buat pasal memisahkan diri daripada kumpulan, tidak boleh.

“Mesti mengikuti jemaah yang ditubuhkan di atas islah dan tajdid. Wajib beristiqamah, menjadi syarat mendapat pertolongan Allah dan kepercayaan manusia,” serunya.

No comments

Powered by Blogger.