Kenyataan Media ADUN-ADUN Pembangkang Kedah




HENTIKAN SEGERA KRISIS, UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT

1. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi junjungan kasih ke atas Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang turut menjemput semua ADUN dari parti pembangkang bagi mendapatkan pandangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri Kedah sekarang. Tindakan yang diambil oleh pihak Istana ini adalah merupakan satu langkah terpuji, menghormati prinsip demokrasi serta hak-hak rakyat.

2. Semua ADUN Pembangkang Kedah mengambil sikap bersama; membantah sekeras-kerasnya tindakan sebahagian pemimpin BN negeri ini yang cuba menurunkan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dari kedudukannya selaku Menteri Besar melalui cara yang tidak bersusila. Lebih mendukacitakan, tindakan tidak beradab tersebut dibuat sewaktu negeri ini sedang dalam tempoh meraikan Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah.

3. Jika Dato’ Seri Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi maka proses menurunkannya juga mestilah dibuat mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat. Tidak wajar hanya kerana mahu memenuhi kehendak politik individu tertentu maka semua pihak disusahkan; termasuk rakyat dan pihak istana.

4. Bagi kami, pada ketika ini, tindakan menukar Menteri Besar Kedah tidak menjadi keutamaan berbanding dengan keperluan menukar Perdana Menteri Malaysia yang telah banyak menyusahkan rakyat.

5. Kami menggesa agar masalah kepimpinan utama Kerajaan Kedah ini diselesaikan dengan segera, kerana krisis yang berlarutan akan membantutkan urusan pentadbiran negeri yang membawa kesan buruk terhadap rakyat. Jika kemelut menghadapi jalan buntu, maka pilihan terbaik ialah penyelesaian mengikut amalan demokrasi menerusi suara rakyat melalui penentuan di Dewan Undangan Negeri.

Sekian, terima kasih.

ADUN2 Pembangkang Kedah
Bertarikh: 2 Februari 2016

No comments

Powered by Blogger.