PAS tuntut jambatan baru Manek Urai terus dibina

KOTA BHARU, Julai 15 — Parti-parti Pakatan Rakyat terdiri daripada PAS, PKR dan DAP terus menguasai pilihanraya kecil (PRK) pasca pilihan raya umum Mac 2008 lalu.

Secara agregat Pakatan menang 6-1 sekaligus menafikan kekuatan Umno-Barisan Nasional (BN) yang hanya menang di Batang Ai dan mengambil keputusan tidak bertanding di Penanti.

Terbaru, semalam Pakatan terus menjulang kemenangannya melalui parti PAS di PRK Dun Manek Urai. Walaupun tipis, namun Pakatan tetap menganggap kemenangan itu sangat besar baginya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika mengulas kemenangan tersebut menganggap ia adalah tanda kejituan solidariti rakyat terhadap kerajaan Pakatan.

“Malah itulah tanda kerajaan di bawah pimpinan Umno-BN ditolak rakyat. Lantaran itu mereka harus menyedari kekuatannya semakin meruncing dan rakyat telah hilang kepercayaan meskipun banyak umpan serta janji ditabur setiap kali musim pilihan raya.

“Kecil atau besar majoriti diperolehi itu tidak jadi masalah. Walau apapun hakikatnya samaada majoriti kecilpun namanya menang, besarpun namanya menang juga,” katanya semasa diminta mengulas kemenangan parti tersebut dalam PRK Dun Manek Urai.

Pada PRK tersebut calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, menewaskan calan BN, Tuan Aziz Tuan Mat, dengan majoriti tipis 65 undi. Fauzi mendapat 5,348 undi dan Aziz mendapat 5,283 undi. Peratus keluar mengundi ialah 87 peratus.

Nik Aziz tidak menafikan PAS mendapat tentangan sengit dari parti lawan (Umno-BN) apabila hampir seluruh jentera kerajaan digunakan sepanjang tempoh proses PRK di Manek Urai.

Beliau menyifatkan PRK tersebut seolah-olah menyaksikan PAS bukan sahaja berdepan dengan BN sebaliknya terpaksa menghadapi tentangan kerajaan Persekutuan.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa kemenangan tipis calon PAS adalah berpunca daripada politik wang.

Sehubungan itu, menurut Husam, PAS telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung perkara tersebut dan berharap tindakan selanjutnya diambil secepat mungkin.

Husam ketika menjawab soalan pemberita menafikan bahawa kemenangan tipis PAS mencerminkan pengaruh Mursyidul Amnya (Nik Aziz) semakin merosot sebaliknya berkata bahkan pengaruh Menteri Besar itu semakin meningkat.

Mengulas kemenangan total BN di pusat pengundian Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama, beliau berkata BN harus tunaikan janjinya kepada rakyat untuk membina jambatan baru bernilai RM7 hingga RM10 juta di sini.

“Mereka menang di situ. Jadi tidak ada sebab untuk BN memungkiri janjinya kerana itulah Manek Urai,” jelasnya.

Manakala Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, berkata janji menyediakan jambatan baru dan sogokan wang adalah antara faktor utama mempengaruhi pengundi menyebabkan kemenangan tipis PAS.

Bagaimanapun, menurut beliau PAS akan melakukan post mortem dalam masa terdekat berkenaan kemerosotan undi yang dilihat amat ketara.

PRK Dun Manek Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakub, melalui pilihanraya umum Mac 2008 menewaskan calon BN, Zulkifli Omar, dengan majoriti 1,352 undi.

No comments

Powered by Blogger.