Pelbagai isu, SPRM gagal bebaskan diri jadi alat BN

MUQADIMMAH: Imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) semakin tercalar bukan sahaja dilabelkan gagal dalam menjalankan tanggungjawab membanteras rasuah di peringkat pimpinan Umno dan BN. Terkini imej suruhanjaya itu lebih buruk apabila saksi dalam kawalan mereka terbunuh sehingga menimbulkan tanda tanya. Sejauhmana rakyat boleh menilai kredibiliti SPRM, ikuti pandangan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar ketika diwawancara oleh Wartawan SALMIYAH HARON.


Tidak sampai setahun SPRM menggantikan Badan Pencengah Rasuah (BPR) tapi nampaknya tidak juga menonjolkan ketelusan dalam membanteras gejala rasuah. Mutakhir ini ia dilihat sebagai ancaman kepada Pakatan Rakyat. Betulkan dakwaan ini Dato'?

Saya melihat kewujudan SPRM dengan akta baru dan memansuhkan akta yang lama adalah bertujuan untuk memulihkan imej kerajaan yang selama ini proses pencegahan rasuah dilihat tidak berjalan dengan baik. Berat sebelah dan pilih bulu.
Rupa-rupanya tak menjadi. SPRM ini masih lagi bergelar sebagai "perkakas" yang ditentukan oleh parti yang memerintah iaitu Perdana Menteri. Akta itu dimansuhkan kemudian diwujudkan akta baru yang seharusnya ia lebih memperlihatkan kebebasan dan mesti keluar daripada tunggangan kepentingan politik parti yang memerintah.
Sebaliknya apa yang berlaku dari Januari 2009 hingga kini, ternyata belum sampai setahun kita lihat kes-kes yang dikendalikan oleh SPRM ini hanya membabitkan kes terpilih. Yang jelas tindakan SPRM kali ini seolah-olah memperlihatkan tujuannya untuk merosakkan imej Pakatan Rakyat yang sudah diterima rakyat kerana agenda utama Pakatan Rakyat mahu merealisasikan sebuah negara yang bebas daripada rasuah.
Oleh itu, SPRM ditunggangi oleh BN memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat juga sebuah parti yang mengamalkan rasuah. Sedangkan tuduhan itu adalah tidak berasas.

Rasuah terus menyelubungi para pimpinan Umno dan BN, bahkan ianya terbukti dalam pemilihan Umno lepas. Bagaimanapun SPRM tidak mengambil tindakan terhadap pimpin Umno sebaliknya lebih memilih dalam melaksanakan tanggungjawabnya...

Apa yang jelas pada hari ini, rasuah bermaharajalela di kalangan pemimpin BN malangnya SPRM tidak mengambil tindakan sebagaimana mereka bertindak ke atas pemimpin Pakatan Rakyat. SPRM tidak siasat pimpinan BN walaupun melibatkan rasuah berjuta-juta ringgit, tetapi apabila ia membabitkan Pakatan Rakyat mereka akan siasat sehingga lubang cacing.
Biarpun ia melibatkan kes kecil dan remeh-temeh yang tidak menggambarkan penyalahgunaan kuasa seperti kes lembu dan kereta. Sedangkan kes mahligai Khir Toyo yang didakwa bernilai RM24 juta tidak diambil tindakan sewajarnya.
Ini jelas! Begitu juga kita lihat SPRM juga gagal mengambil tindakan berapa banyak pemimpin Umno yang terlibat dengan rasuah politik wang dalam pemilihan Umno yang lalu. Tun Mahathir sendiri mengakui bahawa sebahagian ahli kebinet kerajaan Najib Tun Razak terdiri daripada mereka pengamal rasuah. Jadi macam mana SPRM boleh melepaskan mereka begitu sahaja, tanpa sebarang tindakan. Ini sangat memalukan kerajaan.

SPRM diperkenan oleh Yang DiPertuan Agong. Apakah tindakan badan ini yang tidak menjalankan peranannya sebaik mungkin boleh dianggap satu penghinaan kepada isntitusi raja?

Perbuatan SPRM bagi saya ia sudah menghina Parlimen Malaysia yang telah meluluskan akta ini sehingga wujudnnya SPRM. Bukan sahaja satu penghinaan kepada parlimen bahkan ianya juga satu penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, yang bertanggungjawab untuk membuat perlantikan terhadap anggota SPRM termasuklah Ketua Pengarah SPRM Dato' Seri Ahmad Said Hamdan.

Misalnya apa yang berlaku di Selangor, SPRM dilihat mempunyai agenda untuk memberi laluan mudah kepada BN mengambil alih kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Apa pandangan Dato'?

Dakwaan ke atas beberapa orang Exco Kerajaan Selangor adalah tidak berasas, kononnya ada penyalahgunaan wang peruntukan Dewan Undangan Negeri (Dun). Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab Adun untuk menjustifikasikan apa perkara yang dibuat. Kemudiannya seluruh pembayaran itu dibuat oleh pejabat daerah.
Saya faham mekanisma itu, dan itulah yang diguna pakai di mana-mana negeri. Kalau kita lihat sepatutnya SPRM harus mengambil tindakan terhadap Adun BN di Selangor yang sah menggunakan wang peruntukan RM500,000 dalam masa tiga bulan. Hairan peruntukan 2008 habis dalam masa tiga bulan, bagitu juga di Kedah. Dalam tempoh tiga bulan hanya tinggal RM30,000 sahaja untuk Adun Pakatan Rakyat yang baru ambil alih pentadbiran. Kenapa tidak diambil tindakan oleh SPRM dalam kes ini? Nampak jelas SPRM adalah komponen baru BN.

Sehingga kini tidak ada pun siasatan terhadap pimpinan Umno Selangor baik kes yang Dato' sebutkan itu mahupun kes melibatkan rumah agam ala Bali milik Khir Toyo...

SPRM duduk diatas kemahuan politik Umno. Kalau betul mereka hendak bebaskan SPRM mereka kena benar-benar bebas bukannya masih duduk dalam kongkongan parti pemerintah. Ketua Pengarah SPRM dan pegawai-pegawai mereka tidak seharusnya membiarkan mereka ditunggangi oleh kepentingan politik BN.
Mereka harus sedar bahawa gaji mereka dibayar oleh rakyat dan pembayar cukai. Mereka harus rasa malu apabila membiarkan diri mereka menjadi kuda tunggangan sedangkan mereka mempunyai kuasa yang cukup besar menyelamatkan negara kita daripada terjerumus bankrup dengan amalan rasuah.
Sekali gus negara ini akan kehilangan kewangan. Merekalah sepatutnya menjadi penyelamat negara daripada tergadai kepada kepentingan kuasa asing akibat daripada pengamal-pengamal rasuah yang menganggotai kerajaan. SPRM harus sedar fungsi mereka sekarang ini.

Jadi, bagaimana cara untuk kerajaan mengembalikan kuasa sebenar SPRM tanpa dipengaruhi oleh kerajaan yang memerintah?

Saya harap harus ada campurtangan Yang DiPertuan Agong, mahu tidak mahu bagindalah melantik Ketua Pengarah SPRM, Dato' Mohd Said Hamdan. Bagi saya campurtangan Agong sangat penting untuk membolehkan satu rombakan, dari segi keanggotaan SPRM.
Agong harus memanggil Perdana Menteri untuk memberikan amaran ini. Seterusnya, dalam SPRM ini ada satu jawatankuasa khas misalnya aduan, haruslah berfungsi dan bermesyuarat dengan segera untuk meneliti perkara seperti ini. Mereka juga perlu membuat syor-syor tertentu supaya proses pembaikan harus dilakukan.
Saya juga melihat perlu ada jawatankuasa dalam SPRM ini terdiri dari anggota profesional, ahli politik yang pelbagai latar belakang. Seharusnya mereka mengambil tindakan segera kerana hal ini akan membabitkan imej jawatankuasa ini.
Kalau dibiarkan keadaan ini berterusan jawatankuasa ini juga akan dipandangan rendah oleh rakyat. Kecuali mereka yang menggotai SPRM melepaskan jawatan kerana hilang keyakinan akibat daripada pegawai-pegawai di peringkat operasi ini terus ditunggangi kepentingan politik BN.

Sesetengah pihak tidak menolak kemungkinan itu adalah tindakan ganas SPRM dalam menjalankan penyiasatan sebagaimana kes kematian Teoh Beng Hock 16 Julai lalu. Bagaimana Dato' melihat isu ini?

Apa pun bagi saya SPRM harus bertanggungjawab kerana Beng Hock masih dalam kawalan mereka. Ketua Pengarah SPRM tidak boleh melepaskan tangan walaupun 3.45 pagi Beng Hock sudah bebas daripada soal siasat.
Mereka yang membenarkan Beng Hock tidur di situ selepas soal siasat. Ini bermakna mereka masih dalam kawalan SPRM. Mana ada orang boleh masuk dan menceroboh sesuatu tempat kecuali orang yang ada autoriti untuk masuk ke dalam pejabat SPRM. Orang luar tidak ada akses kad masuk.
Dalam kes Dato' Norza yang disiasat bersama beberapa orang beliau turut disiasat, dan membuat laporan polis selepas disiasat oleh pegawai SPRM kerana mendera dan menyiksa mereka.
Bagi saya ini satu perbuatan yang sangat berat, apabila ada dakwaan yang mengatakan ada unsur penderaan sewaktu sesi soal siasat. Kes Beng Hock yang disiasat selama 11 jam dari 5 petang sampai jam 3.45 pagi... sangat keterlaluan.

Wajarkah sehingga 3.45 pagi?

Tidak wajar! Tidak wajar! Maknanya 11 jam satu masa yang cukup mendera dan menafikan amalan dan etika manusia. Dia (Beng Hock) perlu berehat. Jam 3.45 pagi adalah waktu tidur bukannya waktu menyiasat. Kenapa SPRM tidak boleh menyiasat pada waktu siang. Bagi saya ia mempunyai tujuan untuk mendera psikologi dan akhirnya apabila di dera sekali gus fizikal kita juga akan menjadi lemah.

1 comment

Arif Omar said...

DAH BODOH UNDANG-UNDANG JANGAN MENULIS. BUKA CPC APA ITU INKUES. INKUES NI UNDANG-UNDANG. SURUHANJAYA TU HAL PENTADBIRAN. IKUT UNDANG-UNDANG LE. JIKA INKUES TU MENDAPATI ADA UNSUR JENAYAH BAULAH DISIASAT DIBAE=WAH JENAYAH DAN TANGKAPAN DIBUAT. SEKARANG ININ KES SDR ( SUDDEN DEATH REPOT. YANG MENENTU SEBAB KEMATIAN ADALAH PATOLOGIST. BUKAN POLIS ATAU MAGISTRATE. JIKA PATOLOGIST KATA KEMATIAN BIASA ATAU BUNUH DIRI POLIS BUKA BUNUH DIRI. JIKA PATOLOGIST KATA INI KES BUNUH POLIS AKAN BUKA KES BUNUH DIBAWAH SEK 302 KK. BUKAN BUUAT DAN CAKAP BODOH MACAM ANDA. IKUT LAW LE. jadi bloggers ini bukan sekadar boleh menaip dan menulis. tetapi berfikir.jika tidak buat suka dik orang aje.

Powered by Blogger.