Umno sokong Kelantan tuntut royalti minyak


Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Julai 1 – Tuntutan isu royalti minyak sebanyak RM1 bilion kerajaan negeri Kelantan terhadap Kerajaan Pusat turut dipersetujui Ketua Pembangkang, Datuk Md Alwi Che Ahmad, sekiranya tuntutan tersebut mempunyai bukti kukuh bahawa terdapat petroleum dan gas seperti mana didakwa sebelum ini.

Sebaliknya Md Alwi menegaskan tuntutan tersebut mestilah dibuat berdasarkan dokumen bagi membuktikan kesahihan perkara berkenaan. Namun dalam masa sama beliau tidak bersetuju isu tersebut dihebohkan pada pentas-pentas ceramah.

“Jika perkara ini benar, ada bukti, cukup semua dokumen, teruskan. Runding secara baik dengan Kerajaan Pusat. Tidak perlu disuarakan dengan nada marah atau sinis,” katanya ketika membahas Rang Enakmen Perbekalan Tambahan Pertama 2009 pada persidangan Dun Kelantan.

Tuntutan royalti telah dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa pada mesyuarat exco hampir dua minggu lalu berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Negara.

Isu tersebut kemudian menjadi bahan kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai.

Malaysia dan Thailand telah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) berkaitan kawasan pembangunan bersama yang diteroka kedua-dua negara pada tahun 1979.

Serentak dengan itu Malaysia dan Vietnam juga bersetuju untuk mengusahakan cari gali minyak di kawasan berkenaan secara bersama.

Namun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dilaporkan memberitahu kerajaan Kelantan tidak berhak menuntut bayaran royalti minyak dan gas kerana hasil petroleum itu diperolehi di kawasan bertindih Malaysia dan Thailand.

Bagaimanapun Husam berhujah, Sekiranya tidak layak menerima royalti petroleum mengapa Bank Data Malaysia turut menyenaraikan Kelantan sebagai salah sebuah negeri pengeluar minyak di negara ini?

Beliau mendedahkan, Laporan Bank Data Malaysia 2007 muka surat 187 secara jelas menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum bersama Sabah dan Terengganu dengan nilai pertumbuhan sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak 37.5 peratus sejak 2004.

Menurut Husam, ukuran jarak pelantar minyak dengan pantai Kelantan 170 km adalah jauh lebih dekat berbanding Terengganu 220 km.

Manakala nilai pengeluaran bahan api tersebut dari pelantar berkenaan sejak 2004 sehingga tahun lepas Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu RM46.8 bilion berbanding Terengganu RM36 dan Sabah RM5 bilion.

“Ini membuktikan jumlah pengeluaran dari perairan Kelantan lebih besar,” katanya semasa persidangan Dun Kelantan.

Isu royalti minyak menarik perhatian ahli Dewan apabila Haji Abdul Fatah Harun (PAS - Bukit Tuku) membangkitkan perkara itu berikutan soalan asal Datuk Noor Zahidi Omar (BN - Pengkalan Kubur).

Husam turut menjelaskan kerajaan hanya menuntut royalti daripada bahagian yang diterima Malaysia dan tidak menuntut bahagian yang diterima Thailand.

Ia selaras dengan akta petroleum di mana Kerajaan Pusat sewajarnya membayar royalti hasil petroleum sebanyak lima peratus kepada Kerajaan Negeri.

No comments

Powered by Blogger.