Biar dapat suami sakit di mata senang di hati

KALAU kisah hidup Puan Anisah yang menceritakan `rahsia kebahagiaan berpoligami’ dalam DCCK keluaran 1 Julai lalu mendapat sambutan hangat, kisah Puan Julia, Bukan semua isteri kedua hidup bahagia juga tidak kurang mendapat sambutan hebat daripada pembaca yang melahirkan pelbagai pandangan masing-masing.

Macam biasalah lebih ramai yang marah daripada yang menyokong. Mereka memberikan hujah masing-masing antaranya seperti yang dipaparkan di bawah ini. Kata Alijaya, dia melihat Julia kecewa dan menyalahkan isteri pertama, Zana, tetapi dia terlupa yang salah bukan mereka berdua, tetapi suami yang tidak bertanggungjawab. Sebab itulah berpoligami diberikan kepada suami yang boleh menjadi pemimpin yang baik bukan setakat memuaskan hawa nafsu lelaki sahaja.

Menurut Alijaya dia merasa hairan bagaimana seorang suami itu nikah lari di sempadan dan boleh memaksa isteri pertamanya menerima dan mengikut kehendaknya. Ini sudah tentu menyakit dan melukakan hati isteri pertama, dan siapa pun tentu akan merasa peritnya yang pasti sukar untuk diubati.

“Kepada kaum wanita hati-hatilah terhadap lelaki seperti ini, jika dah tak mampu jangan kahwin atau cari lelaki lain yang mampu segala-galanya dan lebih penting boleh memimpin keluarganya,” demikian nasihat Alijaya lagi.

Niisma pula mendakwa dia memang tak boleh terima cerita Julia yang memburuk-burukkan isteri pertama. Memang jodoh itu qadak dan qadar tetapi ia boleh diatasi dengan usaha bersungguh-sungguh. “Tetapi dalam kes Julia didapati dia yang memang berusaha sangat-sangat nak kahwin dengan Zubir. Patutnya sebelum kahwin awak mesti sedar yang Zubir sudah 30 tahun kahwin dengan Zana dan mereka sudah sebati kerana itu bukan mudah untuk melunturkan ikatan mereka. Tambahan pula masa Zubir mula bertapak, membina kerjaya dan melalui pelbagai pahit getir siapa berada di sisinya? Bukan awak!

“Julia juga janganlah dengan mudah tuduh orang boros macam Imelda Marcos, kalau dia bersolek dan berbelanja pun memang sepatutnya sebab dia sudah banyak bersabar dan berkorban untuk keluarganya, jadi apa salahnya dalam usia yang semakin meningkat dia menikmati sedikit kemewahan hidup. Jangan dengki kat orang, kerana awak tu baru aja kahwin. Sepatutnya awak banyakkan doa supaya anak-anak awak dengan bekas suami pertama berjaya dalam hidup.” Demikian Niisma menamatkan hujahnya.

Sementara itu Aidayana juga tidak senang dengan cerita Julia. Julia kata dia kahwin kerana takdir, tetapi yang sebenarnya dia telah memaksa suami orang itu kahwin dengannya. Kenapa dia mesti paksa suami orang sedangkan dia tahu Zubir sudah kahwin?

“Kalau Julia benar-benar jujur dan teruskan persahabatan dengan Zubir setelah berpisah dengan suaminya, mengapa paksa Zubir kahwin dengan dia sedangkan Zubir sendiri pada mulanya menolak. Sedarlah Julia, merampas suami orang itu berdosa. Lagi besar dosa anda setelah kahwin anda kutuk pula isteri pertama, memang anda kejam. Sedarlah bahawa isteri pertama telah banyak berjasa dan melalui pelbagai pahit manis dengan suaminya. Setelah hidup mereka senang anda pula datang tumpang sekaki. Insaflah.”

Fazuliana pula menyimpulkan Julia memang tidak menggunakan akal. Lelaki ini biasalah, kalau nak kahwin dia beri pelbagai alasan, memang mereka kaki bohong. Tetapi kalau dia betul-betul dah berhajat dia akan usaha untuk dapatkan apa yang dihajatinya.

“Seperkara lagi kalau betul ada masalah kenapa mencurahkan perasaan kepada kaum lelaki, banyak lagi kaum wanita di dunia ini untuk minta tolong, paling tidak dengan ibu-ibu tunggal ataupun Wanita UMNO atau Biro Tindakan Sivil Puteri UMNO, mereka ada cara. Tapi kalau bercerita dengan kaum lelaki memang kita sengaja cari masalah.”

Sebenarnya panjang lagi syarahan Fazuliana, tetapi terpaksa dipotong sebab terlalu panjang. Penulis juga tidak dapat menyiarkan banyak lagi pandangan lain yang kurang lebih sama sahaja marah mereka.

Bagaimanapun Julia tidak perlu marah, ini pandangan pembaca lain, anda tentu mempunyai alasan tersendiri, bagaimanapun janganlah memperhambakan diri hingga boleh menyusahkan anak-anak sendiri. Fikirkan masa depan mereka.

Minggu ini kita ikuti pula kisah hidup yang dilalui oleh Puan Gita dalam e-mel yang dihantarkan kepada penulis, katanya: “Kalau hendak dikira saya adalah salah seorang daripada berjuta-juta pembaca tetap ruangan DCCK ini. Setiap minggu saya akan luangkan masa untuk membaca keluhan dan rintihan hati pembaca baik kaum Adam ataupun Hawa. Dari sini kita boleh jadikan panduan dan iktibar untuk kita meneruskan hidup di pentas yang penuh dengan tipu muslihat, lembut gigi daripada lidah ini.

“Walaupun saya tidak dikurniakan wajah yang cantik dan manis, namun saya tetap bersyukur kerana telah mendapat jodoh. Memang benar setiap insan ada jodohnya masing-masing, tetapi tidak kurang yang rupanya boleh tahan tapi belum bertemu jodoh.

“Nak jadikan cerita, sebaik tamat sekolah saya merantau ke bandar,Êmana lagi mestilah KL. Saya mencuba nasib kot-kot boleh dapat kerja yang bagus sebab di kampung kerja dengan `gomen’ ini terhad, almaklum orang tua bila sebut kerja dengan kerajaan betapa seronok dan besar hatinya.

“Dipendekkan cerita, saya bertemu dengan seorang pemuda yang berasal dari pantai timur, walaupun bukan satu negeri tapi kami sama-sama dari pantai timur. Kami mula jatuh hati dan makin intim. Namun dia selalu ulang-alik KL ke KT dan KT ke KL. Apa lagi saya pun jarang-jarang dapat bertemu dengannya, maklumlah ahli perniagaan katakan. Jejaka ini punyalah kacak, tak tidur malam dibuatnya. Apa lagi, mulalah kami senyum, lepas tu tegur-tegur dan akhirnya pergi makan sama-sama, maklum satu pejabat.

“Akhirnya hati saya terlekat padanya. Harapan dan cita-cita saya tidak sia-sia apabila suatu hari dia berterus terang bahawa dia telah jatuh cinta dan ingin melamar saya. Betapa seronok dan gembiranya hati ini, apa taknya saya pun jadilah macam orangÊ mengantuk disorongkan bantal.

“Bagaimanapun akhirnya kami kahwin. Saya bersyukur selama tiga tahun perkenalan, kami masih boleh melawan hasutan syaitan. Kami masih ingat ajaran agama serba sedikit yang telah diajar oleh orang tua kami. Masalahnya sekarang setelah 15 tahun perkahwinan baru rahsianya sedikit demi sedikit terbongkar. Rupa-rupanya suami saya ini walaupun dia sudah ada benda yang halal tapi masih suka pada benda yang haram-haram tu.

“Kalau sekali pandang dia ini memang terlihat macam golongan orang alim dan baik-baik, tetapi kalau boleh dibuka buku yang menunjukkan dosa dan pahala tak perlu tunggu hari pembalasan di akhirat nanti mungkin dialah orang yang terbanyak dosa. Saya sedar berdosa membuka aib suami pada orang lain tapi pada siapakah lagi harus saya mengadu, sedangkan kami berkahwin dulu atas dasar suka sama suka.

“Kepada adik-adik semua saya nasihatkan jangan menilai manusia dari segi rupa paras dan senyuman di luar saja, selidiklah dulu hati budinya. Rupa paras yang cantik, sedap mata memandang tapi hati akan menderita, biarlah sakit di mata asalkan senang di hati. Terlajak pilihan merana hati, terlajak perbuatan merana diri. Apa harus saya lakukan lagi, segala nasihat dan tunjuk ajar semuanya tidak berguna lagi. Dia memang tak makan nasihat langsung. Dia saja yang betul.

“Saya tahu dia masih membuat hubungan sulit dengan gadis yang dia suka. Air mata saya tak ada ertinya lagi baginya. Walaupun saya menangis air mata darah sekalipun dia tak akan berubah. Pernah saya jumpa dengan perempuan yang menjadi kekasihnya itu, saya ceritakan yang dia sudah ada isteri dan anak-anak. Namun nasihat dan permintaan saya ibarat mencurah air ke daun keladi. Mereka masih membuat hubungan sulit walaupun saya tidak percaya pada kata-kata teman sekeliling.

“Tembelangnya mula pecah seperti kata pepatah orang tua-tua, bangkai gajah macam mana nak tutup apabila suatu hari saya terjumpa sehelai tudung dalam kereta. Hati isteri mana tak berluka apabila diperlakukan demikian. Kalau diikutkan hati boleh jadi gila, boleh upah orang simbah asid ke mukanya. Tapi saya masih ingatkan Allah dan berdoa agar pintu hati dan pintu taubat masih terbuka untuknya.

“Biarlah hati ini merana, demi anak-anak saya akan hadapi apa jua dugaan. Bila dah tak tahan saya minta untuk ditinggalkan, namun katanya: “Hanya maut memisahkan kita.” Dalam hatinya masih ada sisa-sisa cinta dan sayang pada saya dan anak-anak. Mungkin pengaruh kawan dan juga godaan wanita itu sendiri, di mana wanita sekarang lebih mementingkan kebendaan daripada budi bahasa.

“Suami saya ini boleh dikategorikan orang yang berkedudukan, mungkin juga rezeki anak-anak kerana masa mula-mula saya kahwin dulu dia hanyalah kerani biasa sahaja. Itulah sebabnya dia tak mahu lepaskan saya kot, kerana masih ingat susah dan senangnya dulu dengan siapa? Kalau tidak saya yang banyak membantu.

“Kalau masa tu boleh pusing ke belakang semula mahu saya kembali ke zaman susah dulu, tapi apakan daya masa terus berlalu dan menentukan segala. Saya sedar mungkin sedikit sebanyak saya ada melakukan kesilapan, tapi janganlah menghukum saya begini. Jika ada kesilapan tolong tegur dan jangan dibiarkan kesilapan terus menjadi kesilapan, sebab tak ada yang hendak tunjuk ajar. Doa dan harapan terus kupohon agar kembalikan suamiku ke pangkal jalan. Mungkin suatu hari nanti Allah tidak akan sia-siakan doa orang yang sabar.

“Kepada gadis dan wanita sekarang, ingatlah jangan rosakkan keharmonian rumah tangga orang lain, carilah pasangan hidup yang masih solo ataupun yang telah menjadi solo. Sedarlah banyak hati yang terluka demi untuk kebahagiaan anda sendiri, tetapi tidak mustahil suatu hari nanti kita akan diperlakukan demikian pula. Ingatlah pada hari pembalasan yang kita semua akan pergi.

“Kepada suami ingatlah pengorbanan isterimu, hingga saya terpaksa berhenti kerja untuk menjadi suri rumah sepenuh masa demi menjaga makan minum dan memberi sepenuh perhatian kepada suami dan anak-anak. Harapan dan niatkuÊsemoga mendapat tempat di syurga nanti. Insya-Allah aku akan menjadi isteri yang solehah. Walaupun dia nampak alim dan baik tetapi dalam hati dan perbuatannya yang sebenar Tuhan sahaja yang tahu.”

Demikian pengalaman yang terpaksa dilalui oleh Gita dalam mengharungi hidupnya yang penuh dengan cabaran itu. Namun seperti katanya, dia terpaksa juga bersabar demi masa depan dan nasib anak-anaknya supaya tidak terbiar. Biarpun beliau telah meminta diceraikan, tetapi kuasa talak itu bukan di tangannya.

Adakah kerana kuasa talak itu terlalu besar dan hanya dimiliki oleh kaum lelaki sahaja, maka mereka boleh bertindak sewenang-wenangnya mengikut selera kerana keputusan muktamad adalah di tangan mereka?

Bagaimanapun kita sedar bukan semua lelaki bersifat demikian. Ada yang lebih bertanggungjawab, ada pula yang lebih daripada itu hingga menjadi diktator dalam menentukan setiap urusan dalam keluarganya.

- MAIMUNAH (dcckmonaum@hotmail.com)

No comments

Powered by Blogger.