Dunia Melayu dengan Melayu dunia

Ruang Dan Waktu oleh Adam A Kadir

Orang `Malayan-Indonesia’ mula-mula menduduki Madagascar 2000 tahun dahulu, menurut satu sumber sejarah. Sungguhpun begitu, sumber sejarah begini tidak boleh dipertahankan memandangkan konsep Indonesia hanya diperkenalkan kepada dunia apabila negara itu merdeka 55 tahun dahulu.

Pengarang utama Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, hingga sekarang masih tidak menyetujui negaranya dipanggil Indonesia kerana Indo ialah kependekan bagi India. Tentunya tidak ada langsung kaitannya antara gugusan Jawa dan Sumatera dengan benua kecil India. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh beliau. Ia adalah satu kesilapan geografi dan sejarah.

Belanda ketika menjejak kaki di Jawa dalam abad ke-17 menamakannya East Indies atau Hindia Timur berbanding dengan Hindia Barat yang dimaksudkan gugusan pulau-pulau di laut Caribbean, antaranya Cuba dan Jamaica, di tenggara Amerika Syarikat. Nama Hindia Barat timbul akibat kesilapan penjarah Eropah menganggapkan benua Amerika utara itu ialah India.

Justeru orang asal benua itu dipanggil Red Indians atau orang India merah, sempena warna kulit mereka. Lama kelamaan, mereka dipanggil Indians sahaja. Panggilan ini sering mengelirukan kerana ia boleh dimaksudkan orang dari India ataupun orang asal benua itu.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang pergi ke Madagascar 2000 tahun dahulu adalah terdiri daripada mereka dari alam Melayu, tetapi sukar untuk dipastikan secara tertentu, sama ada dari Indonesia atau Filipina kini atau dari Semenanjung Malaysia. Orang Melayu mula berpecah dan berpetak-petak sejak penjarah Sepanyol, Magelan, mengambil Manila dalam tahun 1521 dan seterusnya pulau-pulau berdekatan dan menamakannya The Philipines sempena King Philips II yang memerintah Sepanyol waktu itu.

Begitu senang sebahagian besar orang Melayu ditukarkan kepada satu bangsa baru Filipina. Pertukaran ini dipasakkan pula dengan memaksakan mereka menjadi kristian katolik.

Kalau kita mengambil satu tarikh, katalah 1 Januari 1500, maka kita boleh mendapat satu gambaran bahawa semua tempat dari selatan Siam hingga ke seluruh Malaysia, Indonesia dan Filipina serta Micronesia kini mempunyai penduduk yang terdiri daripada orang Melayu tanpa agama tertentu yang dominan dengan pelbagai bahasa dan dialek setempat. Selama 150 tahun sejak itu, Sepanyol dan Portugis bagaikan berpakat menakluk dan memerintah alam Melayu secara berbahagi-bahagi, petak-petak ini di bawah Sepanyol, petak-petak sana Portugis.

Apabila Belanda datang selepas itu, terutama di Hindia Timur dan pesisiran pantai barat Semenanjung Tanah Melayu, Belanda mula mengangkut orang Melayu keluar dari alamnya, antaranya ke Afrika Selatan di mana orang Belanda begitu ramai menjadi peladang. Meskipun negara Belanda tidak menjajahnya secara rasmi, namun kehadiran kuasa Belanda begitu nyata terutama kapal-kapal East India Company (dalam bahasa Belanda) di pelabuhan Cape Town. Di kota inilah Melayu mendarat. Dan di sinilah juga sedikit sebanyak sebarang tanda sisa-sisa Melayu yang masih ada.

Sri Lanka ialah satu lagi tempat yang ada jurai-jurai Melayu. Namun kalau kita ingin melihat Melayu di sana dan di Afrika Selatan mempunyai iras Melayu yang ada dalam minda kita, ataupun berbahasa irasan Melayu, maka kita boleh lupakan sahaja.

Menurut sumber National Geographic yang sangat berwibawa, orang Madagascar berbahasa Malayan tetapi dari sumber lain, mereka berbahasa Malagasi dan Perancis. Ada kemungkinan bahasa Malayan itu sama dengan bahasa Malagasi, kalau suku kata Mala boleh dijadikan ukuran. Apakah yang dimaksudkan bahasa Malayan dan bagaimana pula sebutannya tidaklah diketahui.

Menurut Belanda di Eropah, bahasa Afrikaan yang dipakai oleh orang Belanda di Afrika Selatan adalah bahasa Belanda kuno yang digunakan beratus tahun dahulu. Walaupun tidak begitu biasa bunyinya, tetapi ia boleh difahami, kata mereka.

Kiranya bahasa Malayan itu bahasa Melayu kuno, apakah sebutan bahasa itu? Tanpa rekod pemakaian bahasa yang bertulis, tidak mungkin boleh diketahui setakat mana kekunoannya.

Tidak berapa lama dahulu terdapat satu rombongan penulis Melayu berkunjung ke Madagascar dalam rangka mengesan jejak langkah orang Melayu. Tidaklah boleh dipastikan pula kemungkinan mereka mempengaruhi Melayu di sana bahawa ada ciri-ciri bahasa mereka di sana itu sama dengan ciri-ciri bahasa Melayu di sini, justeru layak ia dirangkumkan sebagai bahasa Malayan.

Bagi sesiapa sahaja yang mengetahui disiplin dan ragam pertuturan bahasa Melayu, wajar mereka tertanya-tanya apakah bahasa Malayan itu. Rata-rata orang Malaysia mengetahui bahawa Malayan ialah panggilan untuk penduduk Malaya sebelum Malaysia.

Seminggu dua dahulu telah berlangsung satu persidangan mengenai Dunia Melayu. Saya tidak berkesempatan menghadirinya tetapi saya percaya ia penuh dengan konsep kemelayuan dahulu, kini dan akan datang, ditambah dengan konsep-konsep lain yang berbingkai-bingkai.

Memperkatakan tentang Melayu dunia atau dunia Melayu, saya teringat apa yang Johan Jaaffar, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan kata tentang inisiatif kepimpinan Gapena. Johan berpendapat lebih baik usaha ditumpukan kepada orang Melayu di negara ini yang masih banyak kekurangan sebelum cuba membuat sesuatu kepada Melayu di tempat lain.

Soalnya, benarkah masih ada Melayu di tempat lain? Di Sri Lanka, Afrika Selatan dan Madagascar? Mungkin.

Melayu sewajarnya tidak perlu dicari di pelosok-pelosok dunia. Melayu akan timbul dengan sendirinya jika induk Melayu di Malaysia menjadi satu bangsa rujukan bangsa-bangsa lain di dunia dalam aspek-aspek yang menjadi titik-tanda kemajuan. Itupun kalau benar Melayu di sana adalah Melayu keturunan di sini, dan bukan dari Indonesia atau Filipina.

No comments

Powered by Blogger.