Haram – makan harta bukan milik

Soal Jawab bersama Mohd. Zaidi Mohd. Zain
Perunding Keluarga Islam/Peguam Syarie

Soalan
Kakak saya telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan dan mempunyai dua anak perempuan. Dua tahun lepas, kakak meninggal dunia kerana berpenyakit jantung. Dua anaknya diserahkan kepada saya untuk dipelihara memandangkan suaminya memang mempunyai isteri dan anak-anak lain.

Masalahnya selepas dua tahun, bekas abang ipar saya enggan memberikan nafkah dan juga harta-harta atas nama isterinya kepada anak-anak atas alasan perniagaanya merosot.

Bagaimanapun saya lihat mereka tinggal di rumah banglo dan mempunyai kenderaan mewah serta sering bercuti ke luar negara. Apakah yang dapat saya lakukan, agar anak-anaknya mendapat hak nafkah dan harta ibu mereka kembali.

Syaridah Hassan
Bangi, Selangor.

Jawapan:
Terdapat kekurangan maklumat di dalam penerangan yang diberikan terutamanya mengenai usia anak dan bagaimana proses penyerahan hak penjagaan anak diberikan kepada puan.

Saya cuba menjawab berdasarkan kemungkinan yang boleh berlaku daripada fakta ringkas yang diberikan.

Pertama mengenai hak penjagaan anak. Pada kebiasaannya apabila berlaku kematian, pihak yang satu lagi sama ada ibu atau bapa akan menjaga anak-anak mereka.

Jika si anak diserahkan kepada pihak lain, ia hendaklah dilakukan secara rasmi sama ada melalui proses penyerahan hak hadhanah di Mahkamah Syariah ataupun melalui proses pengangkatan (anak angkat) di Jabatan Pendaftaran Negara.

Sekiranya perkara ini sempurna dilakukan, ia memudahkan pihak-pihak berkenaan menentukan siapakan yang bertanggungjawab untuk menyara nafkah dan keperluan anak.

Tidak dinafikan bahawa bapa adalah orang yang paling bertanggungjawab untuk menyara nafkah anak-anaknya sehinggalah mereka dapat berdikari sendiri.

Peruntukan nafkah ini merangkumi penyediaan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan keperluan-keperluan diri yang lain mengikut kemampuan dan taraf kehidupannya.

Bagaimanapun jika ada perjanjian atau perintah lain daripada mahkamah yang menghendaki orang yang menjaga anak itu menyara nafkah anak, tanggungjawab membayar nafkah itu telah berpindah kepada orang yang diperintahkan itu.

Dalam hal ini jika puan dan bapa kepada anak-anak tersebut telah ada persetujuan sedemikian, puan wajar menanggung nafkah anak-anak tersebut kerana puan telah menerima mereka sebagai ahli keluarga.

Jika tidak ada sebarang persetujuan dicapai, saya nasihatkan puan menyelesaikan terlebih dahulu melalui proses mahkamah kerana selagi mana tidak ada perintah, selagi itulah perkara ini tergantung dan tidak ada kesudahan.

Mengenai harta-harta yang ditinggalkan oleh arwah kakak pula, saya berpendapat bahawa tindakan si suami tidak membahagikan harta-harta tersebut mengikut faraid kepada waris-waris adalah tidak betul.

Dalam kes ini, bukan hanya anak-anak dan suami sahaja yang mendapat bahagian, tetapi ibu bapa dan adik-beradik sebelah arwah juga mempunyai hak ke atas harta tingggalan arwah.

Oleh yang demikian, jika si suami tidak mahu membahagikan harta-harta tersebut kepada mereka yang berhak, maka waris-waris boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap si suami.

Bagaimanapun saya nasihatkan perkara ini dirunding terlebih dahulu kerana ianya lebih bersifat kekeluargaan. Mungkin keadaan seumpama ini timbul disebabkan salah faham ataupun perasaan tidak puas hati salah satu pihak atas satu-satu perkara.

Berdasarkan kepada pengalaman saya mengendalikan kes-kes yang melibatkan harta pusaka, kebanyakannya dapat diselesaikan secara baik walaupun pada peringkat awal timbul ketegangan antara kedua pihak.

Ini kerana kebanyakan daripada waris-waris tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai kedudukan harta pusaka dan apabila diterangkan mengenai hukum dan perkara-perkara yang berkaitan, mereka sedar memakan harta yang bukan miliknya secara yang tidak betul adalah haram dan berdosa

No comments

Powered by Blogger.