Melihat sejenak hak-hak bangsa Melayu

Written by Art Harun
Monday, 19 October 2009 17:39

(Terjemahan daripada bahasa Melayu oleh CPI)

Saya telah dicopkan sebagai anti itu dan ini. Sungguhpun begitu, saya juga dikatakan pro itu dan ini. Saya akan memulakan rencana ini dengan satu penafian, sama seperti yang dilakukan oleh setiap akauntan di dalam laporan mereka. Rencana ini mengandungi tafsiran saya mengenai syarat perlembagaan berkaitan ‘hak-hak’ bangsa Melayu.

Diminta agar ayat seterusnya dibaca dengan teliti. Tiada niat untuk mempersoalkan apa-apa, sama ada hak dan kepunyaan seseorang atau sebaliknya, tanpa menghiraukan bangsa, kepercayaan mahupun pegangan politik.

Hak bangsa Melayu. Sebuah tajuk yang besar.

Satu kupasan kecil tentang tajuk ini sudah memberi begitu banyak makna dari segi emosi. Begitu banyak kemarahan telah tercetus – dari kedua-dua belah pihak – dengan tajuk ini. Tajuk ini telah dikupas oleh Awang Selamat, Mahathir Mohamad, Ibrahim Ali dan dari beberapa badan bukan-kerajaan (NGO) yang lain. Ahli politik Malaysia juga telah bercakap bak berteriak tentang tajuk ini.

Beberapa amaran keras serta ugutan “orang akan mengamok” telah dilaungkan jika ada pihak yang mahu mempersoalkan hak-hak ini. Malah, baru-baru ini Seri Paduka Baginda Sultan Perak telah bertitah mengenai tajuk ini.

Tapi, saya perhatikan bahawa tiada seorang pun daripada 27 juta penduduk Malaysia yang berani untuk menyuarakan apa sebenarnya hak-hak ini. Oleh yang demikian, biarlah saya menjadi orang pertama yang melakukannya.

Di dalam negara ini, undang-undang yang tertinggi adalah Perlembagaan Persekutuan. Ia bermaksud setiap undang-undang dan dasar wajib berlandaskan dari Perlembagaan Persekutuan. Apa saja undang-undang dan dasar boleh terbatal atau menjadi tidak sah jika tidak mengikut garisan perlembagaan. Oleh itu, kita perlu melihat kepada syarat undang-undang Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan apa yang dipanggil sebagai hak-hak bangsa Melayu.

Umumnya, Artikel 8 memberi penerangan bahawa setiap seseorang itu adalah sama tarafnya. Saya menyebut ‘umumnya’ kerana terdapat beberapa pengecualian. Fasal 2 di dalam Artikel 8 menyebut, tidak akan wujud diskriminasi ke atas warganegara berkenaan soal agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina kecuali mendapat kebenaran daripada Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, itulah dia. Kita semua adalah sama tarafnya mengikut had yang telah dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini bermaksud kita mungkin didiskriminasi jika Perlembagaan Persekutuan itu dengan nyata meluluskan.

Dipendekkan cerita, Artikel 153 adalah tunjang kepada isu ini. Ia adalah satu artikel yang panjang dengan 10 fasal di dalamnya. Pada dasarnya, inilah yang telah disebut di dalam Artikel 153.

Pertama, disebut bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mempunyai tanggungjawab untuk melindungi ‘kedudukan istimewa’ bangsa Melayu dan penduduk asal Sabah Sarawak. Perhatikan perkataan ‘kedudukan istimewa’ yang digunakan, bukannya ‘hak istimewa’.

Lihat juga kepada perkataan ‘melindungi’, bukan sahaja termaktub kepada bangsa Melayu tetapi penduduk asal Sabah Sarawak (Bumiputera). Bukan itu sahaja, ia juga turut menyebut, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi hak dan kepentingan masyarakat yang lain. Fahami perbezaan apa yang mahu dilindungi. Bagi mereka yang berbangsa Melayu dan Bumiputera sudah termaktub kedudukan istimewa mereka. Sementara itu, bagi menghormati masyarakat yang lain, itu adalah kepentingan yang berhak mereka terima.

Pada ketika ini, kita perlu fahami apa itu Melayu. Artikel 160 menerangkan Melayu adalah mereka yang menganuti agama Islam, dan berbicara menggunakan bahasa Melayu dan mengamalkan adat-adat orang Melayu. Ianya bukan satu definisi saintifik. Ia merupakan salah sebuah definisi yang paling kabur pernah saya temui.

Bagaimanakah caranya untuk menakrifkan seseorang itu adalah Melayu dan berbicara menggunakan bahasa Melayu serta mengamalkan adat-adat orang Melayu apabila perkataan yang perlu ditakrifkan adalah ‘Melayu’? Ianya seperti mendefinasikan sebiji buah mangga sebagai sebiji buah yang rasanya seperti buah mangga. Namun menyimpang sudah saya ini.

Di bawah Artikel 153, Yang Dipertuan Agong diberikan kuasa untuk:

* Melaksanakan fungsi baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan cara yang dilihat perlu untuk melindungi kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera;
* Memastikan Bangsa Melayu dan Bumiputera mempunyai kedudukan di dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pameran, dan beberapa keistimewaan dari segi pendidikan dan latihan berkaitan yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan dengan kadar yang difikirkan oleh baginda sebagai berpatutan.
* Memastikan bangsa Melayu dan Bumiputera mempunyai ruang untuk memperolehi permit dan lesen jika permit dan lesen diperlukan untuk operasi memulakan perdagangan atau perniagaan jika itu yang difikirkan oleh baginda sebagai berpatutan; dan
* Memastikan ruang untuk bangsa Melayu dan Bumiputera berada di dalam universiti, kolej, dan mana-mana institut pendidikan selepas tamat MCE atau yang setara [Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)] atau pembahagian mengikut nisbah yang munasabah berdasarkan kepada fikiran baginda jika jumlah mereka yang layak untuk menyambung pendidikan adalah lebih besar jumlahnya daripada tempat yang disediakan.


Selebihnya di dalam Artikel 153 adalah berkaitan dengan larangan agar tidak melucutkan lesen atau permit dari mereka yang bukan berbangsa Melayu atau yang bukan bumiputera jika mereka telah memiliki lesen dan permit. Tetapi perbincangan ini sudah pun menjangkaui daripada skop rencana ini.

Perkara yang paling utama yang harus diberikan perhatian dari syarat undang-undang ini adalah fakta di mana tidak terdapat apa-apa bentuk hak diperuntukkan bagi bangsa Melayu dan Bumiputera. Syarat undang-undang tidak menyatakan, sebagai contohnya, “bangsa Melayu atau Bumiputera dari Sabah Sarawak akan diberikan ruang sebanyak 75% di dalam universiti, kolej dan institut pendidikan tempatan ataupun 65% untuk semua biasiswa sudah tersedia di Malaysia setiap tahun”.

Apabila kita bercakap mengenai ‘hak’, kita bercakap mengenai hak yang dimiliki oleh seseorang. Hak-hak ini seterusnya akan dikuatkuasakan oleh undang-undang.

Berasaskan contoh yang telah saya berikan sebelum ini, maka bolehlah satu tindakan berkumpulan (‘class action’) untuk melaksanakan hak-hak seumpama ini diangkat oleh mereka yang berbangsa Melayu dan Bumiputera jika hak-hak mereka ini dirasakan telah disekat. Tindakan ini boleh diambil jika syarat undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan telah termaktub sedemikian.

Walau bagaimanapun, ini bukan soalnya di dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang diberikan adalah kuasa kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyediakan lesen, permit, biasiswa, ruang di dalam universiti atau kedudukan di dalam sektor perkhidmatan awam untuk bangsa Melayu dan Bumiputera di dalam bahagian tertentu yang difikirkan baginda sebagai berpatutan.

Kuasa yang dimiliki oleh Tuanku tidak boleh dipertikai. Ia boleh ditakrifkan secara jelas. Namun begitu, pada hemat saya Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan bidang kuatkuasa kepada pelaksanaan hak ini. (The Federal Constitution however, in my humble opinion, stops short from conferring any enforceable right).

Perkara lazim yang akan dipersoal adalah bagaimana Yang Dipertuan Agong melaksanakan kuasa baginda. Jawapan untuk soalan ini terdapat di dalam Fasal (2) daripada Artikel 153. Fasal (2) menyebut kuasa Yang Dipertuan Agong akan dilaksanakan selaras dengan Artikel 40. Bermaksud, ‘kuasa’ yang dianugerah kepada Yang Dipertuan Agong di dalam Artikel 153 tidak boleh dilaksanakan hanya mengikut pertimbangan baginda sahaja.

Kuasa tersebut hanya boleh dilaksanakan atas nasihat dari kabinet atau menteri yang bertindak di bawah kuasa umum kabinet. Mengikut persetujuaan, orang yang disebutkan itu adalah Perdana Menteri.

Yang Dipertuan Agong juga tidak berkuasa untuk menentukan sebarang ‘simpanan’ atau rizab untuk bangsa Melayu dan Bumiputera. Pada terasnya, adalah kerajaan melalui keputusan kabinet yang melakar dasar tentang bagaimana kuasa ini akan digunakan.

Kebiasaannya, barisan kabinet akan menentukan kriteria untuk sebarang ‘simpanan’ dan juga berkenaan hal-hal yang disebut di dalam Artikel 153. Ini bermaksud, bukan Umno sahaja yang membuat keputusan [walaupun pada hakikatnya mungkin Umno yang memutuskan segalanya] selama ini. Ianya sepatutnya diputuskan oleh Barisan Nasional secara keseluruhannya, bermaksud perkara ini telah diputuskan oleh Umno, MCA, MIC dan semua parti komponen di dalam BN.

Pada masakini, berbagai persoalan timbul, bagaimana pelajar yang mempunyai gred yang lemah diterima masuk ke dalam universiti sedangkan pelajar (bukan Melayu) yang mempunyai gred yang tinggi tidak boleh melanjutkan pelajaran ke universiti. Persoalan yang sama timbul di mana pengagihan kontrak daripada kerajaan dan juga tuntutan untuk sebarang peratusan pegangan saham Melayu di sesebuah syarikat.

Di pihak kerajaan, persoalan ini dipandang remeh. Persoalan ini dianggap sebagai mencabar hak orang-orang Melayu. Banyak sekali retorik. Kedengaran jeritan “pendatang tidak mengenang budi”. Terdapat juga teguran bahawa untuk mempersoalkan hal ini adalah seperti mempersoalkan kuasa pemerintah di bawah Artikel 153 – ia dirujuk daripada ‘kontrak sosial’.

Pada hemat saya, ini telah disalahertikan. Tiada siapa yang mahukan supaya kuasa Yang Dipertuan Agong di bawah Artikel 153 ditarik balik. Saya fikir lebih tepat apa yang dipersoalkan adalah dasar di mana menunjukkan perlaksanaan kuasa itu dan bukannya merujuk kepada wujudnya kuasa itu sendiri.

Perlu diberi perhatian, Artikel 153 berulang kali menyebut Yang Dipertuan Agong akan melaksanakan kuasa baginda berdasarkan apa yang difikirkan baginda berpatutan. Barangkali, ‘berpatutan’ itu adalah kunci utama.

Kita hanya berpura-pura mempunyai sebuah kerajaan berdemokrasi dan sistem politik demokratik.

Jika itu benar, pasti dasar kerajaan, terutamanya yang menyentuh hak asasi rakyat, seperti hak untuk mendapatkan pendidikan untuk semua warganegara, boleh dibawa berbincang, dianalisa dan juga boleh dipersoal. Dan pastinya, sebuah kerajaan yang baik, yang mementingkan rakyat dan negara tidak akan menangkis soalan tersebut tanpa prihatin.

Kalau betul begitu, saya rasa rakyat boleh memberikan kesan perubahan kepada pendekatan acuh tak acuh ini dengan mengubah ataupun menggantikan para penggubal dasar dengan golongan lain.

______________________

Art Harun adalah seorang peguam dan juga kolumnis CPI.

No comments

Powered by Blogger.