MALAKUL YAMIN

FATWA 1 : MAKSUD MALAKUL YAMIN

SOALAN: Apa yang dimaksudkan dengan malakul yamin (budak yang dimiliki) dalam firman Allah s.w.t pada ayat 5 dan 6, surah al-Mukminun (terjemahannya) : Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki. Sesungguhnya dalam hal ini, mereka tidak akan dicela.
Ingin Penjelasan,Taiping, Perak.

JAWAPAN: Malakul yamin adalah hamba-hamba yang diperoleh menerusi peperangan yang mendapat pengiktirafan dalam Islam atau mereka yang berketurunan hamba.

Dalam Islam, mereka yang memiliki hamba wanita (dalam kategori malakul yamin) dibenarkan `menikmati’ hamba wanita tersebut – selepas memerdekakannya – sebagaimana yang `dinikmati’ oleh sepasang suami isteri, tanpa perlu kepada akad nikah, mas kahwin atau saksi.

Bilangan hamba wanita berkenaan yang boleh dimiliki oleh seorang lelaki itu juga tidak dihadkan, berbeza dengan perkahwinan dengan wanita yang merdeka (bebas), yang dihadkan jumlahnya tidak melebihi daripada empat orang dalam satu tempoh jagaan.

Melihat kepada fenomena ini, mungkin ada sesetengah pihak yang menganggap ia adalah bertujuan untuk memuaskan nafsu lelaki serta memberikan keseronokan tambahan kepada mereka.

Namun, hakikat sebenarnya ialah ia merupakan salah satu cara daripada pelbagai cara Islam untuk memerdeka dan membebaskan seseorang hamba.

Ini kerana, seorang hamba wanita yang mengandungkan anak tuannya tidak boleh dijual atau diberikan kepada orang lain sebagai hadiah.

Selain itu, dia juga tidak berhak mewarisi harta pusaka apabila tuannya meninggal, bahkan dia dan anaknya secara automatik menjadi insan yang bebas dan merdeka, bukan lagi sebagai seorang hamba.

Dalam isu ini, perkara yang ditegah ialah mengahwini hamba wanita dengan akad nikah dan mas kahwin seperti yang dilakukan apabila mengahwini seorang wanita yang merdeka.

Namun ia (kahwin hamba wanita dengan akad) dibenarkan dalam dua keadaan iaitu tidak mampu menyediakan mas kahwin untuk wanita merdeka dan keduanya, bimbang akan melakukan zina jika tidak berkahwin.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t pada ayat 25, surah al-Nisa’, maksudnya : Dan barangsiapa di antara kamu (orang merdeka) yang tidak cukup perbelanjaan untuk mengahwini wanita merdeka serta beriman, ia boleh mengahwini wanita beriman dari budak-budak yang kamu miliki – sehingga kepada maksud ayat – (Kebenaran mengahwini budak hamba itu) adalah bagi mereka yang takut kepada kesulitan menjaga diri (dari perbuatan zina) di antara kamu dan kesabaran itu lebih baik bagimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Rahsia atau hikmat di sebalik tegahan dan larangan mengahwini hamba wanita berkenaan dengan akad, mas kahwin dan saksi adalah kerana ia akan menjadikan anak-anak yang lahir hasil daripada hubungan itu kekal sebagai hamba , bukannya merdeka.

Ini bertentangan dengan prinsip Islam yang mahu mengurangkan bilangan hamba, bukannya menambahkan lagi jumlah golongan itu.

Sehubungan itu, dua (maksud) ayat yang terkandung di dalam soalan di atas memberitahu bahawa kaum Mukminin ialah mereka menjaga diri daripada sebarang hubungan yang diharamkan.

Mereka juga tidak dibenarkan `berseronok’ kecuali dengan isteri-isteri merdeka yang dikahwini dengan cara akad nikah atau hamba-hamba wanita yang dimiliki menerusi proses malakul yamin.

Menyentuh mengenai `orang gaji’ pada zaman moden ini, mereka adalah manusia yang bebas dan merdeka, bukannya hamba. Menerusi persetujuan dan persefahaman di antara beberapa buah negara, perhambaan kini sudah dihapuskan walaupun terdapat sebilangan kecil negara yang masih mengamalkannya.

SUMBER : Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam.

No comments

Powered by Blogger.