Setengah jam terdedah asap rokok membahayakan…

AWAS bagi anda yang tidak merokok! Elakkan daripada terhidu asap rokok.

Ini kerana jika anda terhidu asap rokok dalam jangka masa setengah jam ia akan menjejaskan peredaran darah ke jantung.

Kajian berhubung kaitan penyakit jantung dan perokok pasif mendapati, kesan yang dialami oleh mereka tidak merokok ini adalah sama dengan mereka yang merokok.

Sebanyak 30 orang lelaki secara puratanya berumur 27 tahun terlibat dalam kajian tersebut menunjukkan fungsi sel-sel endolethial yang melapisi dinding pembuluh darah jantung dan kaviti jantung terjejas.

Kegagalan endilethial berfungsi menyebabkan berlakunya aterosklerosis atau pengerasan pembuluh darah yang mengakibatkan seseorang berisiko mendapat penyakit jantung.

Malah, Persatuan Jantung Amerika menganggarkan 30 peratus perokok pasif meninggal dunia kerana penyakit jantung berbanding mereka yang tinggal bersama bukan perokok.

Pesakit skizofrenia dan bau kurang enak
Pesakit skizofrenia dikatakan mudah bertindak balas dengan bau yang kurang enak dan bau yang boleh memberi petunjuk pada pemikiran yang paranoid berbanding bau yang sedap.

Ujian imbasan otak terhadap mereka mendapati, peredaran darah pada bahagian prefrontal cortex yang biasanya digunakan untuk mengenali bau yang menyenangkan juga meningkat apabila didedahkan dengan bau yang kurang enak.

Otak yang sihat akan menggunakan bahagian tengah otak ini untuk bertindak balas kepada sebarang ancaman.

Bagaimanapun, di kalangan pesakit skizofrenia mereka hanya boleh bertindak balas pada bau yang kurang enak.

Pesakit-pesakit skizofrenia sukar untuk mengalami emosi yang menyeronokkan iaitu satu gejala yang lebih dikenali sebagai anhedonia.

Lebih psikotik seorang pesakit skizofrenia, lebih tinggi keupayaan mereka mengenal pasti bau yang kurang enak.

Kelainan otak punca gagap
MUNGKIN anda beranggapan orang yang gagap mempunyai kaitan dengan masalah mental atau disebabkan darah gemuruh.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan berjaya menolak tanggapan ini bahawa mereka yang gagap sebenarnya mempunyai kelainan pada bahagian tertentu otak yang bertanggungjawab untuk bahasa dan pertuturan.

Penyelidikan yang dilakukan menggunakan MRI mendapati bahagian kiri dan kanan temporal lobe otak mereka yang gagap lebih besar.

Bagaimanapun, kelainan ini berbeza-beza antara seorang dengan seorang yang lain.

Dianggarkan lebih tiga juta orang di Amerika Syarikat menghadapi masalah gagap dengan empat kali ganda lebih tinggi di kalangan lelaki berbanding wanita.

Di kalangan kanak-kanak seorang daripada lima orang akan menghadapi masalah ini, di mana 20 peratus akan terus gagap bila dewasa.

No comments

Powered by Blogger.