KJ LEBIH PANDAI TARIK ANAK MUDA

Pada hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa pemuda UMNO mahu tubuh ‘bilik perang’ pilihanraya. Dalam akhbar terbabit melaporkan juga, dalam keadaan yang sedia ada pun, Pemuda UMNO sudah berjaya menarik anak-anak muda untuk mengundi UMNO/BN dalam dua pilihanraya kecil; DUN Manik Urai dan DUN Bagan Pinang. (sila Klik)

Dilihat dari laporan akhbar ini, jelas dan nyata bahawa Khairi jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia dilihat lebih bijak tarik anak muda berbanding dua ketua pemuda; Pemuda PAS dan AMK. Pemuda PAS dengan imej Mat Skema yang tidak cool, sedangkan AMK berwatak intelek VIP seperti Penguin berlabuh di ais-ais batu kutub utara.

Kalau pemuda PAS terus dengan imej Mat Skema yang tidak cool, tidak hairan anak-anak muda Malaysia tidak akan menjadikan PAS sebagai parti alternative. Keadaan yang sama juga tidak hairan akan menimpa AMK Malaysia.

MAT SKEMA

Anak-anak muda merupakan eset yang penting dalam menentukan masa depan politik. Kejayaan masa depan politik terletak dibahu-bahu mereka. Jika sekarang mereka memilih islam, sudah pasti kejayaan perlaksanaan islam di masa akan datang akan tercapai. Jika sebaliknya berlaku, masakan islam diterima, tidak mustahil mereka akan menjadi penyerang utama terhadap perlaksanaan islam.

Justeru, pendekatan terhadap anak muda agar mereka menerima Islam perlu dilakukan. Tindakan yang perlu dilakukan, perlu mengandungi unsur bijaksana, malahan bersifat waqie dengan keadaan mereka dan bersifat ’semasa’.

Berimej dan berwatak ’Mat Skema’ akan melahirkan perasaan anak-anak muda agak susah hendak mendekatkan diri. Lebih bertambah jauh, apabila imej dan watak ’mat skema’ ini dicampurkan dengan ’tidak cool’.

Sebarang program-program hiburan, sering diserang. Walhal, sebarang alternatif hiburan tidak pernah diberi hidangan. Jika ini yang wujud, tidak hairan gelaran ’tidak cool’ terkena kepada ’mat skema yang tak tentu pasal’ ini.

Berdampingan dengan Anak-anak muda mempunyai kaedah dan cara tersendiri. Berbicara seperti berceramah di meja kuliah masjid dan surau, menyebabkan anak muda menjauhkan diri. Lebih dahsyat lagi, apabila watak surau dan masjid itu dibawa ketika berjumpa dengan mereka.

Amat pelik pada sebilangan pendakwah dan penceramah, yang bijak mengomel, komplen dan mengherdik anak-anak muda di masjid dan surau, tetapi dalam masa yang sama, tidak pernah anak-anak muda dijadikan kawan dan sahabat dalam mendekatkan mereka kepada surau dan masjid.

Itulah hakikat penceramah pada hari ini. Modal air liur menjadi emas yang disapuh, bagi melahirkan pandangan negatif terhadap anak muda. Tidak dinafikan, tindakan anak-anak muda itu sememangnya negatif, tetapi tindakan negatif itu tidak selayaknya dibiarkan berlanjutan, atau dilakukan kritikan diluar dari kerangka mereka, sebaliknya pandangan positif perlu dibina dengan sebijaksana yang mungkin.

KE’VIP’AN PENGGUIN

Tengok nasional geografi, kita dapat melihat watak-watak penguin dalam berkawan. Sesama mereka menjadi teman, sebeda mereka menjadi ganjilan. Ketika berjalan, cerdik kelihatan. Tetapi, disebalik kelihatan cerdik, terkandung seribu satu ke’VIP’an.

Keadaan ini yang menyebabkan anak-anak muda agak susah hendak mendekat diri dengan AMK Malaysia. Jika wujud kawan, kelihatan wajah-wajah projek dan kewangan. Justeru tidak hairan, AMK mendapat sambutan hangat di negeri PKR menang besar, dan agak tidak kelihatan di negeri-negeri yang kerusi PKR berkurangan.

NIZAR DAN ANWAR

Ada dua dua tokoh di negara ini yang dilihat mesra anak muda. Anwar Ibrahim dan Nizar dilihat anak muda sebagai ikon perjuangan. Di mana sahaja berjumpa dengan anak muda, nama Anwar Ibrahim dan Nizar menjadi buah mulut anak-anak muda

Mengapa mereka menjadi ikon politik anak muda? Kerana mereka sering buat show, tidak skema dan bersikap cool. Waima memegang jawatan ’VIP’, tetapi mereka tidak bersifat ke’VIP’an ketika bersama anak muda.

Sedihnya, dua tokoh ini tidak dicontohi pemimpin-pemimpin dalam pemuda PAS dan AMK. Ekoran itu, anak-anak muda ini akan melaungkan nama dua tokoh ini berbanding parti yang didokong.

Pun begitu, jika kita melihat lebih luas dari daerah Pakatan Rakyat. Khairy jamaluddin dilihat lebih kehadapan dalam menarik minat anak muda kepada UMNO. siapa yang boleh sangka, seorang ketua pemuda UMNO yang boleh menjadi pelakon dalam filem pendek 15malaysia?

Siapa yang boleh sangka, ketua pemuda UMNO itu, sering buat show yang menarik minat anak muda untuk melihatnya, seperti bawa motor kapcai, merayau-rayau dalam kempen Pilihanraya. Waima penyokong dan pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan PKR meluat, tetapi tindakannya itu menarik minat anak-anak muda untuk menjadi pengikutnya.

Mujur Khairy Jamaluddin ini mempunyai musuh dalaman pemuda UMNO Malaysia sendiri, seperti Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir. Kalau tidak kerana dua ’jembalang tanah’ ini, sudah pasti sekarang Khairy sudah berjaya membuktikan kejayaannya menarik minat anak-anak muda kepada UMNO, seterusnya mereka tidak mengenali lagi tokoh-tokoh pemuda dari PAS dan AMK.

Mungkin demi kemajuan parti PAS dan PKR di masa akan datang, PAS tidak boleh lagi menabalkan ’ustaz’ sebagai ketua pemuda Pusat, dan ’Mat elit’ sebagai ketua AMK Malaysia.

Sekian

PATIK MOHON SEMBAH DERHAKA

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 oktober 2009 * 12:52 pagi

1 comment

Pak Brahim said...

Tuan, saya turut merasa serasi dengan pandangan anda tentang perwatakan seseorang kepimpinan anak-anak muda terutama yang memimpin parti siasah yang memerlukan aura yang mampu menarik minat anak-anak muda mendekati mereka. Saya juga setuju ulasan anda terhadap Sdr. Khairy Jamaliddin, beliau lincah dan versetile, malangnya beliau bukan sahaja ada musuh didalam UMNO sendiri bahkan juga keperibadian beliau juga cacat terpalit dengan kerosakan moral. Jika begitu beliau terpaksa bergerak bersama wang demi untuk kelihatan ramai pengikutnya berjalan bersama.

Powered by Blogger.