KENYATAAN MEDIA :Pembelian 400,000 dos vaksin Influenza A (H1N1)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) mengalu-alukan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah membeli 400,000 dos vaksin Influenza A H1N1 bernilai RM 14 juta bagi mengawal penyebaran pandemik H1N1. Vaksin ini dijangka tiba pada bulan Januari 2010.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai telah melaporkan di Dewan Rakyat, bahawa sejumlah 200,000 dos vaksin H1N1 telah diberikan kepada petugas barisan hadapan dalam menangani wabak ini.

Menurut Menteri Kesiahatan, pembelian fasa kedua ini juga akan turut diberikan kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota kesihatan dan perubatan, polis dan imigresen.

Meskipun pertimbangan telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan, namun Pemudawilayah mencadangkan agar vaksin ini turut diberikan kepada individu-individu yang berisiko tinggi terhadap jangkitan wabak ini seperti kanak-kanak berusia dibawah 5 tahun, individu yang berumur melebihi 65 tahun, wanita mengandung dan golongan dewasa serta kanak-kanak yang mengalami daya ketahanan yang rendah (immunosuppression).

Pemudawilayah berharap agar sebahagian dari 400,000 dos vaksin yang akan tiba ini dapat dikongsikan kepada rakyat yang berisiko tinggi dan kurang peka dengan langkah-langkah pencegahan. Jika jumlahnya tidak mencukupi, pembelian fasa ketiga boleh dicadangkan mengikut kemampuan kewangan negara.

Pemudawilayah turut mencadangkan agar pihak Kementerian Kesihatan dapat menimbang sebaiknya harga setiap dos vaksin tersebut termasuk pemberian percuma kepada mereka yang betul-betul memerlukan dan berada pada paras kemiskinan bandar dan luar bandar.

Sekian. Terima Kasih

MOHAMMAD SUHAIMI ABD AZIZ

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutan

No comments

Powered by Blogger.