Mencari jalan atasi bahaya alam

BAHAYA alam ialah gejala yang mewujudkan ancaman atau bahaya kepada manusia.

Ia barangkali lebih disebabkan oleh kesilapan manusia mengurus alam semula jadi daripada unsur-unsur semula jadi.

Manusia bertanggungjawab mendedahkan tanah kepada unsur-unsur luluhawa dan hakisan, dan melemahkan tanih yang kemudian mudah dihancurkan dalam tanah runtuh.

Kebanyakan gejala alam termasuk bencana alam, adalah banyak dipengaruhi dan dicipta oleh manusia sendiri. Kuasa-kuasa alam sekitar seperti hujan lebat (cuaca) dan air larian permukaan tinggi (sistem hidrologi) memang memainkan peranan dalam menghasilkan keadaan yang diperlukan untuk tanah runtuh, tetapi lebih signifikan ialah aktiviti manusia menanduskan dan melemahkan permukaan cerun melalui berbagai guna tanah.

Pada dasarnya, interaksi di antara ”Sistem Gunaan Manusia” dengan ”Sistem Peristiwa Semula jadi” telah menghasilkan tanah runtuh.

Tanah runtuh ialah suatu istilah umum yang digunakan untuk menghuraikan sekumpulan proses gerakan jisim pejal dan separuh pejal menurun cerun. tanah runtuh merangkumi banyak proses seperti ”aliran” – kesotan tanah dan aliran puin ; gelongsoran tanah – nendatan tanah, gelongsoran tanah dan gelongsoran batu; dan jatuhan – batu jatuh.

Pergerakan jisim boleh berlaku dengan banyak cara yang bergantung kepada bahan jisim lereng, sudut cerun dan jenis gerakan.

Gerakan jisim yang paling perlahan dikenali sebagai aliran – Kesotan tanah dan aliran puin adalah dua proses tanah runtuh yang berlaku secara aliran. Dalam aliran, puin-puin tanah individu bergerak secara berasingan ke cerun bahawa dan bukan sebagai sesuatu jisim gabungan.

Justeru, aliran lazim berlaku dalam tanah bersifat terpisah, longgar dan tidak bergabung. Dalam kesotan tanah, pergerakan tanah ke cerun bawah adalah amat perlahan sehingga tidak dapat dikesan oleh mata kasar.

Kadar pergerakan mungkin hanya beberapa sentimeter seminggu. Bukti kesotan tanah berlaku ialah tiang lampu condong ke cerun bawah, batu nisan bengkok, dinding rumah senget dan pokok-pokok hampir tumbang.

Kadar pergerakan kesotan tanah adalah satu meter bagi setiap tahun.

Aliran puin merangkumi beberapa jenis seperti puin tercampur, lumpur, tanah dan kelodak. Proses aliran puin lebih pesat berbanding dengan kesotan tanah.

Kadar aliran bergantung kepada sudut cerun, jenis puin, kehadiran air, dan wujudnya halangan seperti hutan. Biasanya, aliran tanah pejal lebih perlahan berbanding dengan aliran lumpur dan kelodak.

Aliran tanah berlaku dalam kadar beberapa puluh meter setiap jam tetapi aliran lumpur dan kelodak mungkin berlaku dalam kadar beberapa ratus meter setiap jam.

Dalam kes di mana lumpur dan kelodak tepu dengan air hujan dan cerun sangat curam, aliran yang dihasilkan adalah pesat dan boleh mencapai kadar 100 kilometer sejam.

Di dalam kebanyakan kes gerakan jisim di Malaysia, sesuatu bungkah batu atau bungkah tanah yang besar menjadi lemah dan tepu air lalu bergerak ke cerun bawah. Bahan-bahan tidak bergerak sebagai kesotan atau aliran, tetapi bergelonsor ke cerun bawah sebagai suatu jisim bergabung, atau sebagai beberapa bungkah bergabung yang berstruktur koheren. Gelongsoran melibatkan dua proses utama, nendatan dan gelongsoran batu.

Nendatan ialah sesuatu proses gerakan jisim yang berlaku apabila sesuatu gelinciran berlengkung cekung terbentuk di dalam batu atau regolit tanah. Bahan-bahan batu dan tanah bergerak ke cerun bawah di atas satar gelinciran, yang sering dijadikan licin oleh penepuan air dari hujan. Dalam nendatan, bungkah-bungkah batu atau tanah tertinggal koheren (tanpa berubah bentuk strukturnya) akan bergerak ke cerun bawah dengan serta merta.

Namun begitu, bungkah-bungkah tersebut berputar di atas gelinciran cekung. Kadar pergerakan nendatan adalah pesat.

Proses nendatan berlaku dalam beberapa saat sahaja. Gelongsoran tanah dan batu adalah proses serupa tetapi melibatkan bahan jisim yang berlainan. Apabila gelongsoran batu atau tanah berlaku, sesuatu retakan terjadi di dalam batu induk bawah. Oleh itu, batu atas atau tanah atas akan bergelongsor ke cerun bawah. Dalam gelongsor batu, batu yang telah gerak ke cerun bawah akan berpecah kepada bungkah-bungkah yang lebih kecil.

Di tebing tinggi atau cerun curam, batu atau tanah lemah dan longgar akan mudah jatuh ke cerun bawah. Proses luluhawa oleh sinaran matahari terik, hujan, perkembangan akar tumbuhan, aktiviti binatang akan merekahkan dan melemahkan batu.

Bungkah batu dan tanah yang dipisahkan akan jatuh ke kaki cerun. Kadar proses jatuhan adalah paling pesat di antara semua proses gerakan jisim.

Ia berlaku dengan serta merta dan mangsa-mangsa mungkin tidak dapat melakukan apa-apa.

Profesor Madya Dr. Chan Ngai Weng ialah pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.