Ibadat haji lambang pengorbanan sejati

PENGORBANAN sebagai suatu unsur dalam ibadat bukanlah suatu perkara yang baru bagi masyarakat manusia. Bahkan ia telah menjadi suatu unsur utama dalam sejarah hidup manusia sama ada yang mencapai tamadun tinggi atau sebaliknya.

Kita biasa mendengar rakaman cerita-cerita dahulu kala betapa manusia mempersembahkan korban kepada dewa-dewa dalam bentuk yang berbagai-bagai sehingga sanggup menumpahkan darah manusia. Kisah pengorbanan juga turut tercatat dalam kisah agama-agama di dunia. Di antaranya ialah pengorbanan Gautama Buddha yang meninggalkan kemewahan istana dan Jesus Christ yang mengorbankan dirinya kerana menebus dosa manusia.

Justeru pengorbanan adalah merupakan suatu perkara besar dalam amalan keagamaan manusia. Pelaksanaan juga merujuk kepada tempat yang dianggap suci dalam agama masing-masing.

Sebagai contoh saban tahun Sungai Gangga di India dan Vatican di Itali dikunjungi oleh penganut agama Hindu dan Kristian bagi melaksanakan tuntutan-tuntutan berkenaan.

Bagi umat Islam, ibadat haji adalah lambang pengorbanan yang paling agung pernah dianugerahkan kepada manusia. Secara prinsip, ia merujuk kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam mendirikan rumah ibadah yang tertua sekali dalam sejarah manusia. Nabi Ibrahim telah diperintahkan supaya membina Kaabah di tengah-tengah gurun pasir yang tidak pernah didiami oleh manusia sebelum ini.

Sekali imbas, perintah mendirikan rumah di padang pasir yang tandus ini adalah kerja manusia yang tidak waras. Ia persis perbuatan Nabi Noh yang membina kapal di daratan, sehingga kaumnya menggelarkannya sebagai seorang yang nyanyuk dan gila. Semua kerja-kerja yang tidak masuk akal ini dilaksanakan tanpa soal justeru kecintaan dan pengorbanan mereka kepada pencipta yang Maha Agung iaitu Allah s.w.t. Hasilnya, Kaabah tegak sebagai rumah ibadat yang agung sehingga menimbulkan kedengkian Abrahah yang kemudiannya menghantarkan tentera bergajah untuk memusnahkannya.

Sesungguhnya pengorbanan Nabi Ibrahim adalah pengorbanan yang paling hebat pernah dilakukan oleh manusia. Ia adalah tugas yang pada adatnya tidak mampu dilakukan oleh manusia biasa. Perintah menyembelih anaknya sendiri, Nabi Ismail dilakukan tanpa soal jawab walaupun ia adalah suatu pengorbanan yang berat.

Sebagai nabi yang dikurniakan sifat bijaksana, Nabi Ibrahim sudah tentu mahir menyusun hujah mempersoalkan logiknya perintah berkenaan. Bukankah kebijaksanaan baginda telah teruji apabila berdebat dengan ayahnya dan Raja Namrud?

Baginda juga boleh meminta agar ibadat korban itu ditukar kepada menyembelih binatang ternakan. Bukankah itu lebih rasional dan diterima akal? Namun demikian, pendekatan akliah yang lazimnya diamalkan oleh kaum Yahudi apabila menerima ketentuan Allah ini tidak dirintis oleh Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim dan anaknya dengan tenang menerima ketentuan dan amanah Allah s.w.t itu daripada terpengaruh dengan dalil-dalil akal yang pastinya tidak bebas daripada cengkaman hawa nafsu itu. Dengan penuh tawaduk baginda membenamkan mata pisau ke leher anaknya, Ismail. Alangkah terkejut dan bersyukurnya Nabi Ibrahim apabila mendapati seekor kibas telah terbaring menggantikan jasad anak Ismail.

Demikianlah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan syariat Allah. Perjuangan baginda kemudiannya diteruskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda terpaksa lari meninggalkan Mekah dan bagi membersihkan tempat suci ini daripada syirik. Pelbagai penderitaan dan halangan dihadapi oleh junjungan Nabi Besar sebelum dikurniakan semula rumah ibadat teragung itu kepada Islam.

Pembukaan kota Mekah pada tahun kesepuluh Hijrah memberikan sinar baru dalam ibadat haji. Jika sebelumnya ibadat haji dicemari dengan patung berhala dan tawaf secara bertelanjang, kini Islam menghapuskan segala khurafat dan kemungkaran tersebut.

Penyusunan rukun dan kaedah ibadat haji yang diajarkan oleh Islam lebih berorientasikan penghayatan pengorbanan sebagaimana yang telah ditunjuki oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Segala halangan dan ujian yang menimpa tetamu Allah mengajar mereka erti kesabaran dan pengorbanan sebagaimana yang telah ditempuh oleh para nabi sebelumnya. Sebagai contoh pelaksanaan ibadat korban adalah mengambil sempena peristiwa pengorbanan Nabi Ismail oleh ayahnya Nabi Ibrahim. Pelaksanaan sai’e di antara Safa dan Marwa adalah manifestasi larian kecemasan Siti Hajar ketika mencarikan air untuk anaknya Ismail yang menangis kehausan.

Walaupun pengorbanan jemaah haji dalam ibadat ini tidaklah menyamai prestasi para rasul dan nabi yang terlalu unggul itu, mereka ditawarkan oleh Allah s.w.t. keampunan persis seorang bayi yang baru dilahirkan serta syurga sekiranya memperoleh haji mabrur. Nabi Muhammad s.a.w bersabda ”barang siapa mengerjakan haji dan dia tidak mencampurkannya dengan perkara-perkara lain (pada waktu terlarang) serta tidak berbuat maksiat, maka dia akan kembali seperti pada saat dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Sabda Rasulullah lagi: Persoalannya, bagaimanakah memperoleh haji yang mabrur? Jawapannya tidak lari dari hakikat pengorbanan yang mesti disemai sebelum, semasa dan sesudah melaksanakan ibadat itu sendiri. Itulah tanda cinta dan pengorbanan sejati makhluk kepada Tuhan. Sudah tentu ganjaran pasti menanti mereka yang bersedia berkorban.

DR. BADLIHISHAM MOHD NASIR, Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.