NAJIB MENCARUT DI PWTC?

sDari Kacamata: HALIK ZAMAN-KOTA KINABALU

DALAM kemeriahan Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung baru-baru ini, banyak isu-isu yang mereka ketengahkan termasuk gurauan sindiran, gurauan semi-lucah dan pelbagai bentuk ragam lagi yang dapat kita lihat di kaca television.

Yang paling memalukan lagi, seorang Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia dalam ucapan penutupnya kelmarin, di samping gurauan sengaja 'mencarut' dan menyebut 'kote' dan 'barang aku dan barang dia' takut meletup. Di mana sudah ketrampilan Najib? Di mana sudah aura seorang pemimpin?

Namun dalam begitu banyak idea-idea yang diutarakan, tiada satu pun antara perwakilan terfikir untuk mengketengahkan suatu idea yang bernas, memberi peluang golongan muda yang berusia 21 tahun untuk turut sama mengundi pada usia itu.

Benar, umur sesuai untuk mendaftar sebagai pengundi adalah 21 tahun ke atas. Bersesuaian dengan penghijrahan remaja ke alam dewasa. Akan tetapi sekiranya pihak SPR diarah dibuat usul memberikan sedikit pengubah-suaian had umur untuk mendaftar sebagai pengundi, yakni remaja yang berusia 16 tahun dibolehkan mendaftar sebagai pengundi dan apabila umur mereka meningkat ke 21 tahun, mereka boleh terus mengundi.

Jika dilihat pada syarat mengundi yang ada sekarang ini, remaja hanya boleh mendaftar sebagai pengundi pada usia 21 tahun dan ini bermakna mereka menjadi seorang mengundi pada usia 26 tahun barulah mereka mulai mengundi bila tiba PRU nanti.

Mengapa mesti kita bazirkan beberapa tahun bagi golongan remaja yang sudah cukup umur dan akil baligh itu baru mengundi?. Tidakkah kita terfikir, berapa banyak undi anak-anak muda terabai selama beberapa tahun kalau daftar nama dihadkan bermula pada usia 21 tahun ?

Kita percaya kelonggaran had umur mendaftar sebagai pengundi sebelum mencecah usia 21 tahun, mampu memberikan suatu fenomena baru pada pengundi remaja kita di Malaysia. Sekurang-kurangnya mereka tidak membazirkan beberapa tahun bagi menikmati hak mereka sebagai pengundi yang sah dalam usia 21 tahun kalau dibenarkan pendaftarannya dikuatkuasakan pada usia 16 tahun.



Juga apa yang kita lihat dari apa yang dipaparkan di kaca televisyen, perwakilan UMNO ghairah membincangkan pindaan perlembagaan yang jika dihalusi sebenarnya mengikat lebih ketat lagi ahli-ahli UMNO untuk lebih tunduk dengan Jawatankuasa Tertinggi UMNO yang sedia ada dan pindaan perlembagaan UMNO itu juga menjadi penghalang golongan muda mendapat jawatan tinggi; untuk menang undi dari pengundi 146,000 ribu perwakilan yang dikawal rapi oleh Pengerusi Pengerusi Perhubungan di tiap-tiap Negeri dalam pilihan Jawatankuasa Tertinggi UMNO Pusat.

Seperti yang dikatakan tadi, akibat terlalu ghairah sehinggakan mereka terlupa untuk membicarakan kesusahan rakyat. Permasalahan kos sara hidup yang meningkat juga tidak mendapat tempat di hati perwakilan dek kerana terlalu bersuka ria dengan kemenangan terancang di Bagan Pinang. Inikah yang dikatakan parti yang memperjuangkan kebajikan dan hak rakyat?

Jika ditanya, kenapa pula perkara ini harus diketengahkan di Perhimpunan Agung UMNO? Jawapannya senang dan ringkas, kerana barisan Menteri-Menteri Kabinet Kerajaan Pusat kesemuanya dapat dijumpa dalam Mesyuarat Agung sahaja, kalau di pejabat para Menteri buat alasan ada mesyuarat penting.

Disebabkan terlalu riak dengan kemenangan Bagan Pinang, mereka terlupa rakyat yang mengharapkan agar ada hati-hati insan yang bergelar MENTERI atau mana-mana perwakilan UMNO yang bersuara untuk mencari jalan meringankan beban yang terpikul di bahu orang kampung.

Rakyat berharap akan ada insan mulia di antara 2500 perwakilan yang bangkit mengutarakan permasalahan rakyat. Namun apa yang ditunggu dan diharapkan tidak pernah kunjung tiba. Apa yang terlihat di mata, hanyalah suatu pesta ‘puji memuji sesama sendiri’ dan keriaan yang penuh kepura-puraan.

Para Menteri dan perwakilan alpa kerana keriakan sehinggakan gurauan seorang Presiden parti begitu dilihat kemurahan dan tidak beretika. Presiden UMNO pun turut tawa terbahak-bahak riang dan sorakan gembira menenggelamkan harapan rakyat untuk melihat adanya jalan keluar bagi pikulan sarat beban sara hidup yang harus mereka depani.

Inikah parti yang megah dengan slogankata, RAKYAT DI DAHULUKAN, PENCAPAIAN DI UTAMAKAN? Magis ungkapan ini bagaikan tiada pernah ada auranya. Slogankata ini hanya tinggal slogankata, tidak bermakna sama sekali.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita sedikit terkejut dengan perlakuan luarbiasa seorang Presiden parti ternama di Malaysia ini. Sepanjang UMNO ditubuhkan, kita tidak pernah melihat adanya Presiden parti @ Perdana Menteri yang berucap sedemikian rupa.

Mungkin kerana desakan UMNO yang ketandusan sokongan golongan muda maka mendorong untuk Perdana Menteri kita ‘mencorakkan’ ucapan beliau seperti ucapan orang-orang muda. Kita faham... dan amat faham... UMNO telah ketandusan penyokong anak-anak muda!

Semakin hari kita melihat UMNO semakin kehilangan halatujunya. Dengan pindaan yang baru sekarang ini menjaminkan lagi kedudukan mereka. Walau secara mata kasar ianya lebih terbuka. Tetapi sekiranya di analisa secara halus, pindaan baru ini mengikat ahli-ahli untuk terikat dengan kuncu-kuncu Presiden untuk selamanya.

Siapa yang mengurus undian sejumlah 146,000 ribu itu kalau bukan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri yang dilantik oleh Presiden UMNO menjadi Pengerusi Perhubungan Negeri? Mana lagi ada peluang untuk jawatan tinggi kepada remaja remaja yang cuma perlu sewaktu undian PRU Malaysia sahaja. Itu adalah hakikatnya!.

No comments

Powered by Blogger.