Salah faham tentang kemiskinan

Wacana Islam
Oleh MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID
BANYAK hadis Nabi s.a.w yang memberi penilaian bahawa kemiskinan adalah satu penyakit berbahaya yang dikhuatiri meninggalkan kesan buruk ke atas akidah, akhlak dan pemikiran seseorang, malah kepada kaum itu sendiri. Penyakit ini mudah menonjol terutamanya di kalangan orang yang menghadapi kemiskinan yang teruk dan tinggal berhampiran dengan orang kaya yang buruk budi pekertinya serta kedekut yang amat sangat.

Kemiskinan adalah satu bala yang sama dengan penyakit berjangkit, justeru ia boleh membawa seseorang itu menjadi kufur.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Kepapaan itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran.

Hadis ini menjelaskan bahawa sering kali orang menjadi kufur kerana tekanan-tekanan ekonomi dan kesulitan untuk memperoleh rezeki. Orang yang asalnya baik akan berubah menjadi tidak amanah. Perempuan yang memelihara kehormatan diri menjadi tidak sanggup lagi memeliharanya kerana tekanan ekonomi.

Oleh itu Islam mewajibkan setiap umatnya agar bekerja keras dan berusaha mencari rezeki demi membela diri mereka daripada kemiskinan dan kekufuran. Islam menilai orang yang bekerja dan berusaha itu sebagai jihad.

Allah menjadikan bumi dan isi kandungannya semata-mata untuk manusia, tetapi manusia tidak akan dapat menikmati sepenuhnya melainkan dengan titik peluh usaha mereka sendiri.

Meninggalkan pekerjaan dan usaha mencari rezeki atas alasan untuk beribadah kepada Allah sahaja adalah bertentangan dengan konsep Islam yang sebenar.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah al-Ra’d ayat 11).

Umat Islam harus cemerlang dalam hal duniawi tanpa mengabaikan akhirat. Kualiti hidup di dunia inilah yang membawa kepada kejayaan manusia merubah daripada kemungkaran kepada yang makruf.

Manusia diperintah oleh Allah untuk mencari rezeki bagi keperluan hidupnya dan juga diperintah untuk mencari rezeki yang lebih di muka bumi ini bagi tujuan membantu orang lain yang tidak berkecukupan.

Allah berfirman dalam Surah al-Jumu’ah ayat 10 yang bermaksud:

Kemudian setelah selesai sembahyang maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dan limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya.

Di sisi lain pula al-Quran mengecam mereka yang mengharamkan hiasan duniawi yang diciptakan Allah bagi umat manusia.

Katakanlah (Wahai Muhammad) siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakannya. (Surah al-Baqarah ayat 32).

Al-Quran kemudian menyebut bahawa Allah menjanjikan pengampunan dan anugerah yang berlebihan, sedangkan syaitan pula menjanjikan kefakiran.

Sesungguhnya Islam tidak pernah menganggap mulia atau mentakdirkan kemiskinan sebagai satu cara untuk mencapai ketinggian rohani. Hadis-hadis yang memuji kehidupan zuhud di dunia bukanlah bererti memuji kemiskinan. Adalah satu kesilapan yang besar bagi setengah orang yang menganggap bahawa kemiskinan bukanlah satu keburukan yang perlu diatasi dan juga bukan penyakit yang perlu diubati, ia adalah satu nikmat Allah yang dikurniakan kepada sesiapa di antara hambanya agar hatinya sentiasa berhubung dengan akhirat dan benci pada dunia.

Islam tidak datang hanya untuk mengajarkan zikir dan doa tetapi untuk membebaskan manusia daripada beban penderitaan kepada hidup yang bahagia. Hidup tidak mahu berusaha dan hanya meminta belas kasihan orang lain tidak dipersetujui oleh Islam.

Tangan yang di atas (yang memberi) lebih mulia daripada tangan yang di bawah (yang meminta-minta). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam jelas menolak sesetengah golongan yang menyanjung kemiskinan dan menganggap kekayaan sebagai dosa. Demikian juga yang menganggap kemiskinan sebagai qadar yang tiada jalan untuk mengelaknya. Ini semua pandangan ekstrem yang terpesong daripada jalan yang lurus sepertimana yang dituntut oleh ajaran Islam yang sebenar.

MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

No comments

Powered by Blogger.