Pilihan Raya Kecil: Bagan Pinang: Tsunami, manipulasi atau tradisi?

Oleh Wan Nordin

Bising seluruh akhbar arus perdana mendendangkan lagu kemenangan Umno/BN sebaik keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bagan Pinang diumumkan, dan lebih menarik ada yang menyifatkan ia 'tsunami'. Tidak kurang yang menyatakan inilah ledakan sokongan kepada Umno/BN semula bertapa rakyat kembali kepada hakikat yang sebenar



Ramai yang tidak mengerti akan dampak sebenar politik di Bagan Pinang yang mana inilah kubu kuat Umno/BN yang tercipta sejak berpuluh tahun lamanya, dengan masyarakat yang sudah dididik dengan hiburan dan mementingkan material dari soal integriti.

Rakyat di Bagan Pinang sejak dahulu hidup di tepi pantai dengan pusat peranginan yang berderetan. hotel-hotel mewah, resort-resort yang dipenuhi pengunjung setiap hujung minggu dan cuti umum.

Kehidupan di tepi pantai bagaikan syurga 'dunia' yang mana segala hiburan yang ada dihadam oleh setiap entiti yang berada di sana.Kehidupan yang telah dihadapkan Umno/BN dengan 'material' dan suapan amat sukar dikikis dengan hanya kempen Pakatan Rakyat selama kira-kira 2 minggu sahaja.

Suatu yang mustahil untuk membuka minda manusia-manusia yang telah dibiasakan dengan hiburan, keseronokan dan janji-janji yang manis dari seorang bekas MB yang kini menjadi wakil rakyat. Namun, ada juga yang menyatakan telah berlaku 'Tsunami politik' di Bagan Pinang, dan ia dilabelkan sebagai trend baru sekarang bahawa rakyat sudah mula menerima kembali Umno/BN dan menolak pembangkang.

Media utama cengkaman Umno/BN mula berperanan dan dijangka ia akan mengambil masa yang panjang untuk menghebahkannya dengan pagi, petang dan malam mengulang-ulang perkara yang sama untuk mempengaruhi pendengar dan penuntun.

Apakah benar berlaku Tsunami seperti yang dikatakan? Atau sebenarnya ia satu keputusan yang telah dijangka, dan PAS atau Pakatan Rakyat hanya masuk sebagai syarat untuk bertanding dan mengekalkan 'mood' di peringkat nasional.

Tertarik dengan kupasan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sewaktu sembang petang dengannya di Jalan Pahang, beliau menyatakan bahawa 'ia sekadar kemenangan yang sementara, bukan bersifat panjang, ia kemenangan Isa bukan kemenangan BN secara total'.

Benar sekali telahan Salahuddin, dengan bukti bahawa kegembiraan penyokong BN, tidak kelihatan sewaktu pengumuman dibuat, hanya penyokong Isa Samad sahaja yang bersungguh menjulang bakal MB Negeri Sembilan itu.

Apa yang terlihat hanya penyokong Umno/BN berkumpul sesama sendiri dan tidak menunjukkan riak gembira dan sorak sorai tanda kemenangan.

Apakah itu Tsunami untuk Umno/BN, bila berlaku Tsunami bermakna ia akan melanda semua yang berkaitan, termasuklah kebanjiran penyokong dalam kempen, merayu undi dan merai kemenangan, tetapi ini tidak, ia hanya berlaku diatas kertas undi.

Ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku?

Apakah semudah itu pengundi Bagan Pinang boleh dirasuah mahupun diugut sehingga calon BN meraih undi melebihi 8 ribu itu dan meningkatkan majoriti kemenangan sebelum ini? Apakah sebodoh itu pengundi Bagan Pinang boleh menerima calon BN yang pernah terpalit dengan pelbagai skandal itu? Apakah selemah itu Tentera yang gagah perkasa boleh menerima calon BN dengan menyapu bersih undi Pos?

Adakah ini manipulasi seperti yang dikatakan beberapa bekas tentera termasuk Briget General (b), Muhammad Arshad yang menyifatkan bertapa manipulasi berlaku dalam pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang.

Ini semua menjadi persoalan yang perlu dicari jawapannya. Sudah diketahui umum, bahawa Bagan Pinang adalah kubu kuat Umno/BN dan Isa Samad sendiri.

Masuk ke Bagan Pinang umpama masuk ke Dun Cempaka di Kelantan yang diwakili Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, justeru PAS dan Pakatan Rakyat dari awal lagi menjangkakan kekalahan bakal berlaku.

Cuma kempen agresif BN yang kelihatan sejak awal lagi sebenarnya adalah lahir dari rasa bimbang jika mereka kalah di Bagan Pinang, maka mala petaka besar akan berlaku kepada Umno/BN.

Bagan Pinang bolehlah dikatakan tempat tradisi Umno/BN yang mana lebih sinonim dengan kawasan Isa Samad, dan kemenangannya sudah dijangkakan sejak dari awal lagi._

No comments

Powered by Blogger.