Jangan Terikut Rentak

Oleh Ahmad Zawawi

UMNO sedang bersidang diPWTC. Presidennya sedang menyampaikan Ucapan Dasar. Saya tidak perlu tertonggok didepan TV kerana dalam masa yang singkat saja butiran yang diluah oleh Presiden Najib akan diulas oleh Media Massa dan mahu ta` mahu kita akan dengar juga apa yang beliau katakan. Lagipun kita sudah boleh agak apa yang dia nak kata. Kemenangan besar diBagan Pinang tentulah salah satunya yang membingit dewan.



Sewaktu menyusuri beberapa Blog pagi ini saya terlintas kepada satu Artikel oleh Harakahdaily perihal AMK Parti Keadilan Rakyat meminta Kerajaan menubuhkan Badan Penyiasat supaya semua perolehan yang dimiliki oleh KJ disiasat. Sama ada beliau mendapat habuan dalam projek besar (skandal) PKFZ dan yang menyebabkan kontraktor-kontraktor lain tidak berpeluang, pengumpulan harta diluar negara dan sebagainya.

Saya percaya suara ini timbul kerana baru-baru ini KJ mahukan tuduhan pemilikan RM 3 billion Anwar disiasat kembali. Dengan kata lain “membuka failnya semula”. Bagi saya ini semua bersangkut dengan “polical mileage” orang-orang tertentu. Pihak berkuasa tidak mungkin mahu memandang berat keatas desakan AMK ini.

Daripada membuang masa mendesak itu dan ini adalah lebih baik Pimpinan AMK menumpukan sepenuh perhatian dan mengembeling seluruh tenaga yang ada bagi menyusun perancangan dan strategi bagaimana hendak menawan Sarawak dalam Pilihanraya Negeri yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Kita sepatutnya faham memang BN mahukan kita melayan perkara-perkara tersebut kerana apabila kita asyik mendesak kita akan lupa kepada perjuangan sebenar dan kehendak rakyat yang menyokong Parti kita.

Saya tidak setuju tenaga muda berdinamik yang kita miliki tidak dimanafaat sepatutnya. Mendesak supaya tindakan dikenakan kepada orang-orang yang sedang berkuasa tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Kita akan lebih dilihat seperti anjing menyalak bukit saja.

Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah Parti Politik yang sedang mendapat kepercayaan sebilangan besar rakyat negara ini. Kita perlu kepada sokongan rakyat yang berterusan supaya cita-cita untuk membawa Perubahan akan terlaksana.

Jangan kita membuang masa lagi. Biarkan mereka membina kekayaan dan terlupa kepada tanggungan. Yang paling penting jangan terikut-ikut kepada rentak tari mereka.

http://ahmadzawawi.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.