Suami ganas Golongan profesional banyak terlibat

Namun tidak semua kebahagiaan dalam perkahwinan kekal sepanjang hayat kerana adat hidup berkeluarga sering dilambung badai.
Amanah diberikan kepada lelaki untuk memimpin keluarga tidak seharusnya disalahgunakan untuk menindas perempuan.
Malah perasaan tidak sefahaman dalam perkahwinan tidak seharusnya diiringi dengan keganasan – maki hamun dan sepak terajang.
Memang kes keganasan rumah tangga tidak melibatkan kaum Hawa sahaja. Terdapat laporan di mana suami juga pernah menjadi didera.
Tetapi, perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menunjukkan mangsa wanita lebih ramai jumlahnya berbanding lelaki.
Paling dikesalkan, fenomena ini masih belum mampu dibendung biarpun Akta Keganasan Rumah Tangga telah dikuatkuasakan lebih empat tahun lalu.
Wartawan Keluarga RAHANA MD, HAFIDAH IBRAHIM, NOOR AZMAH IBRAHIM DAN SURAINI DAUD mengupas persoalan ini dari sudut psikologi, undang-undang dan agama.
WAJAH Murni pucat lesi, bibirnya pecah dan berdarah. Tubuhnya terlalu sakit dan perutnya bisa.

Mengalir darah merah pekat melalui kemaluannya dan perutnya seperti mahu terburai.

Kandungannya yang baru memasuki usia tiga bulan mengalami keguguran. Murni terjelepuk tidak bermaya.

Peristiwa di atas merupakan salah satu contoh penderaan dan keganasan suami terhadap isteri.

Apa pun kesalahan si isteri, apakah sanggup seorang suami yang berperanan sebagai ketua dan pembimbing rumah tangga melakukan sedemikian. Lebih mendukacitakan, kebanyakan suami yang mendera isteri terdiri di kalangan golongan profesional dan berjawatan tinggi namun terlalu kurang pemahaman agama.

Perkara ini diakui sendiri oleh Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sulaiman Endut.

“Aduan mengenai keganasan rumah tangga saban hari diterima sama ada dari segi fizikal dan juga mental.

“Penderaan fizikal dikategorikan sebagai boleh dilihat dengan mata kasar seperti kesan dipukul, digigit, lebam, berdarah dan bengkak.

“Manakala penderaan mental pula jika sering dilempar dengan kata-kata kesat dan tidak bermaruah,” katanya.

Memaki hamun dengan panggilan kotor dan menjijikkan serta mengugut dan mengancam nyawa si isteri juga boleh dianggap sebagai penderaan.

“Cuma saya hairan, ada di kalangan para isteri yang sering mengadu sekadar mahu meluahkan,” katanya.

Menurut Sulaiman, jarang di antara mereka mengambil tindakan susulan walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian.

Rata-rata akan menangis, merintih dan mencurahkan segala kesakitan dan keperitan hati pada saat tubuh sakit menderita.

Namun akhirnya menerima suami semula ke pangkuan.

Alasannya mereka tidak tahu hala tuju sekiranya diceraikan serta kasihankan anak-anak.

Bagaimanapun alasan yang paling banyak diterima kerana masih sayangkan suami.

“Tidak salah sayangkan suami tetapi biar bertempat. Jika sampai mengancam nyawa dan mencederakan lebih baik dilakukan sesuatu untuk menghentikannya.

“Jangan sampai terhantuk baru terngadah kerana hak-hak seorang isteri telah termaktub dalam undang-undang keluarga Islam,” ujarnya.

Antaranya lafaz taklik yang wajib difahami dan diketahui oleh para isteri semasa mereka dinikahkan.

Tidak dinafikan lazim lelaki menganggap diri ketua dan dibelenggu keegoan. Kononnya mereka mempunyai kuasa untuk memukul.

“Selalu diketengahkan di dalam media dan khalayak, lelaki boleh memukul selagi tidak memudaratkan. Sebaliknya kita tidak kemukakan hadis Rasulullah s.a.w yang menegah suami memukul isteri apatah lagi di bahagian muka,” katanya.

Namun lazimnya, wanita cepat lemah bila dipujuk suami. Apatah lagi jika pasangan mengaku bersalah dan mohon diberi peluang memperbaiki kesilapan.

Masalahnya apabila lelaki mula ‘naik tangan’ kecenderungan untuk melakukannya kali kedua terbuka luas.

Perbuatan yang dilakukan berulang kali pula melalikan tubuh isteri. Lama-kelamaan ia menjadi ‘kesedapan’ dan yang menjadi mangsa adalah tubuh isteri sendiri.

Beliau tidak menafikan ada di kalangan suami yang mendera isteri mengalami gangguan jiwa.

Besar kemungkinan dipengaruhi oleh sejarah silam. Sewaktu kecil sering dibuli oleh saudara lebih tua ataupun melihat ayah sewenang-wenangnya mendera ibu sendiri sehingga cedera.

Golongan ini sepatutnya mendapatkan khidmat nasihat pakar bertauliah seperti daripada jabatan psikiatri.

“Apabila mendapatkan nasihat seelok-eloknya datang kedua-dua belah pihak. Jangan saling tuduh menuduh kerana kata sepakat dan penyelesaian sukar dicapai,” nasihatnya.

Beliau sekali lagi menasihatkan para isteri yang didera suami baik fizikal mahupun mental mendapatkan hak-hak mereka yang sewajarnya.

Bagaimanapun jika masih kembali ke pangkuan suami walaupun tubuh dan jiwa terseksa bertanyalah kepada diri sendiri.

Apakah masih mampu menahan penderitaan dan yakin suami akan berubah. Jika masih sayang dan mahu memberi peluang buatlah yang terbaik dengan penuh sabar.

“Sememangnya golongan lelaki yang mendera dan mengganas ini memerlukan golongan wanita dan isteri yang mempunyai nilai-nilai kesabaran yang tinggi untuk kembali menjadi insan kamil,” jelasnya.

Menurut Sulaiman lagi, sehingga kini dilaporkan lebih kurang lima peratus perceraian di kalangan pasangan suami isteri disebabkan keganasan rumah tangga. (Tiga contoh kes keganasan rumahtangga di bawah merupakan antara aduan yang pernah diterima oleh jabatannya).

Kes 1
Seorang isteri yang hamil tiga bulan mengalami keguguran akibat ditendang suami sehingga dimasukkan ke hospital.

Pasangan berusia dalam lingkungan 20-an dan tinggal di rumah mentua di Lembah Klang.

Walaupun pada peringkat awal si isteri mengadu ke pejabat agama meminta nasihat tetapi akhirnya menerima suami semula walaupun pasangan seorang penganggur dan penagih dadah.

Alasannya masih sayangkan suami.

Kes 2
Berusia dalam lingkungan 40-an, seorang suami menghantuk kepala isteri ke dinding batu rumah mereka sehingga bengkak, luka dan berdarah.

Keganasan yang dilakukan telah berulang kali namun isteri tetap bersabar dengan alasan tidak mahu memisahkan si ayah dengan anak-anak seramai lima orang.

Suami seorang pensyarah manakala si isteri pegawai tinggi kerajaan.

Kes 3
Seorang suami yang berjawatan jurutera menarik rambut isterinya sehingga hampir tercabut kulit kepala akibat panas baran.

Pasangan mempunyai seorang anak dan berusia dalam lingkungan 30-an.

Si suami lazimnya menjalani kehidupan sosial seperti sering mabuk-mabuk dan tidak melaksanakan syariat yang telah digariskan di dalam Islam.

No comments

Powered by Blogger.