Sukarnya Memahami Politik PAS

Semua orang tahu bahawa PAS sedang bergolak dengan masalah dalaman yang berpunca daripada perbezaan pendapat antara pemimpin-pemimpinnya. Semua orang tahu bahawa PAS berjuang di atas prinsip Islam, tetapi apabila berdepan dengan isu jawatan dan kepentingan politik peribadi, sesetengah pemimpinnya rela mengenepikan prinsip Islam. Semua orang tahu bahawa di sebalik Islam yang dilaungkan PAS, terdapat pemimpinnya yang tamak kuasa lebih daripada pemimpin bukan Islam.

Semua orang tahu bahawa sekiranya PAS gagal menyelesaikan masalah dalamannya, maka penyokongnya, terutama penyokong bukan Melayu akan meninggalkan PAS. Mereka menyokong PAS kerana percaya bahawa PAS menggunakan pendekatan Islam yang adil, saksama dan telus tidak seperti parti musuh yang keIslamannya sekadar di bibir.

Islam itu suci. Islam itu sempurna. Islam itu adil. Begitulah yang difahami oleh orang bukan Islam tentang Islam. Oleh sebab PAS mendukung prinsip Islam, maka dengan sendiri PAS akan menterjemahkan nilai-nilai Islam dalam kepemimpinannya. Begitulah tanggapan dan harapan penyokong PAS sebagaimana yang direalisasikan lewat PRU Ke-12 yang lalu.

Dalam PRU yang lalu, PAS mendapat banyak sokongan daripada penyokong UMNO-BN yang meluat dengan parti pemerintah itu. banyak faktor yang menyebabkan mereka meluat. Ini tidak perlu dihuraikan lagi kerana umum telah tahu semuanya.

Rakyat ingin mencari tempat perlindungan yang lebih selamat dan boleh dipercayai. Salah satu tempat tersebut ialah parti PAS. Seandainya perjuangan PAS juga tidak tumpah dengan perjuangan UMNO-BN, maka apa gunanya mereka terus menyokong PAS. Rakyat tentu tidak mahu menjadi korban kali kedua seperti kata ‘lari dari mulut buaya, masuk mulut harimau.’ Lari daripada UMNO-BN masuk perangkap PAS yang juga “sahabat” UMNO-BN.

PAS harus sedar bahawa perjuangan mereka bersama Pakatan Rakyat adalah sebaik-baik perjuangan. Perjuangan ini direstuai oleh sebahagian besar rakyat. Jangan lupa bahawa 65% rakyat menyokong pembangkang. BN menang PRU lalu kerana faktor penyusunan kawasan Parlimen yang memihak kepada BN.

PAS tidak boleh termakan janji yang ditaburkan oleh musuh yang dengan sengaja mahu memecah-belahkan PR. Jangan memandang “keuntungan kecil” yang ditawarkan di negeri tertentu. Sebaliknya, fikirkanlah “keuntungan besar” bersama PR.

Seandainya PAS masih mahu “bersahabat” dengan UMNO-BN, percayalah bahawa dalam PRU akan datang PAS akan tersungkur ke tanah. Penyokong asal UMNO-BN akan kembali kepada UMNO-BN. Manakala penyokong bukan Melayu yang hilang keyakinan kepada BN akan beralih kepada PKR atau DAP. Sekarang pun suara-suara penyokong PAS mahu meninggalkan PAS mula kedengaran.

PAS parti Islam. UMNO musuh utama PAS. PAS menuduh UMNO bermacam-macam termasuk mengkafirkan parti Melayu itu. UMNO tidak pernah berubah. UMNO kekal sebagaimana yang dikafirkan oleh PAS. Akan tetapi kini PAS bersedia berkawan dengan UMNO. Beginikah pendirian sebenar PAS, sebuah parti Islam? Sukarnya memahami politik PAS.

Antara politik Nik Aziz, Salahuddin Ayub, Hadi Awang dan Hassan Ali, politik siapakah yang mewakili politik PAS? Politik siapakah yang menggambarkan politik Islam tulen? Pertanyaan begini barangkali tidak sukar dijawab oleh orang Melayu (Islam), tetapi begitu rumit bagi orang bukan Melayu.

Sama ada Muktamar Khas PAS yang dibangkitkan oleh Tok Guru Nik Aziz ditukar kepada Mesyuarat Khas Pusat sebagaimana dikatakan oleh salahuddin Ayub, tidak penting. Yang penting PAS mesti menyatakan pendirian yang tegas tentang hubungannya dengan UMNO. PAS tidak boleh membiarkan penyokongnya tertanya-tanya. Tiada sesiapa mampu “membunuh” PAS kecuali PAS yang akan “membunuh” dirinya sendiri.

satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.