Umno dan reformasi

OKT 19 — Tamat sudah perhimpunan agung tahun ini bagi parti Melayu terbesar, United Malay National Organisation (Umno). Selepas 52 tahun Semenanjung Malaysia bebas dari penjajahan dan 46 tahun Malaysia didirikan, Umno masih lagi merupakan parti yang menjadi tunjang pemerintahan negara.

Dalam perhimpunan kali ini, isu utama yang menjadi perbincangan ialah “Reformasi” yang dilaksanakan oleh parti tersebut. Isu reformasi dan perubahan dalam parti tersebut menjadi hangat dibincangkan selepas Umno merasakan jika mereka tidak berubah, tidak mustahil akan mengikut jejak langkah parti Liberal Democratic Party (LDP) yang tersungkur baru-baru ini dalam pilihanraya umum di Jepun baru-baru ini.

Perwakilan Umno telah bersetuju untuk membuat pindaan perlembagaan parti tersebut secara sebulat suara. Dalam tempoh masa kira-kira satu jam sahaja, tujuh usul dipersetujui tanpa sebarang bantahan.

Usul-usul tersebut ialah:

• Penambahan jumlah perwakilan kepada 146,500 anggota bagi pemilihan pimpinan tertinggi Umno dan barisan pemimpin peringkat bahagian. Melalui usul pindaan ini juga, semua ketua sayap parti peringkat cawangan dicadangkan menjadi perwakilan secara automatic;

• Memperkenalkan sistem pendaftaran menggantikan sistem kuota pencalonan. (Syarat minimum untuk menjadi calon akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno);

• Pelantikan wakil Pergerakan Wanita untuk mengisi kerusi jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MT (Pindaan ini menjadikan jumlah anggota yang dilantik bertambah, iaitu bagi MT daripada 12 kepada 13 orang, anggota jawatankuasa peringkat bahagian daripada tujuh kepada lapan orang, dan jawatankuasa cawangan daripada lima kepada enam orang);

• Pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan secara serentak, dan dengan itu sebuah;

• Jawatankuasa Pemilihan Umno akan ditubuhkan untuk menyelia dari segi logistik dan kos. (Anggota jawatankuasa akan dilantik Presiden parti);

• Penghapusan yuran tahunan keahlian dan digantikan dengan yuran seumur hidup;

• Memberi mandat kepada ketua-ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan untuk mengesahkan keahlian baru; dan

• Mengiktiraf setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno secara automatik. Pindaan perlembangan yang dilakukan ini adalah diantara usaha Umno untuk menjadikan parti tersebut kembali popular dikalangan rakyat. Persepsi rakyat bahawa parti Umno adalah parti bangsawan ingin dihapuskan.

Umno bukan parti bangsawan?

Semenjak ditubuhkan, Umno kini mempunyai tujuh orang presiden. Bermula dengan DatukOnn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan yang terkini Datuk Seri Najib Razak. Daripada enam orang bekas presiden diatas, hanya Tunku Abdul Rahman yang tidak meninggalkan anak atau menantunya dalam Umno sebagai warisan. Selebihnya semua meninggalkan anak atau menantu mereka untuk menjadi pemimpin Umno pada masa akan datang.

Onn meninggalkan Tun Hussein Onn. Razak meninggalkan Perdana Menteri Malaysia terkini, Datuk Seri Najib Razak. Hussein meninggalkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Dr Mahathir meninggalkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir. Manakala Abdullah meninggalkan menantunya yang kini menjadi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Selepas Najib, jawatan presiden Umno, jika mengikut tradisi Umno, nama-nama seperti Hishammuddin, Mukhriz dan Khairy akan bergilir-gilir mengambil alih jawatan tersebut.

Bukan bangsawankah ini?

“Kitaran bangsawan”

Dalam ucapan presiden Umno, Najib dalam perhimpunan agung parti tersebut baru-baru ini, beliau mahukan Umno kembali menjadi parti pergerakkan massa dan bukannya parti golongan bangsawan dan elitis seperti sekarang.

Memang benar satu ketika dahulu, ketika Malayan Union ditentang, ahli-ahli Umno kebanyakkannya terdiri daripada rakyat bawahan. Akan tetapi, fakta yang tidak dapat disanggah adalah parti Umno dipimpin oleh golongan bangsawan.

Amalan tersebut kekal sehingga hari ini. Maka persepsi bahawa hanya golongan “bangsawan” yang akan memimpin Umno sukar untuk diubah selagi Umno membuktikan bahawa “rakyat biasa” boleh diangkat untuk menjadi presiden Umno.

Dalam sejarah Umno, hanya Dr Mahathir berjaya melepasi rintangan bangsawan ini. Selepas beliau, Umno kembali dengan kitaran “bangsawan”nya. Abdullah adalah anak kepada Ahmad Badawi dan cucu kepada Abdullah Fahim, seorang ulamak yang menjadi penasihat kepada perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Manakala, Najib pula adalah anak kepada perdana menteri kedua, Razak. Sebab itulah rakyat kini tunggu dan lihat apakah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berjaya menggantikan Najib untuk menjadi presiden Umno?

Perubahan dalam Umno sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada parti tersebut untuk bersaing dengan parti-parti pembangkang pada masa akan datang. Kemenangan besar Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang baru-baru ini memberikan sedikit “suntikan moral” selepas Umno tewas dalam banyak pilihanraya kecil selepas PRU 8 Mac.

Cetak rompak

Jika dilihat dari sejarah. Umno seringkali berubah mengikut kehendak semasa. Ketika parti-parti kiri popular sekitar tahun 60an dan 70an dahulu, Razak memperkenalkan program-program “sosialis” seperti Felda dan menggunakan nama-nama jargon kiri seperti Bank Rakyat.

Ketika majoriti orang-orang Melayu mahukan Islam, Dr Mahathir dengan tenangnya, menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam.

Kini, ketika golongan muda tidak mahukan lagi rakyat didiskriminasikan mengikut kaum dan agama dan Pakatan Rakyat menjadi popular kerana dasar mereka yang mahukan rakyat Malaysia tidak dibeza-bezakan mengikut kaum dan agama, Najib memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia.

Sejarah pilihanraya lalu juga menyaksikan bagaimana Umno yang kehilangan sokongan orang-orang Melayu pada Pilihanraya 1999 bangkit kembali dan menang dengan begitu besar dalam PRU 2004. Walaupun banyak terdapat “masalah” dalam pilihanraya tersebut, “swing” undi rakyat memang kembali kepada mereka.

Pakatan kini telah memerintah beberapa buah negeri. Perak telah dirampas kembali tetapi Pakatan masih lagi mempunyai Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Jika dalam tempoh sehingga PRU 13 ini, Pakatan masih belum mampu untuk melaksanakan program-program yang konkrit untuk mereka tawarkan kepada rakyat Malaysia, tidak mustahil trend PRU 2004 akan berulang.

Bak kata orang-orang tua, bekerjalah seolah-olah PRU akan diadakan pada esok hari. Janganlah sampai terlalu berkhayal untuk menjadi menteri dengan andaian Pakatan berjaya mengambil alih Putrajaya pada PRU 13.

amin iskandar

No comments

Powered by Blogger.