Utamakan isu wanita miskin

TIDAK dapat dinafikan wanita negara ini sudah berjaya membuktikan kepada bangsa dan negara bahawa jika diberi peluang yang sama khususnya pendidikan, mereka akan berjaya. Lihatlah jumlah bilangan pelajar perempuan di universiti, bilangan profesional wanita dan wanita sudah mula menjawat jawatan penting dalam sektor kerajaan dan swasta, tiada senjata yang lebih berkuasa untuk seorang wanita selain daripada pendidikan. Pendidikan teras kepada keperkasaan (empowerment).

Malahan kini Malaysia mempunyai wanita cemerlang yang telah berjaya membukti kepada masyarakat bahawa jika diberi peluang, mereka dapat menerjuni bidang -bidang yang selama ini dimonopoli oleh kaum lelaki.

Contohnya Gabenor Bank Negara, Peguam Negara, Pengerusi Bank Rakyat dan lain-lain lagi. Inilah wanita yang begitu komited dengan kerja mereka, dan berkat usaha yang gigih, kelayakan yang ada serta kemahiran yang terserlah, mereka mendapat perhatian ‘orang atasan’ dan diberi kepercayaan.

Apa yang menarik di sinilah ialah tanpa sokongan daripada ketua mereka yang semua lelaki termasuk Perdana Menteri, kemungkinan besar wanita-wanita ini tidak akan dilantik. Apakah implikasi daripada hal ini?

Agenda wanita perlu dilihat sebagai isu gender iaitu hubungan antara lelaki dan wanita dan ia harus dilihat dalam konteks budaya masyarakat tersebut.

Saya berpendapat bahawa tanpa sokongan dan penglibatan lelaki, wanita walau setingginya pun pendidikan dan kemahiran, akan masih tinggal di tahap lama. Ini juga merupakan pendapat di kalangan pembesar wanita peringkat global iaitu lelaki perlu diintegrasikan dalam semua dasar meningkatkan taraf wanita dalam masyarakat.

Kenapa saya berkata begitu? Kenapa kini strategi sudah beralih daripada men-bashing kepada men-matters. Ini mudah kerana soalan asas. Siapakah yang memegang kuasa dalam masyarakat patriakal seperti Malaysia?

Jawapannya sudah tentu lelaki. Sarjana pengajian wanita mengatakan selain daripada sosioekonomi, pendidikan, salah satu faktor penghalang besar untuk wanita maju ke depan ialah lelaki.

Oleh itu, demi untuk memudahkan jalan untuk wanita, apa yang perlu dibuat ialah mewujudkan perkongsian pintar dengan lelaki.

Kita perlu gender-sensitized (kesedaran jantina) lebih ramai lelaki negara ini, dan bila ayah, suami dan ketua sudah gender sensitized, maka mereka lebih sedar tentang apa yang tersirat dalam perjuangan wanita sekeliling hidup mereka, baik di rumah atau pejabat hinggalah di Parlimen. Mereka akan jadi lebih terbuka dan tidak tergugat.

Menteri Hal Ehwal Wanita dijangka akan cuba sedaya upaya beliau untuk meyakinkan lelaki negara ini bahawa mereka perlu empati dan bekerjasama untuk memperbaiki status wanita negara ini. Kerana tidak guna wanita membincangkan persoalan wanita sesama sendiri dan mengetepikan lelaki.

Lihat sahaja persidangan, seminar dan bengkel mengenai wanita, yang hadir menjadi perserta ialah wanita. Datuk Shahrizat Abdul Jalil pada tahun 2000 telah menganjurkan Persidangan Wanita 2000. Majoriti yang hadir ialah wanita yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, ahli politik wanita yang sudah empowered manakala bilangan lelaki yang hadir dikira dengan jari?

Kita tidak mahu men-bashing atau wanita bertelagah sesama sendiri dan bermain politik atas isu wanita. Kita tidak mahu perjuangan wanita negara ini disamakan dengan perjuangan wanita di Barat.

Apa yang perlu ialah untuk memastikan lelaki, memahami apa yang sebenarnya tersirat dalam perjuangan wanita dan mereka perlu tahu bahawa wanita negara ini tidak mahu menggugat kedudukan mereka yang sedia ada. Perjuangan wanita negara ini lebih berlandaskan budaya dan agama masyarakat timur. Wanita negara ini kekal dengan peribadi budaya timur dan pegangan agama masih kuat mempengaruhi segala tindakan, termasuklah sifat menghormati lelaki dalam masyarakat.

Dari ruang tamu ke Parlimen, dari bilik tidur ke bilik mesyuarat, lelaki memegang kuasa. Lelaki perlu menyedari bahawa keperkasaan wanita bukanlah bertujuan untuk menggugat tetapi untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan keluarga dan masyarakat.

Kemajuan hanya boleh dicapai jika lelaki turut membantu keperkasaan (empowerment) wanita dalam rumah tangga pendidikan, pekerjaan dan dalam dasar dan perundangan. Kuasa yang selama ini hanya berada dalam tangan lelaki perlu dikongsi secara sukarela untuk kesejahteraan masyarakat masa depan.

Inilah pendekatan terkini dalam memperjuangkan kedudukan wanita. Rundingan (negotiation) dengan lelaki dan bukan mencabar (resistance) akan memudahkan jalan untuk wanita terus maju dalam masyarakat berbudaya dan beragama seperti Malaysia. Inilah kekuatan yang ada pada wanita negara ini, dan cara ini patut terus diamalkan dalam usaha wanita mempertingkatkan kualiti hidup mereka sebagai isteri, ibu dan pekerja.

Kementerian Hal Ehwal Wanita harus mengambil premis ini bahawa dalam segala bentuk usaha untuk mempertingkatkan kedudukan wanita, kaum lelaki harus diambil kira. Lelaki perlu dilihat bukan sebagai penghalang tetapi sebagai satu aset yang dapat membantu wanita dalam perjuangan. Jika lelaki memahami dan difahami, begitu sebaliknya maka isu wanita akan menjadi lebih jelas dan lebih mudah ditangani.

Daripada zaman Putih Mariah, Khatijah Sidek, Fatimah Hashin, Aishah Ghani, Rafidah dan Zaharah dan kini Shahrizat Jalil, kita telah lihat bagaimana wanita negara ini mengalami proses perubahan dan transformasi. Dari hanya memegang peranan di dapur sebagai orang rumah, wanita negara ini diberi peluang untuk mendapat pendidikan dan peluang pekerjaan hinggalah kini sudah ada kementerian. Ini merupakan satu pencapaian yang amat cemerlang. Kita perlu berterima kasih kepada semua pejuang wanita dan kepada lelaki yang membuka pintu untuk wanita terus maju.

Namun itu di samping kejayaan yang amat membanggakan seperti pelantikan wanita untuk menerajui jawatan penting, bilangan wanita profesional dan korporat wanita yang bertambah, senario yang masih ada ialah ada sebahagian wanita yang masih hidup dalam keadaan tertindas, tidak mendapat peluang pendidikan dan menjadi mangsa diskriminasi dan tidak berupaya merubah kehidupan mereka.

Kemiskinan di kalangan wanita masih di tahap genting. Seramai 1.3 bilion orang miskin di dunia, 70 peratus adalah wanita. Jika dilihat di Malaysia, ternyata keadaan yang sama turut berlaku.

Adalah amat menyedihkan melihat keadaan situasi wanita yang daif, hidup sengsara, ditinggalkan suami dan perlu menjaga anak yang ramai dan hidup yang penuh kesempitan. Mereka buta huruf atau sekolah hingga peringkat seekolah rendah dan tidak mahu mengamal perancang keluarga kerana tidak tahu atau menganggap semua itu kuasa Tuhan.

Akhirnya hidup dalam keadaan yang sempit, dan tertekan dan apa yang paling mendukacitakan, suami meninggalkan mereka tanpa memberi saraan.

Kementerian ini perlu bekerjasama dengan kementerian lain dalam hal menangani isu ini. Selain daripada menangani isu-isu wanita kelas menengah seperti menggalakkan lebih ramai wanita terlibat dalam dunia koporat, peningkatan kemahiran wanita dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pada hemat saya yang jauh lebih penting untuk Malaysia buat untuk masa singkat ini ialah menangani isu wanita miskin, isu wanita terbiar, wanita yang tidak memahami hak-hak mereka terutama dari segi perundangan.

Agenda paling penting ialah memastikan Malaysia akan melaksanakan Pelan Tindakan yang telah ditandatangani oleh negara ini di Beijing (1995) dan Cedaw (Konvensyen mengenai Diskriminasi Ke Atas Wanita), New York.

Kementerian ini perlu memperkukuhkan lagi program-program untuk meningkatkan taraf ekonomi dan pendidikan wanita negara ini. Kemiskinan di kalangan wanita perlu ditangani dengan secepat mungkin. Keperluan wanita perlu menembusi etnik, kelas dan lokasi geografikal.

Pada hemat saya, agenda utama kementerian ini ialah selain memperkukuhkan program-program yang menuju ke arah peningkatan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi, pendidikan, politik ialah mewujudkan beberapa langkah untuk menarik lelaki negara ini supaya sama-sama terlibat dalam usaha mempertingkatkan kualiti hidup wanita.

Selain itu, kementerian perlu memperkukuhkan lagi strategi dan implementasi program untuk masyarakat menjadi lebih gender-sensized. Kerjasama yang erat dan efektif perlu ada dengan Kementerian Pendidikan supaya kurikulum sekolah benar-benar mendidik anak anak supaya tidak ada perasaan gender biasa dan diskriminasi. Media juga perlu sensitif kepada perjuangan wanita negara ini. Tidak guna kalau Datuk Shahrizat beria-ia bercakap dengan usaha kementeriannya, jika Kementerian Penerangan dan media swasta masih menonjolkan imej wanita yang berkonflik dengan aspirasi kementerian wanita.

Datuk Shahrizat perlu berganding bukan sahaja dengan NGO yang sehaluan dengan perjuangan wanita negara yang berlandaskan budaya dan agama kita, tetapi juga dengan pihak universiti. Universiti tempatan dan ahli akademik merupakan satu sumber penting untuk membantu kementerian ini dari segi penyelidikan dan ide-ide.

Contohnya, di Universiti Malaya (UM) sendiri, sudah ada Rancangan Pengajian Gender yang berperanan penting dalam menyerapkan pengetahuan mengenai wanita negara ini dan melatih bakal pentadbir kerajaan dan swasta menjadi lebih sensitif gender. Ahli Akademik Universiti Malaya dari berbagai disiplin termasuk dari Fakulti Perubatan, Sains Sosial, Ekonomi, Undang-Undang, Akademik Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Islam begitu aktif menjalankan penyelidikan dalam isu wanita.

UM dengan usaha untuk mewujudkan sebuah Pusat Pengajian dan Penyelidikan Wanita tidak lama lagi akan dapat membantu negara khususnya kementerian baru ini dalam mempertingkatkan status wanita Malaysia.

PROF. MADYA DR. DATIN ROZIAH OMAR ialah Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah dan Penyelidikan Universiti Malaya (UM).

No comments

Powered by Blogger.