Berdebat Dengan Bahlul (Debating With Idiots)

Sumber: Malaysian Today
Penulis: Raja Petra Kamarudin
Terjemah Oleh: Semangat Reformasi '98
Tajuk: Berdebat Dengan Bahlul (Debating With Idiots)





Jadi, menghapuskan sesuatu atas alasan ia membazirkan wang pembayar cukai adalah hujah yang tidak kukuh. Ini kerana hujah yang sama dapat dipanjangkan kepada banyak perkara lain yang memakan belanja lebih besar daripada sistem monarki.....


NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin


Saya sudah bertahun-tahun memantau retorik anti-monarki di bahagian ulasan Malaysia Today. Komen yang paling biasa dibuat adalah bahawa sistem monarki hanya membazirkan wang pembayar cukai. Jadi, ia harus dihapuskan kerana ia tidak memenuhi apa-apa matlamat, malah raja-raja hanya makan gaji buta.

Nampaknya, inilah yang menjadi keluhan utama mereka terhadap monarki – kos yang besar bagi meneruskannya. Jika itulah hujahnya, maka bukankah banyak lagi agensi lain yang perlu dihapuskan? Cuba teka berapa ramaikah dalam kalangan satu juta pegawai perkhidmatan awam (termasuk tentera, polis, dll.) yang benar-benar bekerja? Kebanyakan daripada mereka hanya duduk melangu. Ah, kita dah aman dari peperangan selama lebih daripada 50 tahun. Jadi, apa perlunya sebuah angkatan tentera? Betul tak?

Masuklah ke dalam mana-mana pejabat polis di seluruh negara dan beritahu saya berapa ramai pegawai poliskah yang benar-benar bekerja? Kebanyakannya hanya melenggang. Nah, bukankah duit cukai kita yang membayar gaji mereka? Mereka hanya bekerja apabila mereka sedang mengisi poket mereka (rasuah) ataupun ketika mereka bertindak terhadap pembangkang. Kos untuk menampung pasukan polis mungkin lebih tinggi daripada kos sebuah monarki, yakni apabila kita mengambil kira jumlah wang haram yang terlibat.

Percayalah cakap saya, jumlah wang haram yang disalurkan kepada pasukan polis adalah sangat besar… hingga mencecah angka bilion. Bacalah siri yang terdiri dari 12 episod (bermula dengan ‘All roads lead to Putrajaya’), yang mana saya menulis tentang polis dan Ketua Polis Negara.

Jadi, apakah yang perlu kita lakukan? Adakah kita perlu menghapuskan pasukan polis kerana kos untuk menampungnya adalah lebih tinggi daripada kos untuk menampung sistem monarki kita?

Anda akan berkata, “Oh, tak… kita tak boleh hapuskan polis. Kita memerlukan polis. Sistem monarki boleh jalan tetapi pasukan polis mesti dikekalkan. Kita memerlukannya untuk memerangi jenayah.”

Perangi jenayah? Perangi apanya? Makin lama, jenayah di Malaysia makin menjadi-jadi. Bahkan ketika anda artikel ini, seseorang di Malaysia sedang dirompak ataupun dibelasah. Perangi jenayah apa? Kalau beginilah caranya, baik tak payah ada pasukan polis. Lebih baik kita semua bawa pistol seperti zaman koboi dahulu. Sebenarnya, polislah dalang di sebalik sebahagian besar jenayah-jenayah berat. Pasukan polis adalah dalang di sebalik jenayah terancang – ah long, pelacuran, perdagangan manusia, pengedaran dadah, perjudian dan sebagainya.

Jadi, jika anda benar-benar ingin mendebat hujah ini, cubalah: dengan menghapuskan pasukan polis, kita akan menjimatkan banyak wang dan juga menghapuskan jenayah terancang. Selepas itu, kita boleh sahaja menubuhkan skuad ala vigilante dan menembak mati semua kepala jenayah terancang, yakni sebagaimana yang dilakukan semasa revolusi di Iran pada 1979 (mmm… zaman revolusi - betapa rindunya saya pada zaman tu).

Jadi, menghapuskan sesuatu atas alasan ia membazirkan wang pembayar cukai adalah hujah yang tidak kukuh. Ini kerana hujah yang sama dapat dipanjangkan kepada banyak perkara lain yang memakan belanja lebih besar daripada sistem monarki.

Jangan salah faham. Saya bukannya membela raja-raja kita. Mungkin idea untuk menghapuskan sistem raja berperlembagaan dan menukar Malaysia menjadi Republik bukanlah idea yang buruk. Lagipun, tempat/keadaan lain selalunya tampak lebih elok daripada tempat/keadaan kita sekarang (greener pastures). Saya bersedia untuk mencubanya dan jika ia tidak berjaya, kita boleh menimbangkan untuk kembali kepada sistem raja berperlembagaan. Malah inilah yang dimahukan oleh kebanyakan pembaca Malaysia Today. Jadi, apa salahnya kita mencubanya untuk menilai betapa pintarnya para pembaca laman ini?

30 tahun yang lalu (1979) Iran melakukan perkara yang sama. Mereka menghapuskan sistem monarki dan menukar negara mereka menjadi sebuah Republik. Ya, banyak betul wang yang dapat mereka jimatkan, bukan? Di bawah Syah, banyak wang yang terbuang. Sekarang, Iran sudah menjimatkan begitu banyak wang… banyak sungguh.

Okeylah, mungkin benar bahawa keadaan hak asasi manusia di Iran lebih kurang seperti dahulu juga. Mungkin juga ia semakin parah. Tetapi apa yang penting adalah dengan menghapuskan sistem monarki, mereka berjaya menjimatkan begitu banyak wang.

Inggeris melakukan hal yang sama lama dahulu, iaitu ketika mereka memancung kepala Raja Charles I. Mereka kemudiannya menukar negara mereka menjadi Republik. Apabila percubaan itu gagal dan mereka mendapati bahawa Republican lebih teruk daripada raja yang terdahulu, mereka memenggal kepala Oliver Cromwell pula dan membawa anak bekas raja mereka (yang kepalanya dipancung dahulu) pulang dari Perancis. Mereka lantas menabalkannya sebagai raja baru mereka, iaitu Charles II.

Ya, percubaan untuk menjadikan Inggeris sebuah Republik menemui kegagalan dan mereka memutuskan untuk kembali kepada sistem monarki. Iran pula masih sebuah Republik dan mungkin akan kekal sebagai Republik, seperti Perancis dan lain-lain negara yang menghapuskan sistem monarki bagi menubuhkan sebuah Republik.

Negara-negara terburuk di dunia adalah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan - Antigua and Barbuda, Australia, Bahrain, Belgium, Kemboja, Kanada, Denmark, Grenada, Jepun, Jordan, Kuwait, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Malaysia, Monaco, Maghribi, Belanda, Norway, Oman, Papua New Guinea, Saint Kitts and Nevis, Samoa, Sweden, Thailand, Tonga, Tuvalu dan United Kingdom. (Bhutan, Brunei, Qatar, Arab Saudi dan Swaziland mengamalkan sistem monarki mutlak).

Negara terbaik di dunia pula adalah Republik - Indonesia, Filipina, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, Singapura, Nepal, Congo, Cuba, El Salvador, Ghana, Iraq, Iran, China, Russia, Korea Utara, Serbia, Somalia… eh, tunggu… saya fikir hujah saya ni tak ‘mengena’ seperti yang saya rancang. Mmm… mungkin saya perlu perkukuhkan hujah saya.

Ah, tak apalah. Hujah yang dibincangkan di sini adalah bahawa kos bagi menampung sistem monarki membazirkan banyak wang dan tidak memenuhi apa-apa matlamat, dan segala sesuatu yang tergolong di bawah kategori yang sama perlu dihapuskan (rasanya ini merangkumi hampir semua perkara di Malaysia). Namun begitu, sebelum kita menggunakan hujah 'hapuskan ia kerana ia membazirkan banyak wang dan tidak memenuhi apa-apa matlamat’, pastikan bahawa anda membaca Perlembagaan Persekutuan. Kalau tidak, orang mungkin mengatakan bahawa kita sedang berdebat dengan si bahlul.

Perkara 35(1): Parlimen hendaklah melalui undang-undang memperuntukkan suatu Peruntukan Diraja bagi Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah termasuk peruntukan untuk membayar anuiti kepada Raja Permaisuri Agong, dan Peruntukan Diraja itu hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan dan tidak boleh dikurangkan semasa Yang di-Pertuan Agong memegang jawatannya.

Perkara 38(4): Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Jadi, sudah termaktub dalam undang-undang bahawa Parlimen perlu membiayai sistem monarki. Hanya Majlis Raja-Raja yang boleh mengubahnya. Maka tiada apa yang mampu saya ataupun anda lakukan. Selain itu, bukankah kita juga yang terjerit-jerit mendesak UMNO dan Barisan Nasional untuk menghormati Perlembagaan dan sentiasa bertindak berdasarkan undang-undang? Jadi, adakah kita kini ingin menjadi hipokrit dengan mengabaikan undang-undang dan Perlembagaan dengan mendesak supaya sistem monarki dihapuskan, yakni dengan tujuan menubuhkan Republik Malaysia?

Ya, saya tahu bahawa ada antara anda yang akan menuduh saya mempertahankan sistem monarki kerana saya adalah seorang kerabat diraja. Tetapi orang yang sama juga menggesa supaya Perlembagaan didaulatkan ketika ia menguntungkan mereka dan sebaliknya melanggar Perlembagaan ketika ia bertentangan dengan kepentingan mereka. Saya tiada masa untuk melayan golongan seperti ini yang sebenarnya adalah golongan yang hipokrit, yakni sepertimana golongan yang dikutuk mereka. Kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Kawan-kawan, kita tak patut bercakap tentang penghapusan sistem monarki. Itu mungkin menyebabkan kita keluar dari mulut buaya, masuk mulut harimau. Jika mana-mana raja menimbulkan masalah, maka gantikanlah sahaja dengan orang yang lebih baik. Hal seperti ini pernah dilakukan sebelum ini. Raja yang kurang baik pernah digantikan dengan raja yang lain. Caranya adalah dengan memanfaatkan peranan Majlis Diraja (tidak sama dengan Majlis Raja-raja).

Tetapi jika anda benar-benar mahu Malaysia menjadi Republik, maka itu juga boleh dilakukan. Saya tidak menghalang sama sekali. Namun itu bermakna bahawa kita perlu menggantung Perlembagaan. Tetapi oleh sebab Perlembagaan tidak mengizinkannya, maka kita terpaksa menghapuskan Perlembagaan. Ini cukup mudah dilakukan, iaitu hanya dengan menubuhkan kediktatoran tentera di Malaysia… tiada Perlembagaan… tiada Parlimen… tiada raja-raja – hanya seorang jeneral sebagai Presiden pertama Malaysia.


Artikel Asal: malaysia-today.net
Terjemahan: gomalaysian.blogspot.com

No comments

Powered by Blogger.