Dr. Burhanuddin Al-Helmi

1. Dr. Burhanuddin bin Muhammad Nor Al-Helmi dilahirkan pada tahun 1911 di Kampung Changkat Tualang, Mukim Kota Bharu, Gopeng, Perak.

2. Beliau adalah Yang DiPertua Agong PAS ketiga selepas Haji Ahmad Fuad Hassan (1951 – 1953) dan Dr. Haji Abbas Alias (1953 – 1956).

3. Dr. Burhanuddin telah memimpin PAS dari tahun 1956 sehingga 1969. Sepanjang tahun kepimpinannya, PAS telah melonjak sebagai sebuah parti politik yang signifikan di arus perdana. Kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi oleh PAS juga telah meningkat secara mendadak dalam Pilihanraya Umum 1959 iaitu sebanyak 13 kerusi. Sebelum itu (1955), PAS hanya memenangi 1 kerusi dalam Dewan Rakyat.

4. Pada tahun 1959 juga, PAS telah berjaya menawan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

5. Dr. Burhanuddin telah dipilih sebagai Yang DiPetua Agong PAS selepas 11 hari beliau menjadi ahli PAS. Dr Burhanuddin mendaftar sebagai ahli pada 14 Disember 1956 dan diangkat menjadi Yang DiPertua Agong PAS pada 25 Disember 1956. Perlantikan beliau walaupun mendapat tentangan kecil daripada ahli, namun akhirnya diterima dengan hati yang terbuka.

6. Tentangan kecil itu wujud kerana Dr Burhanuddin Al Helmi dikenali sebagai tokoh aliran kiri yang dilihat turut sama memperjuangkan semangat Nasionalisme. Beliau juga rapat dengan tokoh aliran Sosialis seperti Ahmad Boestamam dan Mokhtaruddin Lasso. Sebelum dipecat dalam perhimpunan parti PKMM, Dr Burhanuddin adalah Pengerusi parti tersebut. Oleh sebab itu, segelintir ahli PAS bimbang jika Dr Burhanuddin menerajui PAS dengan dasar yang menyimpang daripada dasar sedia ada – iaitu Islam.

7. Perlantikan seorang ketua parti dari kalangan ahli yang belum pun cukup setahun tempoh menjadi ahli adalah suatu yang sangat aneh pada masa ini. Apatah lagi 11 hari!

8. Ia jelas merupakah keterbukaan yang luarbiasa yang diamalkan oleh ahli-ahli parti PAS pada setengah abad yang lalu.

9. Malangnya, pada hari ini, keterbukaan sebegitu sudah lama terkubur.

10. Kerana dihantui bayang-bayang sendiri, PAS telah beransur-ansur menjadi sebuah parti yang semakin tertutup.

11. Melantik seorang yang baru menjadi ahli sebagai Presiden parti adalah perkara yang mustahil pada hari ini. Lebih parah, melantik seseorang yang di luar lajur konservatisme parti juga adalah perkara mustahil pada masa ini.

12. Nasib Datuk Husam Musa adalah contoh yang sesuai. Beliau telahpun menjadi ahli PAS selama lebih 30 tahun. Beliau pernah menjadi ‘tulang belakang’ MB Kelantan sewaktu PAS masih mentah dalam memimpin Kelantan. Beliau juga adalah newsmaker parti yang paling berbisa sehingga hari ini. Lihat sahaja bagaimana isu royalti minyak Kelantan yang beliau cetuskan. Ia nyata memaksa Perdana Menteri datang menjawab sendiri di Dewan Rakyat. Banyak lagi jasa dan keupayaan sosok tubuh seorang manusia yang bernama Husam Musa itu.

13. Namun, semua track record dan sumbangan itu tidak sedikitpun mampu mengurangkan rasa prejudis ahli parti PAS terhadap beliau bilamana beliau memilih untuk tidak bersetuju dengan beberapa keputusan pucuk pimpinan parti. Lebih malang apabila beliau dilabel gilakan pangkat dan mahu merosakkan tradisi parti gara-gara menawarkan diri untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden parti beberapa bulan lalu.

14. Sehingga ke hari ini, usaha menjatuhkan Husam Musa sekaligus menguburkan karier politik beliau masih berlaku dengan gigihnya. Sangat malang apabila usaha itu dilakukan oleh ahli-ahli parti yang telah ditarbiyah sekian lama.

15. Amatlah malang jika individu berpotensi dicantas dan dibuang manakala parti dibiarkan terpimpin oleh individu yang kurang berkebolehan.

16. Pada tahun 1956, ahli-ahli PAS telah membuat suatu keputusan yang sangat pragmatik walaupun berisiko. Telahan bahawa Dr Burhanuddin akan menyebabkan PAS punah-ranah nyata meleset. Sebaliknya, PAS menjadi sebuah parti pembangkang yang paling kuat untuk menyaingi Perikatan. Lebih kuat berbanding Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar.

17. Pada hari ini, ahli PAS sudah menjadi sangat takut untuk membiarkan seorang yang berkebolehan untuk menerajui parti hanya semata-mata orang itu bukanlah dari jalur ulama’ yang berserban dan berjubah. Ahli PAS akan hanya selesa jika parti dipimpin oleh golongan yang diterima sebagai ulama’. Ahli PAS hanya akan selesa jika parti diurus dengan cara yang konservatif.

18. Rasa selesa itu sememangnya akan menjadikan ahli-ahli PAS tersebut tidur malam dengan nyenyak.

19. Tidur malam yang nyenyak adalah sangat penting walaupun parti akan terus berada di takuk yang lama.

20 Jika semua ini terus berlaku, PAS dijangka akan tetap kekal menjadi pembangkang beberapa tahun yang akan datang, walaupun pada ketika itu parti UMNO mungkin sudah terkubur.

21. Segala-galanya adalah bergantung kepada ahli parti. Untuk menang, kita mesti berani membuat perubahan. Perubahan adalah milik pejuang yang melihat maju ke hadapan, bukan bagi ahli parti yang masih berpaling ke belakang.

22. Al Fatihah buat Allahyarham Dr. Burhanuddin Al Helmi.

1 comment

hussin said...

ada pemimpin pas yang sudah hilang punca, sudah tidak yakin dengan dasar yang diperjuangkan. 'melayu' sudah didahulukan.

akar umbi pula sudah terlebih telan pil wala' sehingga sanggup mempertahankan pemimpin yang berbohong.

tunggulah akibat dari kepincangan ini. pas tidak akan berubah selagi ia dimonopolikan oleh pemimpin kitar semula dari terengganu. selagi bertimbalankan nasharuddin mat isa. selagi bersetiausahaagongkan mustapha ali. selagi berketuaulamakan harun taib. selagi pgs berpengerusikan abu bakar chik. selagi pr berpengerusikan halim rahman. selagi kpp berketuakan nasharudin tantawi.

mereka2 ini tidak akan mampu memulih imej pas yang sudah banyak tercalar lantaran kerja2 mereka.

Powered by Blogger.