Keputeraan Sultan: 736 Pencalonan, Hanya 106 Terpilih Menerima Darjah dan Bintang

KLANG, 13 Dis - Sempena Ulang Tahun ke 64, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menganugerahkan sebanyak 106 Darjah dan Bintang Kebesaran.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud berkata, sebanyak 736 pencalonan diterima terdiri daripada Jabatan Kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.

Ramli berkata setiap calon perlu melalui proses saringan yang ketat sebelum layak menerima anugerah berkenaan.

“Baginda sudi mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 106 orang yang telah menabur jasa, memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat negeri Selangor Darul Ehsan”, kata Ramli.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Majlis Jamuan Teh Sempena Ulang Tahun Ke 64, Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang.

Sementera itu, dalam usaha menjadikan Selangor sebagai negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan, pada 19 Mac lalu satu badan khas ditubuhkan di peringkat perkhidmatan awam bagi menambah baik tadbir urus dan sistem penyampaian kerajaan negeri.

“Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Kerajaan Selangor, PEMUDAH telah ditubuhkan pada 19 Mac 2009 yang lalu. Pemudah Selangor ahli-ahli tetap yang terdiri daripada sektor awam dan sektor swasta bertujuan untuk mengkaji dan menyelesaikan isu-isu serta masalah-masalah utama dari sudut kesukaran dan kelewatan yang timbul dalam sistem penyampaian perkhidmatan,” jelas Ramli lagi.

Kira-kira 4,000 tetamu hadir pada Majlis Jamuan Teh Di Raja terdiri daripada Exco Selangor, Ketua-ketua Jabatan, Yang Di Pertua PBT, Pegawai Daerah dan orang awam.

Sebagai simbolik Hari Keputeraan Ke 64, Sultan Sharafuddin turut berkenan mencemar duli Upacara Menjamah Pulut Kuning di hadapan jemputan yang hadir.

Tuanku kemudiannya diraikan dengan persembahan kesenian yang dikenali sebagai Tarian Menjunjung Duli diiringi dengan beberapa kesenian yang lain. - NIZAM

No comments

Powered by Blogger.