Kerajaan Kelantan kaji semula tahap keselamatan setiap pasar raya

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan di setiap pasaraya di negeri itu susulan kejadian di pasar raya KB Mall petang semalam apabila dua mangsa terkorban dihempap sebuah kereta yang terjatuh daripada tempat letak kereta di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi memperhalusi dan membincangkan mengenai aspek keselamatan di setiap pasar raya.

"Pagi ini Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat ke tempat kejadian dan beliau telah mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) supaya mengadakan mesyuarat segera hari ini.

"Kita akan panggil jabatan berkaitan seperti polis, bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pengurusan pasaraya KB Mall pada mesyuarat itu bagi membincangkan langkah seterusnya selain akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan pasar raya di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian di sini hari ini.

Mangsa yang maut adalah Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, kedua-duanya dari Kolej Kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Baharu manakala dua lagi yang parah iaitu rakan mereka Rashidah Ahmad Lutfi, 24, dan pemandu kereta Ford Laser TX3, Nor Ain Said, 19.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Nor Ain itu rosak dan ditolak rakan beliau yang dikenali sebagai Sabri dan hilang kawalan, merempuh tembok penghadang bumbung pasar raya itu lalu terjunam dan menghempap tiga pelajar berkenaan di tingkat bawah pasar raya berkenaan.
Takiyuddin berkata antara perkara yang akan dibincangkan di dalam mesyuarat terbabit ialah bagi mendapatkan gambaran jelas daripada pihak polis dan bomba bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah segera yang akan diambil oleh pihak pengurusan pasar raya.

"Kita akan bincang dan dapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kejadian itu. Kita percaya polis atau bomba sudah mengenalpasti puncanya melalui siasatan awal," katanya.

Sehingga pagi ini beliau berkata pasar raya itu masih ditutup kepada orang ramai bagaimanapun keputusan untuk membuka atau menutup pasar raya itu akan ditentukan di dalam mesyuarat terbabit.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz ketika ditemui selepas melawat tempat kejadian berkata kejadian itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dan berlaku di luar dugaan.
"Benda ni berlaku payah nak fikir, semua kuasa Allah, berlaku dinding yang begitu tebal tiba-tiba boleh runtuh, daripada runtuh kena yang di luar dugaan kita dan juga engineer (jurutera) itu sendiri," katanya yang melawat kira-kira setengah jam.

Tinjauan mendapati orang ramai masih berpusu-pusu di luar pasaraya bagi melihat kejadian semalam selain menunggu arahan sama ada pasar raya itu ditutup atau dibuka untuk urus niaga hari ini. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.