Menteri Besar Terima Anugerah Dengan Gelaran Dato’ Seri

KLANG, 12 Dis - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan membawa gelaran Dato Seri.

Sempena Hari Keputeraan ke 64, Tuanku berkenan menganugerahkan 1 Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.), 1 Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Kelas Kedua (D.K.II), 2 Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato Seri, 2 Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato Setia dan 30 Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ serta 70 Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Selangor.

Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, adalah penerima sulung Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) bagaimanapun istiadat penganugerahannya dibuat berasingan pada masa yang akan ditetapkan nanti.

Pro Canselor Universiti Teknologi MARA, Tan Sri Datuk Arshad Ayub dan Pensyarah Universiti Malaya, Prof Emeritus Tan Sri Dato Dr Khoo Kay Khim antara penerima akademik masing-masing menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) dan Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.).

Manakala penerima dari kalangan penjawat awam pula ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Sabak Bernam, Zuraidah Mohd Sanif dan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam pada itu, Tuanku juga berkenan melantik 5 penerima Jaksa Pendamai iaitu Orang Besar Daerah Sepang, Prof Tengku Dato Dr. Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Alhaj; Timbalan Pengerusi Sunway Group, Dato Razman Md Hashim; Ketua Pengarang Kumpulan Star Publication Berhad, Dato Seri Wong Chun Wai; Doktor Pakar Kulit, Dato’ Dr Low Bin Tick dan Ketua Eksekutif, Super Chem Dry, Supramaniam Sinnasamy.

Tuanku turut berkenan melantik Azman Yusof sebagai pelukis Diraja Selangor bagaimanapun pelantikannya dibuat pada majlis berasingan.

Kira-kira 101 penerima hadir menerima darjah masing-masing manakala 5 penerima tidak hadir dengan kebenaran.

Terdahulu Sultan Selangor berkenan mencemar duli Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tentera Laut Di Raja Malaysia di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang. - NIZAM

No comments

Powered by Blogger.